Israel tutup pintu Tebing Barat, Semenanjung Gaza

BAITULMAQDIS, 29 September – Israel akan menutup pintu sempadan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza selama dua hari bermula tengah malam ini, menjelang sambutan perayaan ‘Day of Atonement’, lapor agensi berita China Xinhua.

Tentera Israel pada Khamis mengumumkan penutupan bermula pukul 12.01 pagi (21:01pm GMT).

“Penutupan dijangka hingga tengah malam Sabtu namun bergantung kepada keadaan semasa,” kata jurucakap tentera dalam satu kenyataan.

Lantaran penutupan berkenaan, semua pusat pemeriksaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza ditutup dan rakyat Palestin tidak dibenarkan keluar atau masuk ke wilayah itu kecuali untuk kes kemanusiaan tertentu.

Bagaimanapun penutupan tidak tertakluk kepada penduduk Yahudi yang tinggal di Tebing Barat.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2hBsPFs
via IFTTT

Raja Muda Perlis Mahu Umat Islam Hayati Makna Sebenar ‘Hijrah’

KANGAR, 29 September – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap umat Islam menghayati makna hijrah yang sebenar untuk diterjemahkan dalam bentuk amalan, sikap, pemikiran dan pendekatan yang terbaik.

“Semoga kita akan menjadikan sambutan Maal Hijrah setiap tahun sebagai titik semakan pencapaian kita dari sudut hijrah minda, di manakah kita, dan sejauh manakah pencapaian kita selama ini,” titah baginda yang berangkat mewakili Raja PerlisTuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Titah baginda hijrah sebenarnya bukan hanya satu peristiwa perpindahan jasmani semata-mata tetapi turut melibatkan perubahan, kemajuan dan penambahbaikan diri dan masyarakat ke arah yang dapat memartabatkan lagi Islam di mata dunia.

Pembinaan asas ini, titah Raja Muda haruslah bermula dengan membetulkan diri dari segi sikap dan pemikiran sebagai satu bentuk ‘jihad’ bagi melonjakkan nama baik Islam dalam pelbagai sudut.

“Semangat inilah yang menggerakkan kita dalam mengikuti sunah baginda Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar perpindahan fizikal, bahkan melibatkan penghijrahan minda,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Titah baginda apabila disebutkan ‘negeri maju’, kebanyakan memahaminya sebagai maju dari aspek pembangunan fizikal semata-mata iaitu tinggi atau rendah bangunan dibina, dan kemudahan yang ada.

Walaupun ini bukan satu kefahaman yang salah, harus difahami kemajuan tidak ‘dihadkan’ dengan soal pembinaan fizikal sahaja sebaliknya kemiskinan juga antara masalah yang perlu diberikan perhatian, titah baginda.

Baginda juga meluahkan rasa kesal kerana masih terdapat sebahagian mereka yang seolah-olah ‘selesa’ dengan kesusahan hidup, lantas menjadikan mereka individu yang hanya mengharapkan bantuan semata-mata dan tiada sebarang motivasi serta inisiatif untuk mengubah nasib diri.

“Pemikiran sebeginilah yang menguasai minda umat Islam sehingga menyebabkan kemunduran umat berlaku hari ini,” tegas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut berpandangan sumbangan zakat tidak wajar diberi secara berterusan sebaliknya dijadikan bantuan untuk golongan berkenaan memulakan usaha mengeluarkan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Baginda turut kesal kerana banyak perkara yang dituntut Islam seperti soal kebersihan, pengurusan alam sekitar, etika kerja, integriti dan penguasaan ilmu masih dijuarai oleh negara bukan Islam, sekali gus menunjukkan masalah sikap dan pemikiran dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

“Lihatlah bagaimana negara-negara maju yang rata-ratanya bukan beragama Islam lebih prihatin dalam perkara-perkara ini, walhal umat Islam adalah lebih berhak dalam soal ini,” titah baginda.

Pada majlis tersebut dua tokoh agama tempatan, Karim Salleh, 76 dan Azizah Abu Seman, 71, dinamakan Tokoh Maal Hijrah Perlis yang turut menyertakan hadiah wang tunai RM7,000, masing-masing.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan anugerah berkenaan selain turut menyampaikan anugerah Jaizah Maal Hijrah kepada Allahyarham Lt. Kol. Yazmi Mohamad Yusof.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2yxcZyH
via IFTTT

Muhasabah Untuk Berubah

PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Muhasabah Untuk Berubah”.

Kita masih berada di minggu pertama Muharram dalam tahun hijrah 1439. Setiap kali peristiwa hijrah, kita sentiasa mendengar perbincangan berhubung dengan Hijrah Baginda SAW dengan segala pengorbanan Baginda SAW dan parah Sahabat RA. Namun satu aspek lagi apabila bertambahnya tahun, bermakna bertambahnya umur kita. Terasa betapa cepatnya masa berlalu. Dengan bertambahnya tahun bermakna usia kita juga bertambah. Itulah realitinya apabila bertambah hari kita, tahun kita, maka bermakna usia kita juga turut bertambah cuma yang kita tidak pasti ialah berapakah lagi baki hari kita di atas mukabumi ini.  Tiada siapapun yang tahu berapa lama kita akan berada di atas mukabumi ini hatta Baginda SAW sendiri tidak tahu berapa lama Baginda SAW akan berada di atas mukabumi ini.

Dan kerana itu kita katakan dengan kedatangan Tahun Hijrah ini, kita perlu bermusahabah kerana Allah SWT telah memberi peluang kedatangan tahun baru, peluang hidup, walaupun kita bukanlah hamba Allah yang taat dan penuh dengan dosa dan sering melakukan maksiat  namun Allah SWT terus menerus memberi peluang kepada kita setahun demi setahun agar kita berubah ke arah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Betapa rahmat dan rahimnya Allah SWT apabila tidak pernah berhenti memberi kita peluang demi peluang walaupun setiap kali peluang yang diberikan itu disia-siakan. Justeru dengan kedatangan tahun hijrah yang baharu ini, hendaklah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk bermusahabah agar kita berubah menjadi insan yang lebih baik daripada tahun lepas.

Dalam satu hadith Baginda SAW menyebut, mafhumnya: “orang Islam itu ialah dia yang selamat orang lain daripada lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah ialah orang yang berpindah daripada apa yang dilarang oleh Allah SWT (kepada yang tidak dilarang)” (HR Bukhari).

Ini bermaksud hijrah itu ialah kita meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT  kepada ketaatan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hasyr 18-19, mafhumnya “wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah!,  dan hendaklah setiap diri itu memerhatikan apa yang dipersiapkan untuk hari esoknya (hari Akhirat),  bertaqwalah (kamu kepada Allah)! Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan”.

Bila kita sebut Hijrah, hendaklah ia mengingatkan kita tentang taqwa, pengorbanan, dan ingatkan bahawa masa telah berlalu dengan pantasnya dan baki masa kita di dunia ini semakin singkat. Apabila masa itu berlalu dengan pantas itu juga merupakan tanda-tanda kiamat kecil.

Hijrah itu ialah peluang dan perancangan untuk masa depan. Dalam ayat Surah al-Hasyr di atas, “esok hari” itu merujuk kepada Hari Akhirat, bukan esok di dunia ini. Ini menjadi dalil betapa perancangan untuk kehidupan di Akhirat itu amat penting sekali dan ia bermula dengan kehidupan di dunia ini. Kerana itulah Hijrah itu boleh kita katakan peluang, dan apabila kita melihat ada peluang maka kita merancang untuk merebut peluang tersebut. Lantaran itulah Baginda SAW menyebut, berhubung hadith yang sering disebutkan iaitu rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain.  Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, orang muda mempunyai segala kekuatan dan kegagahan; rebutlah masa kayamu sebelum datanglah masa miskinmu. Masa kita miliki pada kini gunakanlah untuk bersedekah atau seumpamanya. Jangan kita tunggu untuk jadi kaya raya baru kita nak bersedekah. Memadai apa yang kita ada itu kita gunakan untuk bersedekah; rebutlah waktu sihatmu sebelum tiba waktu sakitmu; waktu lapangmu sebelum datang waktu suntukmu.  Akhir sekali yang kelima pesan Nabi SAW ialah “waktu hidupmu sebelum tiba matimu”. Sebab itu kita kena merancang supaya kita dapat kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin agar kita tidak terlepas masa yang sedang kita miliki. Hari ini kita menyesal, namun ia masih belum terlewat tetapi sekiranya kita telah tiada usia (mati) maka pada ketika itu penyesalan kita tidak lagi memberi apa-apa makna. Sementara kita mempunyai masa ini maka ambillah iktibar agar dengan kedatangan tahun Hijrah yang baharu ini memberi musahabah kepada kita agar menggunakan sebaik mungkin masa yang berbaki di dunia ini agar menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2xOU59J
via IFTTT

Asrama Sekolah Tinggi Islam Di Rembau Terbakar

SEREMBAN, 28 September – Sebuah asrama penginapan pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Rembau terbakar awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata kebakaran ke atas asrama yang menempatkan 37 pelajar itu berlaku kira-kira jam 1.50 pagi dan telah memusnahkan 60 peratus bangunan asrama.

Bagaimanapun kesemua pelajar terselamat kecuali tiga orang yang mengalami asma akibat terhidu asap.

“Ketiga-tiga pelajar ini telah dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” kata Norazam.

Beliau berkata punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Anggota bomba dan penyelamat tiba 10 minit kemudian selepas menerima panggilan kecemasan dan ketika sampai api sedang marak pada separuh bangunan asrama itu.

Bagaimanapun api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian, katanya.

Kebakaran di asrama sekolah agama ini berlaku tidak berapa lama selepas kejadian sama di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada 14 Sept lalu yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua orang guru.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2fsPUWt
via IFTTT

Strengthening Ethical Basics Of Conduct

THE heart-wrenching tragedy that befell one of the tahfiz schools recently struck everybody to the core. Yet, equally tragic is when the suspected perpetrators turned out to be all juveniles.

What is most distressing is how the mere youngsters could possibly come up with such a treacherous plan to set fire to the tahfiz as a result of some apparently trivial interpersonal exchange.

Whatever the results of the ongoing police investigations would be, the incident has certainly left us brooding over what has actually happened to the quality of ethics among our young generation and what should be the urgent solution to this ethical problem.

More often than not, unfortunately, ethical problems among youths are underestimated. There are some who argue for more freedom of choice and thinking given to them. However, it is only when the ethical problems rear its ugly head and transform itself into criminal problems do we only then realise that these are serious concerns.

When the crimes committed are fatal, the immediate response by many is none other than to impose severe punishment on those convicted in order to ensure that justice is served and it acts as a deterrent to any potential similar criminals in future.

Despite its important role, the law has some discrepancies especially in solving ethical problems. First, the law deals more with limitations and consequently, the punishment meted out for the guilty. Hence, the law does not deal with the root of the problem. On the other hand, a person who is bad will always look at the law as his enemy and will always find ways to escape from it particularly when there are loopholes to be found in its implementation.

Secondly, the law does not cater to the rewards of human actions. A person who goes against any law will definitely face punishments, but one who abides by them is not given any explicit reward for doing so. Therefore, by simply meting out severe punishments to offenders will not necessarily lead to the inculcation of good ethical conduct.

Thirdly, compared to ethics, the law is external to a person. It will always be seen as an extraneous imposition and limitation on someone’s conduct and behaviour rather than coming from within and with his own will.

Thus, it is important to find solutions that will not only complement the law, but also tackle the root of the problem. The more proactive and long term strategy is through ethical means and education. Although ethics and law are always redundant in some respects, there are also differences especially in terms of their emphasis and approach.

Ethics and education, compared to law, is more internal in approach. It concerns more on the moulding of human behaviour through inculcating good virtues into the human self. In the Islamic tradition, the word used to denote ethics is akhlaq (which is derived from the word khalaqa, means ‘to create’) which implies the state of human soul whose good and pure condition will lead to proper external human conduct.

The emphasis of the internal dimension of human being is based on the fact that man is created with dual nature—the soul and body—and that the betterment of the former will ensure the betterment of the latter.

Ethics is also about the habituation of someone’s behaviour towards doing good actions based on one’s understanding about the principles of good and bad. It is about developing the second nature within one’s self. This is done through continuous suppression of the elements of vices within and outside the human being.

And since akhlaq is an attempt to inculcate good virtues towards being part of human nature, it cannot be accomplished within a short period of time. Rather, it needs to be developed gradually within someone’s self through self-discipline.

This is where serious religious and ethical education plays a tremendous role. The education system should explicitly place its highest aim to produce ethical human beings rather than only emphasise the cognitive aspect of the human development. How ironic it is that an educational system can produce human beings with the ability to memorise and understand good theories, yet fail to translate them into ethical action. Far from denying the importance of  fulfilling the pragmatic objectives of the nation’s development, education must first and foremost aim at strengthening the ethical and religious objectives that will contribute extensively to the internal development of the human being.

In the current world full of extremism, the notion of balance is highly important. Ethics implies the stable and balanced condition of the soul which will lead to good behaviour. In order to do that, the main elements of the human internal self must be properly balanced out.

In the ethical expositions among great Muslim scholars such as al-Ghazali, Ibn Miskawayh and al-Razi, they explained that a balanced soul which will produce good virtues in human behaviour resulted from a just and proper treatment of three important elements of the human self namely the faculty of reason, anger and desire (shahwah).

When reason is being properly treated, it will manifest the virtue of wisdom where the mind can properly place information in it’s proper place and knows the limits of truth. This will later lead to good actions based on proper wisdom.

When anger is being justly positioned, it will lead to the virtue of courage where anger will only be manifested when it is really needed. Hence, people of courage do not resort to brutal and aggressive actions but a more sober and patient response. Indeed, such is what the prophet referred to when he said “The most courageous person is the one who can control himself when he is angry.”

Finally, when the faculty of desire is properly positioned, it will lead to the virtue of temperance in which the human soul is properly curbed from its lustful enemy. This is done through the control of sexual desire and food. Hence, Islam encourages fasting as an important way to control desire and introduces the proper institution of marriage.

All the three cardinal virtues: wisdom, courage and temperance are the reflection of just and balanced character which are extremely needed in the present young generation in order to prevent another tragedy from happening in the future.


Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri


from IKIMfm http://ift.tt/2wlRpMX
via IFTTT

Hijrahlah atau Dihijrahkan

SEBAGAI seorang mukmin, seharusnya mereka meraikan saat-saat tibanya tahun baharu dengan memuhasabahkan diri agar dapat menilai kembali tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT, selain memahami kehidupan ini sentiasa bergerak menuju saat dipanggil kembali menghadap-Nya. Tidak sama sekali ia memberi pengertian bahawa panjangnya umur manusia di dunia ini semakin kekal kehidupan mereka, tetapi sebaliknya semakin lama semakin hampir kepada pengakhiran. Sesungguhnya apabila Allah menciptakan langit dan bumi, diciptakan juga tempoh selama 12 bulan yang perlu ditempuhi manusia untuk setahun kehidupan di dunia ini, supaya mereka mengetahui bahawa semakin lama mereka hidup, maka semakin hampir tibanya waktu untuk dihijrahkan oleh Allah.

Tibanya tahun baharu yang dimulakan dengan bulan Muharam, ia dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang akan menjadikan orang mukmin berasa dekat dengan Baginda. Walaupun dengan jarak waktu yang sangat jauh iaitu hampir 1400 tahun lamanya dengan Rasulullah, tetapi setiap kali tibanya tahun baharu hijriah ia akan sentiasa mengingatkan manusia tentang Baginda. Peristiwa hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal, tetapi menurut para ulama ia dijadikan titik permulaan di dalam kehidupan umat Islam.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, hidup ini memerlukan penghijrahan dan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan elakkan kehidupan yang statik. Rasulullah mengingatkan bahawa tidak akan ada lagi penghijrahan selepas pembukaan Kota Mekah, namun yang tinggal ialah kesungguhan dan jihad serta perasaan untuk mengubah diri. Pilihlah untuk berhijrah ke syurga yang seharusnya menjadi keutamaan kepada setiap insan di dunia ini dan jadikan diri menjadi semakin dekat dengan Allah SWT. Mulakan hijrah ke atas diri sendiri untuk melakukan amalan yang akan membawa kita ke syurga.

Untuk memulakan hijrah, kuatkan keyakinan diri kepada agama Allah terlebih dahulu. Kerana apa yang dapat dilihat kini, manusia lebur terhadap keyakinan mereka kepada Allah di dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Keyakinan diri yang kuat terhadap Allah akan membawa manusia kepada husnul khatimah atau pengakhiran hidup yang baik kerana mereka tidak akan berani untuk melanggar perintah Allah dan melakukan maksiat. Seterusnya berhijrahlah ke arah melaksanakan ibadah dengan lebih baik dan mantap terutamanya ibadah solat dan ibadah khusus yang lain.

Selain itu baikilah akhlak agar menjadi mukmin yang sejati. Apa yang dapat dilihat sejak akhir-akhir ini, berlaku kehancuran di dalam akhlak manusia dengan adanya anasir-anasir luar seperti dadah, arak dan lain-lain. Ia akan melahirkan generasi yang tidak lagi menghormati ibu-bapa, menghina para alim ulama tanpa rasa segan silu, tidak berbudi bahasa dan tidak berakhlak sesama manusia. Pada hakikatnya kehidupan di dunia semakin suntuk dan seharusnya berhijrahlah dengan melakukan muhasabah diri kerana tidak ada manusia yang sempurna. Dengan adanya kesedaran terhadap kekurangan ke atas diri manusia dan perlunya diri memperbaiki kecacatan tersebut, maka ambillah kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk menempuhi tahun baharu dengan keazaman melakukan perkara-perkara yang baik.

Berhijrahlah untuk membentuk keluarga yang lebih baik dan luar biasa kerana dapat memberi kebaikan kepada keluarga orang lain iaitu memiliki suami dan isteri yang salih, anak-anak yang dibesarkan dengan suasana al-Quran dan saling ingat-mengingati serta membantu di antara satu sama lain untuk menuju syurga Allah. Malah sentiasa memberi peringatan tentang matlamat sebenar di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, kerana sesungguhnya ia bukan hanya untuk memberi keseronokan semata-mata tetapi sebaliknya setiap kali sebuah keluarga itu dibina, maka mereka sedang membina generasi untuk menjadi penghuni syurga dan akan menjauhkan unsur-unsur maksiat di dalam keluarga mereka.

Di kalangan masyarakat juga perlunya penghijrahan untuk menjadi masyarakat yang dikurniakan keampunan oleh Allah dan mampu mewujudkan kehidupan yang bersatu untuk melakukan kebaikan serta bantu-membantu membina negara yang sejahtera. Manusia akan kembali kepada agama Allah dan sentiasa bersaing untuk melakukan amalan terbaik di kalangan mereka, berasa damai dan indah dengan mengamalkan cara hidup Islam di dalam pelbagai sudut kehidupan sama ada dari segi ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan lain-lain. Apabila manusia kembali beriman dan bertakwa kepada Allah, mereka akan dikuniakan keberkatan daripada langit dan bumi. Namun apabila perintah Allah dimungkari, segala nikmat akan direntap daripada kehidupan mereka.

Sesungguhnya penghijrahan diri, keluarga, masyarakat dan negara, seharusnya ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Elakkan penghijrahan hanya untuk mengejar kemewahan harta benda, pangkat dan keturunan kerana hakikatnya tindakan mereka itu jauh daripada keredhaan Allah. Hanya dengan redha Allah, akan turunnya rahmat dan bumi yang penuh dengan kebaikan serta keampunan daripada-Nya yang mencurah-curah. Sekiranya manusia gagal dan enggan berhijrah menuju Allah, mereka akan menghadapi kesulitan apabila dihijrahkan secara paksaan oleh Allah SWT. Akhirnya mereka akan tergamam di saat dihijrahkan Allah iaitu apabila digerakkan daripada satu alam ke alam yang lain dan sesungguhnya kematian itu pasti untuk setiap manusia yang hidup di muka bumi ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 September 2017



from IKIMfm http://ift.tt/2wWOr6f
via IFTTT

Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal (Bhg. 3)

SEKIRANYA kita bicarakan kisah-kisah hebat para ulama terdahulu, pasti terasa kerdil akan diri dan sumbangan kita terhadap agama. Kisah-kisah ulama terdahulu ini disampaikan agar dapat menimbulkan keinginan dan kecintaan kita kepada ilmu dan menuntut ilmu dan kita memuliakan ahli ilmu itu. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh), Ustaz Muhadir Hj. Joll menyambung kisah mengenai Imam Ahmad ibn Hanbal.

Imam Ahmad Ibn Hanbal orangnya tinggi, kemerah-merahan mukanya dan kacak. Beliau mempunyai janggut yang hitam serta selalu berserban. Beliau seorang yang menjaga keterampilan. Sheikh Abdul Malik ibn Abdul Hamid katakan “saya rasa belum pernah saya lihat seseorang yang badannya sangat bersih dan saya tidak pernah lihat seseorang yang sangat disiplin dalam bab minum, bersihkan rambutnya, menjaga kebersihan badannya dan tidak ada saya lihat orang yang sangat putih bajunya melainkan Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Anak Imam Ahmad, Imam Abdullah menyebut berkenaan solat Imam Ahmad, katanya “bapaku solat sehari semalam tiga ratus rakaat. Apabila beliau sakit dan melemahkan badannya, beliau akan solat hanya seratus lima puluh rakaat.” Ini menunjukkan betapa hebatnya ibadah Imam Ahmad kepada Allah SWT. A-Imam Al-Maimuni katakan “tidak pernah aku lihat orang yang begitu bagus solatnya melainkan Imam Ahmad dan tidak pernah aku lihat orang yang melakukan sunnah-sunnah melainkan Imam Ahmad.” Anak Imam Ahmad yang bernama Soleh menyebut “aku selalu mendengar bapaku membaca Surah Al-Kahfi.”

Ibrahim bin Syammas katakan “aku kenal Imam Ahmad sejak kecil lagi dan beliau bangun malam sejak kecil lagi.” Anaknya, Imam Abdullah turut katakan “kadang-kadang aku mendengar bapaku berdoa di malam hari. Beliau banyak berdoa dan merendahkan suaranya.”

Terdapat satu amalan yang perlu kita lakukan kepada guru kita sepertimana yang dilakukan oleh Imam Ahmad kepada gurunya Imam As-Syafie. Disebut di dalam kitab Manaqib Imam As-Syafie karangan Imam Al-Baihaqi, Ahmad ibn A-Laith mengatakan “aku mendengar Imam Ahmad mengatakan : saya mendoakan kepada Allah SWT untuk Imam As-Syafie pada solat malamku sejak empat puluh tahun.”

Kata Imam Abdullah, anak Imam Ahmad “bapaku berjalan kaki ke Tarsus, pernah pergi haji dari Iraq berjalan kaki. Sangat sabar orangnya. Imam Ahmad tidak pernah mninggalkan puasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari putih.” Khatab ibn Basyar mengatakan “saya tanya kepada Imam Ahmad sesuatu tentang warak dan saya lihat beliau dalam keadaan yang sangat sedih lalu beliau mengambil kain dan menutup mukanya.” Begitulah gambaran takutnya Imam Ahmad kepada Allah SWT dan enggan dilihat dilihat dirinya riak. Al-Mawarzi, anak murid Imam Ahmad pernah berkata “Imam Ahmad tatkala ingat tentang kematian, kita akan melihat ibrah dan pengajaran daripada beliau. Kata Imam Ahmad : takut kepada Allah boleh menghalang aku daripada makan dan minum. Apabila aku ingat akan mati, maka benda-benda dunia ini akan menjadi ringan bagiku dan maut itu lebih berat lagi. Itu adalah satu makanan lain daripada makanan biasa dan itu adalah satu pakaian lain daripada pakaian biasa. Kematian itu adalah hari-hari yang sedikit yang tidak dapat dibandingkan dengan kefakiran sesuatu pun. Kalaulah aku boleh cari satu jalan agar tidak mengingati kematian ini kerana ingat akan kematian itu akan buatkan aku lebihkan kepada akhirat sehingga meninggalkan kerja-kerja dunia.”

Imam Ahmad bukan sahaja orang yang bijak dan warak serta taat kepada Allah SWT, bahkan beliau mempunyai nilai adab yang tinggi. Anak muridnya, Al-Imam Al-Mawarzi mengatakan “Abu Abdillah bukanlah orang yang suka buat-buat tidak tahu atau tidak mengambil endah sesuatu perkara. Kalau ada orang yang merendah-rendahan beliau, beliau akan beradab dan sifat lemah lembut. Kata beliau : cukuplah Allah SWT dengan urusan kamu ini. Beliau tidak pernah merasa hasad dengan orang dan tidak pernah tergesa-gesa mengatakan orang lain salah. Banyak tawaduk dan akhlak yang bagus. Beliau sering dilihat dengan wajah gembira dan sering memudahkan urusan. Beliau tidak kasar dan sekiranya beliau marah dan suka hanya kerana Allah SWT. Sekiranya beliau ada sesuatu yang berkaitan dengan agama, maka marahnya akan lebih lagi. Beliau kadangkala dikatakan sesuatu oleh jirannya dan beliau akan berdiam sahaja. Beliau juga menundukkan pandangannya kepada perempuan. Beliau sekiranya memasuki ke kawasan perkuburam beliau akan menanggalkan sepatunya dan beliau akan membawanya sendiri. Beliau sangat suka berjalan dengan perlahan. Jarang keluar daripada mulutnya perkataan yang banyak melainkan tentang hadith. Sekiranya beliau menyebutkan tentang orang soleh, beliau akan sebut dengan tenang dan penuh semangat. Perkataan beliau sangat baik. Apabila seseorang datang berjumpa dengannya, beliau akan bermanis muka dan mengadap orang tersebut.” Begitulah kisah mengenai Imam Ahmad ibn Hanbal yang mempunyai keperibadian yang tinggi, penuh wibawa dan miliki ilmu yang luas.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2y5YiGI
via IFTTT

Didik Hawa Nafsu Penentu Kebahagiaan di Dunia dan Akhirat

PETANDA kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

Sesungguhnya jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu. untuk Sebagai contoh, menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang. Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu jam 10.00 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al- Amin menyatakan bahawa seberat-berat musuh bagi manusia adalah nafsu dan ia  juga mampu  menjermuskan manusia ke arah   kejahatan  di dunia ini. Baginda menegaskan misalnya dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas R.A., “Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu.” (Al-Baihaqi).  Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia. Tetapi nafsu tersebut hendaklah dididik. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu. Firman Allah SWT “Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?” (Surah al-Furqan, ayat 43). Berasaskan gambaran  yang diberikan al-Quran ini, maka Nabi Muhammad  SAW memberikan gesaan demi gesaan agar umat Baginda berjuang menundukkan nafsu. Tidak dinafikan  usaha melawan hawa nafsu bukan sesuatu perkara yang amat mudah dilakukan . Ia menuntut seseorang individu itu  agar bermujahadah dan   tidak melengah-lengahkan dalam menanganinya.

Apabila dikatakan manusia itu  hebat dalam mendidik nafsunya, ia merujuk kepada  usaha yang berterusan  dalam menundukkan sesuatu perkara dalam  diri mereka sendiri iaitu menjaga dan mengawal segala nikmat anggota badan dan pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT .

Nafsu  mempunyai  dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan dalam masa yang juga mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu  tersebut saling menguasai diri seseorang. Jika mahmudah yang lebih kuat, maka kebaikan yang lebih banyak dilakukan.  Sedangkan jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka terjelmalah keburukan dan durhaka lebih banyak dilakukan. Oleh  yang  demikian Muhammad telah  mengupas secara terperinci tentang dua jenis nafsu yang membawa manusia ke arah  keburukan.Pertama, nafsu yang  mengajak manusia untuk bersifat malas. Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Sungguh halus bisikan syaitan dalam melatih nafsu kita agar tunduk pada nafsu kita. Inilah yang membuatkan kita menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Sebagaimana yang diriwayatkan  dalam satu hadis yang bermaksud Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas”.

Seterusnya adalah nafsu yang disifatkan sebagai berlebih-lebihan atau melampaui batas yang disyariatkan oleh Islam. Dalam konteks ini, salah satu contoh yang dapat dikaitkan ialah sifat boros. Islam mengajar umatnya bersederhana dalam berbelanja dan bukannya berlaku boros atau membazir . Boros dalam berbelanja sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat kepada kita. Firman ALLAH: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27). Justeru, dalam institusi rumahtangga , umpamanya suami perlu memainkan peranan dengan membimbing  dan menasihati isteri secara hikmah.

Dalam erti kata lain, perlu memikirkan kaedah yang sesuai  mengikut kemampuan . Elakkan daripada terus menghukum atau melakukan perubahan secara drastik .Sebaliknya dikendalikan secara   berperingkat-peringkat  agar pasangan mampu mengekang  hawa nafsu  secara berlebih-lebihan dalam urusan seharian. Kesimpulannya sentiasalah berwaspada dalam sebarang tindakan.  Jangan mudah terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan.  Kebaikan yang diperoleh hasil melakukan kejahatan tidak akan membawa kesenangan atau kebahagiaan hidup. Sebaliknya, biarpun kita tidak kaya dan tidak terkenal, jika perkara baik yang kita sering lakukan, maka itulah kebahagiaan hidup sebenar yang perlu dicari setiap orang.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wRbU8y
via IFTTT

Takdir Ilahi

DALAM kehidupan seharian kita, kita sering melihat sesuatu kejadian berasaskan premis “sebab-akibat” (cause and effect), tetapi sebenarnya semuanya adalah af’al Allah SWT belaka. Suatu kejadian yang berupa “akibat” mungkin boleh menjadi “sebab” pula untuk suatu kejadian yang yang akan datang yang menatijahkan “akibat” lain, dan begitulah seterusnya. Ianya seperti mata rantai yang saling sambung menyambung satu sama lain. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui kenapa sesuatu kejadian itu berlaku dan apakah hikmahnya kejadian tersebut. Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir Sekalian Alam mempunyai sebab-sebab tertentu kenapa suatu kejadian itu berlaku, yang kita sebagai makhluk tidak mengetahuinya dan tidak mempunyai sebarang ilmu.

Lantaran itulah di antara perkara yang dituntut agar diimani oleh umat Islam dalam Rukum Iman ialah Beriman kepada Qada’ dan Qadar. Ia  bermaksud apa jua perkara yang berlaku di alam ini samada kebaikan atau musibah yang menimpa kita telah ditetapkan dan ditakdirkan oleh Allah SWT. Ini sesuai dengan firmanNya dalam Surah al-Taubah ayat 51, mafhumnya: “Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang orang yang beriman harus bertawakkal”

Tuntutan Islam agar meletakkan segala yang berlaku kepada Allah SWT ini adalah sebagai menunjukkan betapa kita sebagai seorang hamba yang lemah dan tidak berkuasa dan hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa sepenuhnya atas segala kejadian. Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh berusaha, atau ikhtiar kerana dalam menentukan takdir sesuatu perkara itu, Allah SWT telah mengambil kira samada kita berusaha atau tanpa usaha.  Oleh itu, tidak timbul ungkapan yang kerap kita dengar seperti  “antara kecuaian dan takdir” untuk suatu kejadian yang telah berlalu, kerana kecuaian kita itu juga suatu yang telah ditakdirkan.

Kebanyakan umat Islam faham akan perkara ini, namun ada juga segelintir yang masih jahil yang marah dengan mengatakan jangan diletakkan “takdir” itu sebagai punca kesalahan. Siapakah pula yang meletakkan takdir sebagai punca kesalahan, pesoalannya? Hanya orang-orang yang jahil sahaja yang meletakkan “takdir” sebagai punca kesalahan untuk sesuatu kejadian bagi melepaskan diri daripada bertanggungjawab. Namun, bagi orang-orang beriman akan melihat setiap kejadian yang telah berlaku itu akhirnya adalah keputusan muktamad daripada Allah SWT dalam bentuk takdir.  Itu tidak menafikan masih perlu bertanggungjawab, masih perlu menyiasat keadaan, mengenal punca, membaiki situasi, bermuhasabah, post-mortem dll. agar kejadian sama dapat dielakkan, jika yang menimpa itu suatu yang buruk.

Dalam Islam, kita tidak disuruh sekadar berserah semata kepada takdir
seperti kelompok berfahaman Jabariyyah yang mempercayai manusia langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa dan hanya berserah bulat-bulat kepada takdir Allah. Bahkan di sisi manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah  kita dituntut berusaha agar takdir baik menyebelahi kita.  Sebab itu kita disarankan mengambil iktibar dan ibrah terhadap sesuatu kejadian lalu, muhasabah, dan tidak mengulangi kecuaian, kesilapan, ketidakpatuhan, dan segala kelemahan… yang lepas. Al-Qur’an banyak menyarankan kepada kita agar jangan mengikut kaum-kaum lalu yang tidak beriman dan menderhakai Allah SWT seperti Firaun dan kelompoknya. Bahkan kerosakan di alam ini juga adalah kerana tangan-tangan rakus manusia sepertimana mafhum firman Allah SWT yang bermaksud “…kerosakan adalah akibat daripada tangan-tangan manusia sendiri” (al-Rum:41)

Usaha agar memperoleh “takdir yang baik” inilah contoh sikap yang telah diambil oleh Sayyiduna Umar RA. Pernah ketika Sayyiduna Umar RA dan rombongan dalam perjalanan ke Syam dari Madinah, tiba-tiba dikhabarkan Syam dilanda wabak taun. Lalu Sayyiduna Umar membuat keputusan memerintahkan balik ke Madinah dan tidak meneruskan ke Syam. Apabila ditanya adakah tuan melarikan diri dari takdir, wahai Amirul Mukminin? Maka Sayyiduna Umar RA menjawab “aku lari dari satu takdir menuju takdir yang lain” Namun tindakan ini untuk perancangan akan datang, bukan untuk kejadian yang telah berlalu dan bersikap menyalahkan itu dan ini. Yang berlalu itu adalah takdir yang sudah disuratkan. Sebab itu kita dilarang menyebut terhadap kejadian yang TELAH berlaku dengan kata-kata “kalaulah aku buat begini, nescaya akan berlaku begini…” Dalam satu hadith yang agak panjang menyebut, Nabi SAW berpesan mafhumnya: “..apabila kamu ditimpa musibah, jangan kamu mengatakan jika aku berbuat begini, nescaya akan berlaku begini tetapi katakanlah “Qaddarallahu wa mashaa fa’al” yang bermaksud “apa yang telah ditakdirkan Allah pasti berlaku…” (HR Muslim).

Kesimpulannya, dalam beriman kepada Qada’ dan Qadar, kita hendaklah meyakini bahawa semua kejadian yang berlaku adalah takdir daripada Allah SWT, samada baik atau buruk. Namun, itu tidaklah bermakna kita tidak perlu berusaha dan menyerah kepada takdir semata. Sebaliknya, kita masih dituntut berusaha dan mengambil pengajaran atas setiap kejadian untuk memperbaiki agar takdir baik menyebelahi kita. Namun apabila berlaku apa yang berlaku, maka itulah takdir.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2yDB1t2
via IFTTT

PBT Jadi ‘Bapa Angkat’ Pantau Pusat Tahfiz Di Melaka

MELAKA, 19 September – Kerajaan negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar melantik pegawai kanan sebagai ‘bapa angkat’ kepada pusat tahfiz dalam kawasan pentadbiran masing-masing bagi memantau perkembangan premis mereka secara berkala.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata inisiatif itu diambil bagi mengelak tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 Sept lepas yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru daripada berulang.

Katanya pihak tersebut perlu membuat satu laporan terperinci bagi setiap pusat tahfiz dalam kawasan mereka bagi memastikan bahawa pihak pengurusan sekolah mematuhi pelan pembangunan terutama melibatkan aspek keselamatan .

“Selain itu, kita juga akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja peringkat daerah yang membabitkan Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri di bawah kendalian PBT bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan di semua sekolah tahfiz.

“Mereka ini berperanan untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh dan secara tidak langsung dapat mengambil tindakan awal (sekiranya berlaku kemalangan) dan (jika kita dapati) bangunan itu tidak boleh diperbaiki maka kita akan mengarahkan supaya ditutup dan tidak digunakan lagi,” katanya.



from IKIMfm http://ift.tt/2yf95e0
via IFTTT

JAIPK Rampas Selipar Ada Kalimah Syahadah

LUMUT, 21 September – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merampas sepasang selipar dipercayai menggunakan kertas mengandungi kalimah syahadah sebagai pelapik bahagian dalamnya, di sebuah hotel di Sitiawan, semalam.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om berkata rampasan yang dibuat melalui unit penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Manjung itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi, semalam, selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Kami memeriksa beberapa pasang selipar namun hanya sepasang sahaja yang menggunakan kertas keras mengandungi kalimah syahadah pada sebelah bahagian dalamnya.

“Selipar yang lain tidak mempunyai ayat suci al-Quran sebaliknya menggunakan gambar kartun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Roslin berkata perkara itu disedari pelanggan hotel tersebut apabila pelapik selipar yang digunakan terkoyak sehingga mendedahkan bahagian bawahnya yang mempunyai kalimah suci.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2fk7PCw
via IFTTT

Indahnya Ukhuwah Dalam Islam

ISLAM meletakkan ikatan hubungan ukhwah yang terjalin diantara manusia bukan hanya dihubungkan oleh ikatan sesama nasab atau kemanusiaan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu iaitu hubungan yang berlandaskan ikatan Islamiah. Dalam erti kata lain ukhwah yang terjalin adalah bermatlamatkan kerana Allah SWT. Justeru, setiap hubungan yang berlaku, kasih sayang yang terjalin dan ikatan yang dibina adalah kerana Allah SWT.

Menerusi Rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Rabu, Ustaz Hj Firdaus Hj Subhi berkata dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud “Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman). Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka” (HR Bukhari & Muslim)

Sesungguhnya, ukhuwah Islamiah terbina bukan kerana ada ikatan nasab yang serupa atau keturunan yang sama, tetapi ikatan itu terjalin kerana kasih sayang sesama manusia berlandaskan kepada hubungan islamiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, setiap ikatan yang berlandaskan kepada cinta Allah SWT akan mendatangkan kemanisan iman dalam setiap ikatan dan hubungan yang terjalin. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 10, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Menariknya agama Islam adalah kerana ajaran agama itu sendiri yang tidak mengenal siapa penganutnya tetapi boleh merapatkan jalinan hubungan sesama manusia. Sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah cara untuk memanjangkan ukhwah adalah dengan memberi salam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu belumlah beriman sebelum saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang menyayangi ? iaitu sebarluaskanlah salam diantara kamu sekalian ’’.( HR Muslim)

Mengapa Nabi mengajar umatnya menyebarkan salam? Salam itu sendiri yang membawa makna ‘salam sejahtera’ merupakan doa untuk memberi kedamaian kepada seseorang yang barangkali berada dalam kondisi yang tidak baik dan sebagainya. Ini kerana salam itu boleh juga menjadi doa buat orang lain. Salam juga boleh bertindak memulihkan hubungan yang keruh, dengan salam juga dapat membina semula semangat dan mahabbah sesama manusia.

Ukhwah menurut ulama adalah satu ikatan yang amat kukuh dan kuat sesama manusia. Ukhwah tidak hanya terikat kerana pertalian persaudaraan sahaja tetapi kerana agama Islam, umatnya ibarat seperti bersaudara melangkaui keturunan, fahaman dan bangsa.

Dalam surah al-Anfal ayat 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.

Dari ayat ini, seseorang mukmin itu sendiri perlu mencari cara dan jalan untuk membina ukhwah sesama manusia dengan berpandukan dari apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Namun sesungguhnya amat manis dan indah jika ukhwah yang dilandaskan atas dasar rasa kasih sayang kerana Allah. Waima jika terluka sekalipun, namun jika ikhlas dalam berhubungan sesama insan, Allah akan menghadiahkan ketenangan, rahmat dan kebaikan dalam setiap ujian dan kesabaran dalam berukhwah.

Sesungguhnya ikatan atau ukhuwah sesama insan pastinya akan membawa rahmat dalam setiap sudut kehidupan. Malah juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, sesiapa yang mahu usianya panjang, hendaklah memanjangkan ukhwah sesama manusia. Rasulullah SAW pernah juga marah kepada para sahabat baginda iaitu kabilah Aus dan Khazraj yang bermusuh dan memutus hubungan ketika berlaku perselisihan. Baginda memarahi mereka “Apakah dakwah seruan jahiliah yang kamu semua ingin cari?, sedangkan aku ini berada di hadapan kamu semua wahai saudaraku”. Baginda mengingatkan mereka akan permusuhan yang pernah berlaku sebelum ini, tetapi atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT kedua kabilah itu bersatu.

Islam melarang permusuhan, perbalahan diantara sesama umat kerana pergaduhan itu antara  petanda Islam akan menjadi lemah. Pergaduhan hanya akan menjauhkan manusia dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Orang yang menjaga Allah akan mendapat keizzahan (kemuliaan) dariNya dan begitu juga orang yang menjaga sesama manusia akan mendapat kekuatan kepada Islam itu sendiri. Namun orang yang hanya menjaga Allah tetapi tidak memelihara sesama manusia bererti tidak memelihara agama yang akhirnya hanya akan melemahkan kesatuan, perpaduan dan keutuhan agama Islam itu sendiri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wwtChJ
via IFTTT

Tiga pelarian maut berebut pakaian

DHAKA, 18 September – Sekurang-ku­rangnya dua kanak-kanak dan se­orang wanita pelarian etnik Rohingya terkorban akibat dipijak semasa berebut-rebut untuk mendapatkan pakaian yang diagih­kan di Balukhali Pan Bazar di sini ketika tekanan ke atas Myanmar memuncak selepas kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch terus mendesak para pe­mimpin dunia mengenakan sekatan terhadap tentera negara itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB) kini bersiap sedia untuk mengadakan perhimpunan agung di New York dan dijangka krisis penduduk Islam Rohingya di Myanmar akan menjadi antara topik utamanya.

Pada masa ini lebih 400,000 pelarian etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas didakwa ditindas dalam kempen penghapusan etnik oleh tentera Myanmar.

Kumpulan bantuan kemanusiaan kini berhempas pulas untuk menyediakan bantuan kepa­da pelarian berkenaan yang tiba setiap hari dan lebih separuh daripada mereka adalah golongan kanak-kanak.

Menurut laporan agensi-agensi bantuan, kejadian yang mengorban­kan tiga nyawa itu berlaku semasa pengagihan dibuat oleh pihak swasta yang tidak berdaftar di tepi sebuah jalan di kawasan berkenaan.

Kumpulan itu kini menghadapi kekurangan bekalan daripada semua aspek dengan kebanyakan pelarian hanya mempunyai sehelai kain selimut untuk melin­dungi mereka daripada hujan.

Pada masa yang sama, dua warga emas pelarian etnik Ro­hing­ya terbunuh selepas dipijak oleh gajah liar semasa sedang tidur di bawah khemah plastik dekat sebuah hutan di kem pela­rian Kutupalong di wilayah Cox’s Bazar, hari ini.

Seorang pelarian, Kamal Hossain berkata, kedua-dua mangsa itu baharu tiba di kawasan ber­kenaan dari Myanmar semasa kejadian yang berlaku awal pagi ini.

Semalam kerajaan Myanmar memberitahu tidak akan menerima balik semua pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh dengan alasan pelarian itu mempunyai hubu­ngan dengan kumpulan pejuang Islam yang menyerang balai polis pada bulan Ogos lalu.

Sumber Agensi



from IKIMfm http://ift.tt/2ymChAr
via IFTTT

Akta Pendidikan Perlu Dipinda, Masukkan Pendaftaran Sekolah Tahfiz – Ahmaf Zahid

PUTRAJAYA, 19 September – Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) disyorkan dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Syor yang dikemukakan pada Mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini melihat keperluan bagi menambah baik Akta 550 untuk penguatkuasaan ke atas sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baik.

“Demi kepentingan bersama, saya berharap mereka (kerajaan negeri) bersetuju,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Perdana Putra, hari ini.

“Kita prihatin masalah ini biarpun di bawah bidang kuasa negeri tetapi kerajaan pusat ambil kepedulian kerana kita tidak boleh melihat adanya ketidakpedulian oleh maahad tahfiz,” katanya.

Mesyuarat yang mengemukakan beberapa syor untuk isu-isu sekolah tahfiz itu turut dihadiri tujuh menteri kabinet antaranya Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ahmad Zahid berkata Jamil Khir diberi tanggungjawab untuk berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan itu.

“Kita berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum kita meminda akta itu,” katanya.

Sumber BERNAMA

 



from IKIMfm http://ift.tt/2fg1Tub
via IFTTT

Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal (Bhgn 2)

IMAM as-Syafie perna megakui kehebatan Imam Ahmad Ibn Hanbal dengan pujiannya “aku keluar dari Baghdad, maka aku tidak tinggalkan di situ seorang lelaki pun yang paling baik, berilmu, paling dalam ilmu feqah dan bertaqwa melainkan Imam Ahmad Ibn Hanbal. Ini pengakuan daripada seorang guru and beliau bukan insan biasa, Imam as-Syafie sendiri mengakui kehebatan Imam Ahmad. Imam Ibrahim al-Harrani katakan “aku meihat Abu Abdillah (Imam Ahmad) seolah-olah Allah SWT telah mengumpulkan ilmu orang-orang terdahulu dan terkemudian pada diri Imam Ahmad.

Ustaz Muhadir Hj Joll menyambung kisah mengenai Imam Ahmad Ibn Hanbal menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang di IKIMfm.

Seorang ulama hadith, Ishak ibn Rahuyah mengatakan “Imam Ahmad adalah hujah di antara Allah SWT dengan makhluk-makhluknya”. Abu Ubaid juga pernah katakan “sesungguhnya, aku cukup dengan menyebut Imam Ahmad dalam hujahku kerana tidak pernah aku melihat seseorang yang paling alim dalam ilmu hadith daripada Imam Ahmad.” Seorang ulama hadith yang lain, al-Imam Yahya ibn Ma’iin menyebut “kalaulah kita duduk raamai-ramai dalam majlis kita untuk memuji Imam Ahmad, pasti kita tidak dapat menyebut keutamaan-keutamaannya secara keseluruhan kerana kehebatan Imam Aahmad sangat banyak.”

Sheikh Nasar ibn Ali al-Jahdami pernah katakan “Imam Ahmad adalah orang yang terbaik pada zamannya.” Ibnu Khuzaimah katakan “aku mendengar Ibn Sahtuyah berkata : Allah SWT telah mengasihinya dengan kesabarannya di atas dunia dan atas akhlaknya ke atas orang-orang yang terdahulu serta teladannya terhadap orang-orang yang soleh.” Telah dibentangkan kepada Imam Ahmad kemewahan dan kesenangan dunia, namun tidak dihiraukannya. Malah yang dilihatnya adalah akhirat, zuhud, sabar dan warak. Muhammad ibn Yahya al-Zuhali katakan “aku jadikan Imam Ahmad sebagai Imam di antaraku dengan Allah SWT. Imam an-Nasaie katakan “Imam Ahmad telah mengumpulkan makrifah, hadith, ilmu feqah, warak, zuhud dan sabar di dalam dirinya”. Ini merupakan satu pujian daripada seorang ulama besar kepada seorang ulama besar yang lain.

Sheikh Ismail ibn al-Khalil pernah katakan “sekiranya Imam Ahmad hidup di zaman Bani Israel, nescaya beliau akan menjadi tanda kekuasaan Allah SWT.” Allah SWT boleh menzahirkan seseorang yang sangat warak, zuhud, punyai ilmu menjadi contoh dan teladan kepada orang lain dan melihatnya membuatkan kita mengingati Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “ulama umatku adalah seperti para nabi di zaman Bani Israel.” Al-Hassan al-Karabisi pernah katakan “perumpaan orang-orang yang mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada Imam Ahmad, orang ini adalah seperti orang yang pergi ke bukit Abi Qubais di Makkah yang ingin meruntuhkannya dengan selipar-selipar mereka.” Ini suatu perara yang mustahil kerana keunggulan dan ketokohan beliau memadakan perkataan buruk orang terdahap beliau.

Imam az-Zahabi merangkumkan mengenai Imam Ahmad, kata beliau “Imam Ahmad adalah seorang yang sangat hebat serta menjadi rujukan tertinggi dalam ilmu hadith, feqah dan ilmu ketuhanan. Musuh-musuhnya sahaja memuji beliau sangat hebat, inikan pula kawan-kawan dan sahabat-sahabatnya.” Antara akhlak mulia yang boleh kita pelajari daripada Imam Ahmad, beliau sekiranya menasihati, beliau tidak akan menasihati secara terang-terangan di khalayak orang ramai. Imam Harun ibn Abdullah katakan “pada satu malam, Imam Ahmad ibn Hanbal datang kepadaku, lalu aku bertanya mengenai hajat beliau. Imam Ahmad lalu menjawab dengan suara yang tenang dan perlahan, sesungguhnya sikapmu siang tadi telah mengusik perasaanku. Imam Harun kemudian bertanya apakah yang mengusik perasaan Imam Ahmad. Imam Ahmad menyambung dengan penuh sopan : pada siang tadi aku telah berjalan melalui majlismu. Lalu aku lihat engkau sedang duduk di bawah teduhan baying-bayang pokok sedangkan murid-muridmu duduk di bawah terik cahaya matahari. Jadi aku megharap engkau tidak akan mengulanginya lagi. Jika engkau mengajar, duduklah sepertimana murid-muridmmu duduk.”

Imam Ahmad tidak suka kepada kemasyhuran. Beliau pernah katakan “aku ingin diam di tempat terpencil di Makkah supaya aku tidak dikenali. Aku telah diuji dengan kemasyhuran. Aku sesungguhnya inginkan kematian pada waktu pagi dan petang.” Beliau ingatkan dirinya tentang mati agar dirinya tidak lalai dengan kemasyhuran. Fatah ibn Nuh mengatakan “aku mendengar Imam Ahmad katakan : aku inginkan supaya sesuatu yang ada ini tidak ada (kemasyhuran), aku inginkan sebuah tempat yang tidak ada manusia padanya supaya boleh menyendiri beribadah kepada Allah SWT.” Betapa beiau tidak mahukan kemasyhuran.

Imam Ahmad ibn Hanbal pernah menangis. Satu ketika saat beliau membeli barang di pasar, beliau memegang barang-barang yang telah dibeli dengan kedua-dua tangannya. Apabila orang ramai menyedari itu adalah Imam Ahmad, maka orang ramai menyerbu datang menghampiri beliau bersalaman dan mencium tangan beliau. Ada yang memuji dan memuliakan beliau dengan ucapan yang tinggi. Imam Ahmad ibn Hanbal kemudian menangis diangkat-angkat sebegitu. Ternyata beliau tidak leka dengan pujian sebegitu malah beliau menangis di hadapan ramai dengan berkata “kami adalah kaum yang miskin. Kalaulah tidak kerana Allah SWT yang menutup keaiban kami, nescaya akan terbukalah keaiban kami. Kalaulah kamu tahu dosa yang aku miliki, nescaya kamu akan letakkan tanah di atas kepalaku.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wqQxeh
via IFTTT

Pasukan Khas Siasat Kebocoran Maklumat Kes Kebakaran Pusat Tahfiz – KPN

KUALA LUMPUR, 18 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kebocoran maklumat dan perincian penyiasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis memandang serius perkara itu selepas fakta kes dan maklumat sulit tentang penahanan suspek serta beberapa gambar suspek menjadi tular di media sosial.

“Saya akan arahkan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Amar Singh Ishar Singh) untuk menubuhkan ‘task force’ (pasukan khas) untuk meneruskan siasatan berhubung isu kebocoran (maklumat) siasatan kes ini di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan (penyebaran maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu, pegawai atau anggota PDRM yang terlibat membocorkan maklumat, kami akan ambil tindakan, ia tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meraikan atlet-atlet Sukan SEA 2017 dan Sukan Polis dan Bomba Sedunia di Bukit Aman, di sini Isninin.

PDRM semalam dilapor telah mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat sulit kes berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2xKyznf
via IFTTT

Manusia Mempunyai Dua Watak

SIFAT asal manusia yang sebenarnya adalah baik sepertimana disebutkan iaitu dilahir dalam keadaan fitrah. Fitrah manusia juga ialah mempunyai pasangan dari kaun yang bukan sejenis mereka. Begitulah asalnya sifat manusia  boleh bersatu sebagai asbab terjadinya ikatan sesebuah perkahwinan. Penyatuan dalam banyak perkara membolehkan terbinanya tamadun manusia. Namun akan halnya kita sedia maklum sejak wujudnya Qabil dan Habil lagi perselisihan telahpun berlaku dan terus berlaku.  Perselisihan bukanlah  asing  dalam kehidupan kita. Ia sering terjadi dalam konteks kemasyarakatan khususnya dalam  hubungan antara suami isteri.      

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Manusia itu dahulu hanyalah satu umat yang satu kemudian mereka berselisih. Kalaulah tidaklah kerana ada satu ketetapan yang telah ada dari tuhanmu dahulu, pastilah telah diberikan keputusan dan azab kepada mereka di dunia, tentang apa yang mereka perselisihkan itu”. (Surah Yunus ayat 19)  Allah SWT merujuk sebagai umat yang satu bilamana manusia semua asalnya adalah baik dan tidak dicemari.

Apabila seseorang itu telah mula baligh dia akan mula boleh berfikir, membuat pelbagai tuntutan dan terdedah kepada kebarangkalian terpengaruh dengan fikiran yang tidak betul. Nafsu mula berkembang dan seandainya tanpa ilmu, seseorang boleh menjadi songsang apabila kehidupan dijalani hanya dengan menurut hawa nafsu. Manusia disifatkan sebagai sebaik-baik kejadian Allah dicipta dengan akal fikiran. Lihat sahaja orang Arab jahiliah, mereka adalah golongan pedagang yang terkemuka kerana kepandaian berniaga. Ayat satu dan dua daripada surah  Quraisy membuktikan kecerdikan bangsa  tersebut. Sebagaimana Allah s.w.t berfirman  “Kerana kebiasaan orang-orang Quraish.  Mereka  menjalankan perniagaan pada musim dingin dan panas”. (Surah Quraisy, ayat 1-2). Musim dingin digunakan untuk mengembara ke negara Syam manakala musim panas ke negara  Yaman.

Bangsa Quraisy terkenal sebagai peniaga yang amat berpengalaman dalam urusan jual beli serta menempuh perjalanan yang sangat luas sehingga al-Quran sendiri mencatatnya.  Akan tetapi ironinya, bagaimanakah bangsa Quraisy ini mendapat gelaran jahiliah. Justeru, pada siri perbincangan dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah  al-Amin memberi contoh orang-orang Quraisy ini sebagai bangsa yang tidak mampu menilai antara baik dan buruk lantaran akal fikiran mereka tidak dipandu dengan wahyu.   Dalam konteks masyarakat  pada masa kini  gelaran cerdik atau pandai  sering dirujuk kepada mahasiswa universiti,  pelajar sekolah,  mereka yang berkemahiran atau sesiapa sahaja yang boleh membaca dan menulis. Namun apakah kepandaian itu sudah memadai sebagai bekalan untuk menempuh ujian kehidupan? Sudah tentulah manusia berkehendakkan kepada ilmu berasaskan Al-Quran dan Hadith. Berbalik kepada manusia yang selepas balighnya mula berkecenderungan untuk berselisih, hanyalah dengan ketetapan serta rahmat daripada Allah yang menyebabkan manusia wahyu terus bersatu dan berkasih sayang. Hanyalah dengan ilmu pengetahuan agama yang sempurna mampu mengawal tindakan pasangan suami isteri supaya tidak menurut kehendak hawa nafsu masing-masing dalam menjalani kehidupan berumahtangga supaya rumahtangga  kekal aman.

Umat Nabi Muhammad s.a.w dipuji oleh Allah berbeza dengan umat terdahulu kerana mereka tidak akan meninggalkan orang yang tidak baik begitu sahaja. Orang-orang sebegini akan sentiasa ditarbiah  agar   dapat dikongsi bersama bagaimana untuk menjadi orang yang baik.Di samping itu, Muhammad menerangkan bahawa sifat manusia terbahagi kepada empat. Pertama, golongan jahat yg berbuat jahat yang terbentuk melalui kata -kata fitnah serta memburukkan orang lain dengan cara yang tidak wajar. Dalam diri ada dendam dan memaparkan kejahatan. Sebagaiman Allah s.w.t berfirman “Tidakkah kamu perhatikan orang yang menjadikan hawa nafsunya itu sebagai tuhan maka kamu tidak akan dapat menjadi penolong ke atasnya.”  (Surah al-Furqan a.yat 43 ). Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth termasuk dalam golongan ini walaupun duduk bersama orang-orang yang soleh.

Kedua, orang yg jahat yg berusaha untuk menjadi baik. Telah memasang niat ialah ciri-ciri  golongan sebegini dan di hati kecil mereka ingin menjadi baik contohnya solat mereka lebih terpelihara dan teratur. Bagi seorang suami beristerikan seorang yang dahulunya mempunyai kehidupan yang berliku, janganlah diungkit-ungkit begitu juga dengan isteri.  Ketiga, golongan yang memang baik tetapi tersasar.  Golongan ini memerlukan bantuan dan bimbingan manusia  sekeliling kerana mungkin mereka tidak pernah membuat kesilapan sebelum ini. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya taubat itu di sisi Allah bagi orang yang mengamalkan atau membuat perkara yang buruk kerana tersilap atau kejahilannya kemudian mereka segera bertaubat kepada Allah.  Mereka itu yang Allah berikan taubat kepada mereka dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”. (Surah an-Nisa’ ayat 17).  Kesan daripada kesilapan yang dilakukan oleh manusia ini boleh jadi kecil atau pun besar. Seterusnya adalah   orang yang baik tetapi tidak melakukan perkara yang betul seperti tidak bersolat atau berpuasa. Golongan ini perlu difahamkan tentang apa yg baik dan yang tidak baik dalam erti kata sebenar dan bukan baik sekadar mengikut pemahaman mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2hbakny
via IFTTT

Kaya Jiwa

PROF. MADYA DR. SYARIFAH HAYAATI SYED ISMAIL dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Kaya”. Ini selari dengan Sabda Baginda SAW daripada Abu Hurayrah RA yang mafhumnya “Bukanlah kaya itu dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kekayaan itu ialah kaya jiwa” (Bukhari & Muslim). Dengan kaya jiwa jugalah orang sanggup berkorban harta benda, masa dan wang ringgit demi kerana Allah SWT. Dalam Islam ini ada apa yang kita katakan tersurat dan tersirat.  Kalau dari segi tersurat yang kita nampak atau terlintas sepintas lalu orang yang kaya ialah orang yang memiliki wang ringgit dan harta benda yang banyak. Tetapi, yang tersiratnya ialah orang yang sebenar-benar kaya ialah orang yang “kaya jiwa” walaupun mungkin dari segi kekayaan harta bendanya tidak seberapa.

Begitu juga orang yang kuat, kalau secara zahir dan yang terlintas di fikiran kita mestilah orang yang kuat fizikalnya, tetapi Baginda SAW menyebut mafhumnya: “Orang kuat bukanlah orang yang menang bergusti, tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya pada saat marah”[HR. Bukhari dan Muslim]. Banyak kata-kata indah Baginda SAW yang memberi maksud hakiki terhadap sesuatu perkara termasuklah Baginda SAW pernah bertanya “siapakah orang yang dikatakan muflis?, maka para Sahabat menjawab orang muflis ialah orang yang tiada harta dan dirham, namun Baginda SAW menjawab orang muflis yang sebenar di Akhirat kelak ialah orang yang datang dengan pahala yang banyak tetapi ketika hidupnya dia menyakiti orang lain, mengumpat dan seterusnya lalu diambil pahalanya dan dia memikul dosa orang dia sakiti.

Begitu juga Nabi SAW pernah menyebut bahawa orang Islam itu ialah orang yang selamat lidahnya dan tangannya daripada menyakiti orang lain. Sabda-sabda Baginda SAW sebegini cukup indah apabila Baginda SAW membawa perspektif di luar rangka pemikiran zahir dan pandangan sepintas lalu kita, tetapi pergi kepada makna hakiki yang lebih mendalam.Kembali bercakap tentang “kaya jiwa” ialah orang yang menyenangkan orang lain walaupun mungkin dirinya mempunyai pelbagai masalah sendiri. Orang kaya jiwa ialah orang tidak terbawa-bawa emosi dan masalahnya hingga menyakiti orang lain. Memetik kalam Ibn Kathir di mana beliau menyebut “jika tidak boleh membahagiakan orang lain, jangan menjadikan orang lain derita; jika tidak boleh memuji janganlah pula mengeji; jika tidak boleh menyenangkan janganlah menyusahkan”.

Orang yang kaya jiwa ialah orang yang mampu menyembunyikan kesusahan, masalah yang dihadapinya apabila berhadapan dengan orang lain agar kita dapat menjaga hati orang lain. Orang yang tidak kaya jiwa ialah orang yang tidak peka terhadap orang lain, tidak prihatin kepada orang lain. Ketika mengerjakan ibadat haji misalnya, kita sedang dilatih agar menjadi orang yang kaya jiwa, terpaksa bertolak ansur, bersesak-sesak dengan para jemaah yang ramai, mendahulukan orang lain. Di Arafah atau Mina misalnya dengan bilangan bilik air yang terhad sedangkan dua juta manusia sedang berkumpul di situ, kita benar-benar diuji agar bersabar dan kaya jiwa. Orang yang kaya jiwa ialah orang yang tidak mementingkan dirinya sendiri tetapi mendahulukan orang lain walaupun adakalanya terpaksa menyusahkan dirinya sendiri.

Baginda SAW menunjukkan kepada kita betapa Baginda SAW sendiri seorang yang kaya jiwa. Pernah apabila Baginda SAW ketika mengimamkan solat dan mendengar anak menangis lalu Baginda memendekkan solatnya kerana prihatin, memahami kegelisahan ibu dengan anak yang menangis. Begitu juga apabila ada orang tua dan uzur yang menjadi makmun maka bagi orang yang kaya jiwa dia tidak akan memanjangkan solatnya kerana menyedari ada orang lemah di belakang kita yang menjadi makmun. Begitu juga jika kita makan makanan berbau seperti jering, petai, atau bawang putih maka kita diminta untuk betul-betul membersihkannya agar tidak berbau kepada orang lain khususnya apabila pergi ke masjid. Inilah sikap prihatin dan memahami perasaan orang lain, menjaga agar tidak menyusahkan orang lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2y8ivYu
via IFTTT

Tahfiz: 12 Jenazah Dikebumi Di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah

KUALA LUMPUR, 15 September – Dua belas daripada 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kesemua 12 jenazah itu akan disemadikan selewat-lewatnya hari ini.

“Bagaimanapun, kita menunggu keputusan proses pengecaman mayat mangsa yang dijangka selesai pada 3.30 petang ini.

“Sekiranya keputusan dikeluarkan awal, kita akan segerakan proses pengebumian jenazah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di pusat tahfiz itu.

Jamil Khir berkata jenazah yang lain akan dikebumikan di tanah perkuburan berdasarkan keputusan keluarga masing-masing.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyediakan enam pasukan khas untuk tujuan pengurusan jenazah kesemua 23 mangsa kebakaran itu. Hanya tunggu keputusan ‘pengecaman identiti mangsa’ (DVI),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata baki jenazah yang terkorban dalam tragedi, yang dianggap terburuk dekad ini, akan dikebumikan selewat-lewatnya hari ini.

“Pada 8.30 pagi tadi, saya telah mempengerusikan mesyuarat antara JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai pengurusan jenazah. Kami juga sudah menghubungi majlis agama negeri di Perak dan Kelantan,” katanya.

Mengiringi Jamil Khir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha.

Sementara itu, JAWI dalam satu kenyataan berkata empat jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang dan masing-masing satu jenazah di tanah perkuburan di Taman Kosas, Dato’ Keramat, Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Bukit Kuari, Cheras.

Tiga lagi jenazah, masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak).

Dalam pada itu, sepasukan anggota forensik polis dan bomba masih menjalankan kerja penyiasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran termasuk kerja pengukuran terhadap elemen objek di tingkat 3 bangunan tahfiz itu.

Dua puluh satu pelajar dan dua warden yang juga guru terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu awal pagi semalam.

Sumber BERNAMA






from IKIMfm http://ift.tt/2x0kelH
via IFTTT

23 Pelajar, 2 Warden Maut Dalam Kebakaran Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR, 14 September – Seramai 23 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam cedera.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi.

Video awam menunjukkan tingkat paling atas di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu masih terbakar ketika azan subuh berkumandang.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2xzhcFJ
via IFTTT

Erti Kejayaan di Perjalanan Hidup

ADA kejayaan di dunia ini yang bersifat sementara serta tidak membawa kepada nikmat perjalanan di dalam hidup manusia. Islam memandang sesuatu kejayaan itu lebih besar berbanding apa yang dibayangkan, malah saban hari manusia diajak untuk menuju kejayaan sebagaimana yang terdapat di dalam laungan azan yang berkumandang. Kejayaan hidup di dunia tidak dinilai dengan rupa paras, mendapat kedudukan di dalam masyarakat dan lain-lain kerana ia hanyalah kepalsuan dan membuatkan manusia hidup di dalam fantasi semata-mata. Tetapi hakikat kejayaan sebenar ialah apabila seseorang itu mampu mengolah dirinya menjadi mukmin dan mengimani segala perintah Allah SWT.

Selain itu, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm turut berkongsi di antara kejayaan sebenar bagi manusia ialah apabila mampu membersihkan hati mereka. Beruntunglah manusia yang sentiasa membersihkan jiwanya dan rugilah mereka yang hidup di dalam keadaan membiarkan jiwanya penuh dengan kekotoran. Ramai juga di kalangan manusia yang memilih jalan hidup menuju kegagalan apabila tidak mampu mendirikan solat dan tidak melakukan ibadah yang menunjukkan ketaatan kepada Allah. Allah juga mengingatkan manusia bahawa mereka yang berjaya adalah mereka yang semakin khusyuk di dalam solatnya, mampu menundukkan wajahnya untuk menyembah dan merasai besarnya ciptaan Allah dan akhirnya akan kembali mengadap-Nya.

Namun di dalam menjalani kehidupan di dunia, hati manusia terlalu mudah dikotori dengan dosa-dosa yang akan meninggal noda dan titik hitam. Hati manusia yang dipenuhi titk-titik hitam menyebabkan hilangnya nikmat kekhusyukan di dalam solat, nikmat ketika membaca al-Quran atau ketika mendengar kuliah agama dan segalanya berpunca daripada hati yang kotor. Ia akan juga akan merosakkan hubungan di antara manusia dan merasai kurang selesa apabila bersama-sama orang lain kerana puncanya daripada hati yang sedang bermasalah.

Berusahalah membersihkan hati untuk mencapai kejayaan kedua sebagai seorang hamba, iaitu apabila tibanya masa hampir seseorang itu dengan kematian. Berjayanya manusia apabila menemui husnul khatimah dan dipilih Allah untuk menjadi hamba kepada-Nya yang mampu diperolehi manusia melalui tiga cara. Iaitu menemui ajal pada masa yang baik, memilih tempat yang baik dan pada suasana yang baik. Rasulullah juga berpesan agar memperbanyakkan doa agar dimatikan di dalam husnul khatimah dan mengelakkan diri daripada menemui pengakhiran yang buruk.  Kemampuan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah hanya di kalangan mereka yang tertentu sahaja kerana ia tidak berlaku melalui kaedah hafazan tetapi ia diucap melalui amalan.

Sukarnya manusia menemui pengakhiran yang baik di dalam hidupnya kerana mereka tidak mengejar kejayaan sebenar. Sebelum menemui ajal, seharusnya berubahlah dengan menggambarkan keadaan diri ketika kembali untuk mengadap Allah. Rasulullah juga mengingatkan supaya perbanyakkan di dalam hidup manusia dengan menyebut sesuatu perkara yang mampu menghancurkan kelazatan terhadap dunia iaitu sentiasa menyebut tentang kematian. Ketika tiba saat untuk kembali mengadap Allah, manusia tidak lagi dapat dibantu oleh sesiapa termasuklah sangkaan buruknya kepada Allah. Pada saat getir itu, syaitan akan menghampiri untuk merosakkan hubungan manusia dengan Allah. Sesiapa yang berburuk sangka dan benci untuk bertemu Allah, maka Allah juga akan benci bertemu dengannya. Namun kepada mereka yang merindui untuk bertemu dengan-Nya, maka Allah juga sangat menginginkan untuk menemui mereka.

Simbol kejayaan apabila hampirnya saat kematian ialah datangnya malaikat dan mengisytiharkan kepada dirinya, “Wahai hamba Allah, janganlah kamu berasa takut dan berdukacita. Allah khabarkan berita gembira untuk dirimu, syurga Allah yang dapat kamu lihat di saat kamu akan mengadap di hadapan Allah.” Kegembiraan bagi mereka yang beroleh kejayaan ini ketika saat tiba ajalnya dapat dilihat pada wajah mereka, sehingga ada yang berkeringat di dahinya, malah ada juga yang menitiskan airmata. Pada saat ini jugalah, malaikat akan menyeru, “Wahai jiwa yang tenang, pulanglah kamu kepada Allah, di dalam keadaan Allah redha kepadamu dan kamu redha dengan ketentuan Allah; masuklah kamu di kalangan hamba-Ku dan masuklah kamu kedalam syurga-Ku.”

Kejayaan seterusnya kepada manusia ialah apabila berada di alam barzakh tidak ada sebarang azab kubur ke atas dirinya dan tiada pertanyaan daripada malaikat Mungkar dan Nangkir. Setelah mengalami himpitan kubur, liang lahadnya berubah menjadi lapang seluas 70 hasta, cantik kehijauan dihiasi pokok-pokok dengan bauan raihan. Di antara manusia yang berpeluang beroleh ganjaran seperti ini ialah di kalangan mereka yang mati syahid di jalan Allah. Malah mereka yang mengamalkan bacaan surah al-Mulk juga tergolong di kalangan manusia yang berjaya di alam barzakh nanti.

Selain itu, manusia yang mampu menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nangkir juga merupakan manusia yang beroleh kejayaan. Mereka yang tidak dapat menjawab persoalan daripada kedua-dua malaikat itu akan mengalami azab siksa yang dahsyat, dipukul dan dipalu berhari-hari sehingga hancur tulang belulangnya berdasarkan kepada keadaan amalan yang dikerjakannya sewaktu hidup di dunia dahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2x2mM20
via IFTTT

Jakim Saran Solat Hajat Mohon Isu Rohingya Tidak Berpanjangan

PUTRAJAYA, 13 September – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan agar masjid dan surau mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan.

Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha berkata ia akan diadakan selepas solat Jumaat.

“JAKIM mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan solat hajat pada 15 September ini selepas solat Jumaat.

“Penganjurannya bertujuan untuk mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan serta mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan solat hajat di masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2xxnLbX
via IFTTT

Cinta Sejati Milik Allah SWT

NABI Sulaiman AS telah diberi pilihan diantara ilmu, kuasa dan harta. Namun Nabi Sulaiman as memilih untuk memperolehi ilmu berbanding yang keduanya, dan pilihan itu adalah yang paling tepat kerana dari pilihan ilmu itu, harta dan kuasa juga diperolehinya. Justeru Nabi Sulaiman AS memperolehi ketiga-tiganya.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata dengan ilmu, kuasa dan harta yang dimiliki manusia akan terarah kepada perkara yang mendatangkan nilai kasih sayang sesama manusia bahkan orang yang berilmu akan sentiasa didorong oleh perbuatan yang menjurus kepada perkara-perkara yang diredhai Allah SWT.

Namun malangnya, menurut Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dalam rancangan Islam itu Indah di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.00 pagi, manusia hari ini lebih ghairah kepada harta dan pangkat daripada mengejar dan mengisi diri dengan ilmu yang bermanfaat. Hakikatnya ilmu itulah yang akan membimbing manusia untuk mencapai kemuncak hidup tertinggi iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.

Dalam membicarakan tentang tajuk berkaitan dengan pengorbanan dan kaitannya dengan cinta terhadap Allah SWT, setiap mukmin diingatkan bahawa benamkan kecintaan yang tinggi terhadap ilmu, nescaya akan membuka relung rezki yang lebih besar. Pencarian ilmu yang lebih luas akan membawa kecintaan dan kasih sayang Allah SWT yang lebih luas.

Ibrah dari kisah Nabi Ismail yang rela dikorbankan oleh ayahandanya Nabi Ibrahim mempunyai pengertian yang amat besar dalam istilah pengorbanan yang benar-benar tinggi nilainya di sisi Allah. Nabi Ibrahim bukan hanya sekadar mahu melaksanakan perintah Allah atas nama sebuah ketaatan tetapi lebih dari itu sanggup mengorbankan perasaan cinta terhadap anak demi Allah SWT. Pengorbanan yang dilaksanakan itu bukan pengorbanan berbentuk material dan fizikal, tetapi ia adalah pengorbanan tentang perasaan.

Dalam hidup ini, tidak ada yang lebih pedih selain pengorbanan yang melibatkan perasaan. Mengorbankan perasaan itu adalah lebih tinggi kesakitan dan keperitannya dari perkara-perkara lain. Sebab perasaan itu berada di hati kita, perasaan yang paling penting untuk dikorbankan bagi mendapat redha Allah adalah perasaan cinta. Ini kerana cinta itu bagi sesetengah orang yang meletakkannya pada tahap yang tinggi mempunyai nilai yang amat besar.

Dengan cinta manusia dapat membina keyakinan dan motivasi dalam hidup. Dengan cinta manusia dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan dan dengan cinta juga manusia merasa hidup ini hampir sempurna. Bahkan bagi sesetengah manusia cinta itu adalah segala-galanya sehinggakan tidak mudah untuk ditukarganti. Justeru, cinta itulah yang perlu dikorbankan kerana cinta kepada material itu perlu ‘disembelih’ untuk mendapat cinta Allah SWT.

Pengajaran yang terbesar dari peristiwa pengorbanan Nabi Ismail ini adalah cinta itu perlu dikorbankan. Di mana ada cinta di situ ada pengorbanan. Setiap perkara yang ada nilai cinta atas dasar keduniaan perlu dikorbankan kerana cinta itulah yang membawa manusia menjadi alpa kepada perintah Allah.

Apa yang diajarkan melalui peristiwa Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim adalah untuk diteladani dan dijadikan pengajaran yang bernilai bagi manusia untuk meraih kasih Allah. Sesungguhnya manusia tidak akan benar-benar dapat meraih cinta Allah jika masih belum mampu berkorban hal-hal yang berkaitan duniawi dan bersifat material. Cinta yang besar terhadap dunia jika dikorbankan untuk meraih cinta Allah pasti akan dianugerahkan cinta yang lebih besar lagi. Justeru, jangan kecewa seandainya kehilangan cinta kecil di dunia ini kerana cinta Allah adalah cinta sejati yang kekal abadi.

Allah sangat ‘cemburu’ tentang soal hati. Allah cemburu jika cinta itu tidak diletakkan kerana dan kepadaNya. Dalam memahami tentang cinta, setiap mukmin perlu sedar bahawa cinta manusia itu adalah alat, manakala cinta Allah adalah matlamat. Cinta kepada manusia adalah jalan dan cinta kepada Allah adalah tujuan. Jangan sesekali kita silap menilai cinta, barangkali cinta kita berada pada telapak si miskin yang menderita. Mungkin cinta kita berada pada si anak yatim yang memerlukan kasih sayang, barangkali juga cinta kita ada pada pada orang yang tertindas dan dizalimi.

Sesungguhnya Allah meletakkan cinta kepada manusia-manusia ini sebagai jalan untuk mendapat cinta Allah SWT. Cinta kepada ibadah dan amalan itu adalah jalan bagi mencapai tujuan iaitu cinta Allah yang hakiki dan kekal abadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wZVB89
via IFTTT

YDP Agong Beri Penghormatan Terakhir Kepada Almarhum Sultan Kedah

ALOR SETAR, 12 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 12.40 tengah hari di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diiringi Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani.

Almarhum Sultan Abdul Halim, 89, mangkat di Istana Anak Bukit di sini pada pukul 2.30 petang semalam setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Turut berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Tuanku Zara Salim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir memberi penghormatan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2wm6CwW
via IFTTT

Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal

BELIAU merupakan anak murid kepada Imam as-Syafie yang sangat dicintai oleh Imam as-Syafie yang juga dikatakan orang dengan “seorang imam yang terkenal di seluruh dunia, tidak disebut dan diingat melainkan sebagai imam yang agung. Orang ini merupakan seorang alim yang beramal dengan ilmunya dan dengan kebenaran. Orang ramai datang daripada tempat yang jauh semata-mata ingin melihat dan member salam kepadanya.” Terdapat seorang daripada Khurasan berkata “ada sebahagian kami di Khurasan yang menganggap Imam Ahmad ini bukan seperti manusia, tetapi menganggapnya seperti malaikat.” Beliau ialah Imam Ahmad Ibn Hanbal atau dikenali dengan Imam Hanbali.

Imam Ahmad menceritakan tentang diri beliau “aku dilahirkan pada bulan Rabiul Awwal tahun 164 Hijrah.” Imam az-Zahabi mengatakan ayah Imam Ahmad berasal dari Anjat (Selatan Rusia) dan meninggal sekitar usia 30 tahun. Imam Abu Mashar al-Ghassani pernah ditanya “apakah kamu tahu siapakah yang akan menjaga urusan umat ini?” Lantas Imam Abu Mashar menjawab “Seorang pemuda dari sebelah timur, iaitu Imam Ahmad Ibn Hanbal.” Imam Muzani, anak murid kepada Imam Syafie berkata “Imam Syafie berkata kepadaku : aku telah melihat seorang pemuda di Baghdad. Jika dia meriwayatkan hadith dengan katanya ‘haddathana’ – telah berkata kepada guruku, maka orang ramai akan mengatakan benar dan beliau ialah Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Para pengkaji hadith dan sejarah telah menyebut bahawa Imam Ahmad telah bermusafir khas untuk mencari ilmu sehinga ke Kufah, Iraq; Basrah, Syria; Makkah dan Madinah, Arab Saudi; Yaman, Iran, Syam, Morocco, Khurasan, Algeria serta pelbagai Negara lagi. Imam az-Zahabi mengatakan Imam Ahmad menuntut ilmu ketika umurnya lima belas tahun. Beliau menuntut ilmu dengan penuh cabaran dan kesukaran.

Kata Imam Ahmad “aku telah menulis lima buah hadith daripada Mubassyir al-Halabi di Halab, Syria lalu kami pergi ke Tartus dengan berjalan kaki.” Imam Ahmad ad-Dawarqi menyebut “ketika Imam Ahmad berjumpa dengan Imam Abdul Razak, guru hadith beliau dan aku melihat Imam Ahmad ketika itu di Makkah masih sihat dan kemas. Tetapi ketika belajar dengan Imam Abdul Razak beliau keihatan letih dan tidak terurus kerana letihnya ekoran perjalanan yang jauh. Aku pun bertanya kepada Imam Ahmad mengenai keadaanya.” Imam Ahmad kemudian menjawab “apa yang kami dapat manfaat daripada ilmu dan riwayat Imam Abdul Razak lebih berat daripada permusafiran yang jauh dan penat kerana ilmu daan manfaat yang lebih lagi.”

Imam Ahmad benar-benar menguasai ilmu hadith dan tidak perlu diragui lagi. Anak Imam Ahmad, Imam Abdullah katakana “Bapaku telah berkata padaku : ambillah mana-mana kitab yang kamu mahu daripada kitab-kitab Imam Waqiq. Jika kamu mahu bertanya kepadaku tentang kalam, maka aku akan menjawab sekali dengan sanadnya. Kalau kamu mahu tahu tentang sanadnya, maka akan aku berikan sekali hafalanku daripada semua sanadnya.” Ini membuktikan keseluruhan kitab itu, tanpa dilihat tetap dapat disebut oleh Imam Ahmad. Anak beliau turut mengatakan “ada seorang Imam bernama Abu Zur’ah berkata kepadaku : ayahmu menghafal sejuta hadith.” Lalu anak Imam Ahmad bertanya “dari mana kamu tahu?” jawabnya “aku diberitahu tentang perkara ini dan aku juga ambil beberapa bab hadith daripada beliau.”

Imam az-Zahabi juga mengatakan orang yang berkumpul di dalam majlis ilmu Imam Ahmad seramai 5000 orang atau lebih. Daripada jumlah itu, seramai lima ratus orang menulis dan bakinya ingin belajar bagaimana akhlak baik Imam Ahmad. Anak murid Imam Ahmad, Imam Ali Al-Madini mengatakan “aku telah diperintahkan oleh guruku, jangan berbicara melainkan kesemuanya yang ada di dalam kitab. Tidak ada seorang pun ulama yang lebih hafal dan kuat ingatannya daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Anak Imam Ahmad katakan “aku mendengar bapaku katakan : aku mengharapkan agar aku selamat daripada perkara-perkara yang dijulang orang supaya ia tidak menjadi suatu bebanan nanti kepada diriku dan orang selainku.” Imam Ahmad sangat disukai orang ramai sehinggakan ramai yang berdoa bertahun-tahun agar dapat berjumpa dengan Imam Ahmad. Imam Ahmad sekitar umurnya 60 tahun lebih, tidak mengetahui mengapa dirinya ingin sangat pergi ke suatu tempat di Iraq. Beliau tiba di kota tersebut pada waktu Maghrib dan solat berjemaah. Sementara menanti masuknya waktu Isyak, beliau membaca Al-Quran. Selesai Isyak, beliau duduk di sudut masjid untuk tidur dan berehat di situ. Lalu datang seorang ahli masjid bertanya “wahai tuan, mengapa duduk di sini?” Imam Ahmad kemudian menjawab “saya di kota ini tidak mengenali sesiapa dan ingin tidur di sini.” Ahli masjid tersebut tidak membenarkan Imam Ahmad tidur di situ. Permintaan demi permintaan tetap juga ditolak. Akhirnya Imam Ahmad keluar dari masjid. Peristiwa itu dilihat oleh pembuat roti di sebelah masjid lalu memangil Imam Ahmd ke kedainya dan diajak Imam Ahmad bermalam di rumahnya. Sebelum menunggu waktu pulang ke rumah pembuat roti tersebut, Imam Ahmad memperhatikan perawakan pembuat roti yang sedang menjalankan kerjanya. Sambil membuat kerja lidahnya tidak lepas dari menyebut “aku memohon ampun dan bertaubat pada-Nya.” Lalu Imam Ahmad bertanya “sejak bilakah kamu mengamalkan ini?” Pembuat roti tersebut katakana sejak bujang sehingga kini. Kemudian Imam Ahmad bertanya lagi “apakah hasil daripada istighfarmu?” Pembuat roti tersebut katakan “tidak saya meminta apapun melainkan semuanya dikabulkan oleh Allah SWT kecuali satu sahaja iaitu saya belum diperkenankan oleh Allah SWT untuk berjumpa dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal” Imam Ahmad dengan terkejut melaunkan ‘Allahu Akbar’ dan berkata “Istighfarmu itulah yang menyebabkan aku datang ke kota ini tanpa mengetahui mengapa aku ingin datang ke kota ini.” Imam Ahmad kemudian katakan “akulah Imam Ahmad ibn Hanbal”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 September 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2f245oW
via IFTTT

PM doakan kejayaan calon UPSR

KUALA LUMPUR, 11 September – Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan kejayaan semua murid tahun enam di seluruh negara yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula siang ini.

Doa itu disampaikan oleh Perdana Menteri menerusi akaun Twitter beliau malam tadi.

“Selamat maju jaya kepada semua murid yang akan menduduki peperiksaan #UPSR bermula esok. Do your best!,” ucap Najib.

Seramai 443,794 calon bakal menduduki UPSR di 8,085 pusat peperiksaan di seluruh negara selama lima hari yang akan berakhir pada 18 September ini.

Sumber UTUSAN ONLINE

 



from IKIMfm http://ift.tt/2wTPrWS
via IFTTT

Sultan Kedah mangkat

ALOR SETAR, 11 September – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak namun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dilaporkan akan mengadakan satu sidang akhbar mengenainya di Wisma Darul Aman petang ini.

Sumber UTUSAN ONLINE

 



from IKIMfm http://ift.tt/2jjmFdN
via IFTTT

Siasat Setiap Berita Yang Diterima

KITA perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat suatu tindakan yang merugikan. Ia akan menjadi malapetaka ke atas umat Islam jika tidak berhati-hati dan meneliti kebenaran sumber berita yang diterima. Sehinggalah ke saat dunia tanpa sempadan hari ini banyak fitnah dan berita bohong dijadikan sandaran. Kita ‘share’ sesuatu berita bukan kerana keabsahan informasi yang terkandung di dalamnya, tetapi ukuran tersebut dibuat berasaskan berapa ramai yang ‘like’ dan ‘hangat’nya info tersebut. Fahamilah bahawa jumlah ‘like’ mahupun ‘dislike’ tersebut bukanlah syarat ‘mutawatir’ berita tersebut, adakalanya dasar perkhabaran yang disebarkan itu mempunyai bukti kekeliruan dan palsuUstaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi memetik  Surah Al-Hujurat ayat 6 bermaksud Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Di dalam Al-Quran banyak menyebut perihal golongan Fasik yang menjadi ancaman besar terhadap masyarakat Islam tanpa disedari. Hal ini demikian kerana, golongan Fasik amat menonjol dan begitu agresif menzahirkan sifatnya. Allah swt banyak memberi peringatan perihal golongan Fasiq di dalam Al-Quran dengan tujuan supaya umat Islam berwaspada terhadap golongan tersebut.

Perkembangan teknologi telekomunikasi yang pesat membolehkan maklumat diterima secara pantas di hujung jari. Kemudahan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan WeChat serta laman sosial Facebook dan Twitter turut membawa kesan buruk apabila berita palsu begitu mudah disebarkan. Saya perhatikan ramai dalam kalangan kita yang terlalu mudah dan cepat menyebarkan berita yang belum tentu benar. Rata-rata nampaknya begitu taksub untuk menjadi yang pertama berkongsi sesuatu berita. Betul atau tidak, lain cerita. Berita-berita sensasi sebegini akan menular dengan cepat sebelum dapat dibuktikan kesahihannya. Sepatutnya, kita sendiri perlu sentiasa berhati-hati apabila membaca berita terutamanya yang dibaca dalam talian. Periksa sumber untuk menentukan kesahihannya. Dalam pada itu, saya tertarik dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan portal sebenarnya.my untuk membanteras penularan berita palsu di laman sosial dan internet. Ini memudahkan masyarakat menyelidik dan memeriksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan. Bagi saya portal itu adalah platform terbaik untuk berbuat demikian. Semoga lebih ramai orang akan memanfaatkan kemudahan itu. Ingatlah selalu slogan portal berkenaan Tidak pasti, jangan kongsi.

Kebanyakan kita sering tersilap langkah dalam tindakan kerana mudah menerima sesuatu perkara tanpa usul periksa. Sikap ini sebenarnya ditegah oleh Islam. Sesuatu berita, ajaran atau apa jua perkhabaran kadang-kadang palsu, dusta atau fitnah semata-mata yang hanya mendatangkan bencana keburukan. Oleh itu umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada, kerana iblis dan syaitan serta tali barut mereka yang bertopengkan manusia sentiasa berusaha menyesatkan manusia melalui pelbagai cara. Sudah tiba masanya alim ulamak kita melaksanakan nahi mungkar dengan mengingatkan kembali umat Islam serta kerajaan tentang ajaran Al-Quran seperti ayat-ayat yang dibincangkan ini. Jika perkara buruk ini berleluasa dan tidak boleh disekat lagi, berkemungkinan besar rakyat Islam di Negara ini akan dilaknat Allah dengan laknat yang tidak dijangka sama sekali. 

Dalam konteks penyampaian berita atau maklumat, Islam amat menitik-beratkan soal kepercayaan dan meyakinkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Mawardi dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud “Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat berwaspada dengannya”. Berdasarkan kepada peringatan tersebut, wajarlah bagi umat Islam menyelidik terlebih dahulu sebarang berita atau maklumat yang disampaikan oleh golongan fasik dengan memastikan sejauhmana kebenarannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah, dan tergopoh-gapah adalah dari syaitan”. Demikian kerana, berita yang dibawa oleh golongan fasik boleh memberi impak yang besar terhadap individu lain dan masyarakat selain menggugat keimanan.

Dalam era kecanggihan teknologi maklumat di zaman ini, berita amat mudah disebarkan. Hanya dengan menggunakan hujung jari, maklumat akan disampaikan dengan pantas tanpa sempadan. Kecanggihan tersebut diambil peluang sepenuhnya oleh golongan fasik untuk menyebarkan fitnah bagi tujuan tertentu. Implikasinya, fitnah dan hasutan lebih mendominasi pemikiran umat masa kini.  Lantaran itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan bijak menilai sebarang berita yang diterima. Adalah tidak wajar sekiranya hubungan silaturrahim antara umat hancur hanya disebabkan oleh bahana fitnah sedangkan kerukunan dalam bermasyarakat harus dipertahankan demi kesejahteraan agama dan negara.Justeru, setiap umat Islam perlu memahami dan mengenal golongan Fasik agar dapat menghindarkan diri daripada terpengaruh . Mudah-mudahan melalui bait-bait tazkirah ini, beberapa pengajaran dapat diambil untuk dijadikan panduan dan benteng keimanan.  Wallahu A’lam.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Septmber 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wRx0D3
via IFTTT