Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB) kini bersiap sedia untuk mengadakan perhimpunan agung di New York dan dijangka krisis penduduk Islam Rohingya di Myanmar akan menjadi antara topik utamanya.

Pada masa ini lebih 400,000 pelarian etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas didakwa ditindas dalam kempen penghapusan etnik oleh tentera Myanmar.

Kumpulan bantuan kemanusiaan kini berhempas pulas untuk menyediakan bantuan kepa­da pelarian berkenaan yang tiba setiap hari dan lebih separuh daripada mereka adalah golongan kanak-kanak.

Menurut laporan agensi-agensi bantuan, kejadian yang mengorban­kan tiga nyawa itu berlaku semasa pengagihan dibuat oleh pihak swasta yang tidak berdaftar di tepi sebuah jalan di kawasan berkenaan.

Kumpulan itu kini menghadapi kekurangan bekalan daripada semua aspek dengan kebanyakan pelarian hanya mempunyai sehelai kain selimut untuk melin­dungi mereka daripada hujan.

Pada masa yang sama, dua warga emas pelarian etnik Ro­hing­ya terbunuh selepas dipijak oleh gajah liar semasa sedang tidur di bawah khemah plastik dekat sebuah hutan di kem pela­rian Kutupalong di wilayah Cox’s Bazar, hari ini.

Seorang pelarian, Kamal Hossain berkata, kedua-dua mangsa itu baharu tiba di kawasan ber­kenaan dari Myanmar semasa kejadian yang berlaku awal pagi ini.

Semalam kerajaan Myanmar memberitahu tidak akan menerima balik semua pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh dengan alasan pelarian itu mempunyai hubu­ngan dengan kumpulan pejuang Islam yang menyerang balai polis pada bulan Ogos lalu.

Sumber Agensi