Korbankan Ismailmu

SETIAP sisipan kehidupan manusia tidak akan pernah sunyi dari pelbagai ujian dan cabaran. Justeru, dalam menangani segala kesulitan dan kesukaran hidup, hanya hati yang cekal mampu melaluinya. Hati yang kuat dan utuh hanya mampu diperolehi melalui bersujud kepada Allah SWT kerana hanya DIA tempat untuk memohon dan meminta pertolongan.

Menurut Ustaz Pahrol Hj. Juoi melalui rancangan Islam Itu Indah, setiap hamparan ujian dalam kehidupan perlu ada penyelesaiannya. Bahkan jarak antara masalah dan penyelesaian adalah antara dahi dan tempat sujud. Ini bererti untuk mendapat kekuatan dalam mencari penyelesaian masalah sama ada kecil atau besar adalah dengan bersujud kepadaNya kerana hanya Allah SWT yang memiliki segala-galanya. Namun demikian, bagi sesetengah orang, bukan mudah untuk bersujud meminta kepadaNya kerana untuk sujud bukan kerja dahi tetapi sujud itu adalah kerja hati. Oleh itu, hati yang jauh dari Allah sudah pasti tidak mampu untuk bersujud kepadaNya. Manakala hati yang ada rasa cinta akan mudah untuk merintih, meminta dan bersujud kepadaNya.

Sesungguhnya dalam hati itulah wujudnya sebuah cinta. Cinta yang hakiki iaitu cinta yang hanya kepada Allah SWT akan mengatasi segala-gala cinta kepada yang lain. Ini kerana apabila kita memberi cinta kepada Allah secara sepenuhnya, cinta terhadap perkara lain tidak lagi menjadi bermakna kerana cinta Allah itu sudah mencukupi untuk kita.

Sebagaimana amalan Nabi Ibrahim a.s yang kemudian diajar oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh umatnya adalah “Aku memohon cintaMu, aku memohon cinta orang yang mencintaiMu, aku memohon segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMU”. Oleh itu, apabila kita mencintai Allah bererti kita memiliki segala-galanya. Pada Allah ada kasih sayang, ada keadilan, ada kebaikan, ada kekuatan, ada kekayaan, ada kecukupan dan ada segala-galanya yang diperlukan oleh setiap manusia.

Manusia yang lemah tidak akan mampu melalui hidup ini tanpa pertolongan Allah SWT. Lalu, dengan cinta Allah akan mendekatkan manusia kepadaNya seterusnya hanya dengan cinta Allah memberi kekuatan kepada mukmin untuk mendepani kesukaran dalam hidup ini.

Tetapi lumrah kehidupan sesuatu yang berharga itu bukan mudah untuk diperolehi, umpamanya antara permata dan kaca sudah pasti kaca itu lebih senang dibeli berbanding permata. Begitu juga antara pasir dan emas, pasir ada di merata-rata sedangkan emas hanya berbilang dan mereka yang berkemampuan sahaja mampu memiliki.

Begitulah aturan atau sunatullah hidup ini, apabila kita telah medapat sesuatu yang bernilai (cinta Allah), kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang lain. Dengan kata lain, apabila kita ingin sesuatu, kita juga perlu melepaskan sesuatu. Seperti kata bijak pandai, musuh perkara yang sangat penting adalah perkara yang penting dan musuh kepada perkara yang sangat berharga adalah perkara yang berharga. Oleh itu, dalam membuat pilihan dan keputusan kita sering berdepan kesukaran kerana terpaksa melakukan pengorbanan. Namun dalam kita membuat pilihan, pilihlah perkara-perkara yang akan mendekatkan kita dengan cinta Allah SWT.

Dalam hidup, kita tidak akan memiliki semuanya. Justeru bagi seseorang mukmin dalam membuat pengorbanan dalam pilihan, biarlah kita berkorban untuk memperolehi sesuatu yang lebih berharga dari apa yang kita hilang. Begitu juga dengan semangat pengorbanan yang dididik melalui peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahandanya Nabi Ibrahim as. Pengorbanan yang mahu dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah untuk meraih cinta Allah yang sangat tinggi. Beliau sanggup mengorbankan segalanya demi cinta Allah SWT.

Tingginya nilai cinta Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail terhadap cinta Allah SWT tiada galang ganti. Akhirnya ketaatan terhadap perintah Allah SWT atas nama cinta itu berbalas dengan nikmat syurga yang tiada penghujung. Justeru, keluhuran sebuah pengorbanan atas nama cinta agung hanya untuk Allah SWT wajar diikuti dan dijadikan pedoman untuk kita semua. Falsafah melalui peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim adalah, sesungguhnya apabila kita mengorbankan cinta yang kecil, cinta yang lebih besar akan dapat kita miliki, dan cinta yang kecil yang telah dikorbankan akan kembali kepada diri kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wR4Dp1
via IFTTT

Arab Saudi Lancar Platform Digital, Membolehkan Seluruh Dunia Mengikuti Perjalanan Ibadah Haji

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2017 — Kementerian Kebudayaan dan Maklumat (MOCI) Arab Saudi telah melancarkan dua platform digital yang membolehkan para jemaah di Mekah, termasuklah orang awam di seluruh dunia, pihak media tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan terkini ibadah haji pada tahun ini.

SaudiWelcomesTheWorld.org merupakan platform bagi menyampaikan mesej kasih sayang dan perpaduan kepada umat Islam di seluruh dunia, walau dimana jua mereka berada.  Portal ini berkongsi pelbagai kisah menarik jemaah haji daripada pelbagai latar belakang bangsa dan budaya, dalam menjalankan rukun Islam kelima ini. Platform ini merupakan satu platform terbuka untuk jemaah berkongsi perjalanan ibadah haji mereka, secara tidak langsung membolehkan dunia mempelajari dan mengetahui nilai-nilai murni  agama Islam.

Portal ini melengkapi dan memberi nilai tambah kepada portal media, www.Hajj2017.org yang memberikan maklumat, perkembangan dan berita-berita terkini tentang Haji 2017. Menerusi portal ini, para wartawan boleh mengakses dan memuat turun bahan-bahan media seperti gambar, infografik dan juga siaran akhbar. Portal ini juga membolehkan pengguna mengakses semua saluran rasmi yang menyiarkan siaran langsung pelaksanaan ibadah haji.

Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang memerlukan umat Islam ke Mekah bagi melaksanakannya.  Setiap orang Islam dewasa wajib melaksanakan ibadah ini sekali seumur hidup sekiranya mereka mempunyai kemampuan fizikal dan kewangan.

Lebih daripada 1.5 juta jemaah haji telah tiba di Arab Saudi dan kira-kira 500,000 lagi jemaah dijangka tiba untuk melaksanakan ibadah Haji yang akan bermula pada 30 Ogos dan berakhir pada 4 September ini.

 

 



from IKIMfm http://ift.tt/2x2Vyc1
via IFTTT

Lantikan Semula Ketua Pengarah IKIM

KENYATAAN MEDIA

30 Ogos  2017

LANTIKAN SEMULA KETUA PENGARAH IKIM

Datuk Prof. Dr. Azizan binti Baharuddin, telah dilantik semula oleh YAB Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selama dua (2) tahun mulai 1 September 2017 sehingga 31 Ogos 2019.

Beliau telah memulakan perkhidmatannya di IKIM sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada 1 November 2011 dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pengarah IKIM kelima pada 1 September 2015.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam Biologi dari University of Tasmania  dan PhD dari University Lancaster, UK dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains (Sains dan Agama). Beliau berpengalaman luas dalam bidang agama dan sains, dialog peradaban serta alam sekitar. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah di Universiti Malaya pada 1979 dan menjadi Pengarah di Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya pada 2000 sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah IKIM.

IKIM mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak atas pelantikan semula ini dan berharap dengan pengalaman yang luas Datuk Prof. Dr. Azizan Baharuddin, akan berusaha untuk mencapai visinya iaitu untuk menjadi institusi utama kefahaman Islam bertaraf antarabangsa.

Tamat.

 



from IKIMfm http://ift.tt/2x2YGoi
via IFTTT

Jemaah Malaysia menuju Arafah esok

MEKAH 29 Ogos – Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia akan menyertai lebih dua juta umat Islam seluruh dunia bergerak ke Arafah esok bagi menghadapi kemuncak haji iaitu hari wukuf yang dijadualkan pada Khamis.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan operasi Masyair bermula esok hingga 4 September (13 Zulhijah).

Masyair ialah kawasan bermulanya kerja ibadah haji di luar kota Mekah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Mudzalifah dan melontar di Mina sebelum jemaah haji kembali ke Mekah untuk tawaf, sai dan tahlul.

Sebanyak 20 bas dengan tiga pengiliran perjalanan bagi setiap maktab akan digerakkan seawal pukul 9 pagi esok, dengan keseluruhan melibatkan 280 bas membabitkan 14 maktab dengan jumlah keseluruhan 840 perjalanan.

Kesemua jemaah haji Malaysia dijangka berada di Arafah lewat tengah malam esok.

Pergerakan bas jemaah haji Malaysia itu akan dipantau dengan menggunakan sistem Bravo dan aplikasi Hajj-Mobiliti melalui telefon pintar.

Turut digerakkan adalah pelan pengurusan bencana di Tanah Suci sebagai sokongan  dalam memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sumber UTUSAN ONLINE



from IKIMfm http://ift.tt/2wZQMvJ
via IFTTT

Persembahan Unik Kembalikan Nostalgia Sambutan Kemerdekaan ke 60

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Sambutan Hari kebangsaan tahun ini menjanjikan persembahan unik berbanding tahun-tahun sebelumnya menerusi satu persembahan istimewa yang akan menggamit kembali peristiwa bersejarah pertama kali laungan kemerdekaan dilafazkan 60 tahun lalu

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Acara Jabatan Perdana Menteri, Rozainor Ramli berkata sambutan kali ini yang akan diadakan di Dataran merdeka Kuala Lumpur bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa akan mengembalikan semula nostalgia sambutan kemerdekaan pada 1957 dengan mengimbas detik-detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan.

“kita harapkan rakyat Malaysia datang beramai-ramai meraikan sambutan hari kebangsaan pada tahun ini di dataran merdeka untuk bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme, saling hormat – menghormati, menghargai nilai kemerdekaan yang kita kecapi selama ini, katanya.

Dalam satu taklimat media yang diadakan di bilik media yang dibina khas di Dataran Merdeka, Kuala lumpur Rozainor berkata, konsep persembahan yang diilhamkan dari sambutan keramat di stadium merdeka 60 tahun lalu itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat negara ini agar terus memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara tanpa berbelah bahagi.

Menariknya persembahan yang bakal dihidangkan kepada ribuan warga kota nanti adalah lakonan semula detik-detik keramat 31 Ogos 1957 iaitu alunan azan yang akan disempurnakan olehLeftenan Komander Mohamad Sharif Kalam, 82 yang melakukannya 60 tahun lalu. Selain itu, penonton juga akan berpeluang menyaksikan acara melepaskan burung merpati yang pernah dilakukan dulu oleh Rusnah Aksah, 80.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengagihkan 55,000 Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan, swasta dan orang ramai bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kota sepanjang bulan kemerdekaan tahun ini.



from IKIMfm http://ift.tt/2wdUpgK
via IFTTT

DAESH Ancaman Nyata

Imam Malik RA

IMAM MALIK RA memiliki keperibadian tinggi dan mempunyai ilmu yang luas serta ketajaman fikiran.  Di seluruh alam, Imam Malik dikenali sebagai contoh bagi generasinya, tokoh pada masanya, seorang ilmuan daripada para ilmuan yang memberi petunjuk dan kebenaran. Beliau digelar dengan gelaran Imam ‘Darul Hijrah’ yang merujuk kepada Imam dari negeri Hijrah iaitu Madinah. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi mengenai kisah Imam Malik untuk kita teladani.

Abu Abdillah merupakan gelaran yang diberikan kepada Imam Malik atau nama sebenarnya, Malik bin Anas. Imam Az-Zahabi mengatakan kelahiran Imam Malik yang paling sahih adalah pada tahun 93 Hijrah. Pada tahun itu juga meninggalnya Saidina Anas bin Malik. Imam Malik bin Anas membesar dalan asuhan keluarga yang beragama yang berasal dari keturunan raja di Yaman. Mus’ab Az-Zabiri menceritakan “Imam Malik termasuk dalam kalangan orang yang paling kacak dan menarik wajahnya, kulitnya putih serta paling sempurna ketinggian bagi badan yang sempurna.” Beliau sering kelihatan berserban dan disertakan dengan selendang di atas serbannya.

Rasulullah SAW pernah menyebut “Nanti pasti orang ramai akan memacu kuda mereka untuk menuntut ilmu. Mereka tidak akan berjumpa dengan seorang alim pun yang paling alim daripada alim Madinah.” Hadith ini disahihkan oleh Imam Ibnu Hibban al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi. Al-Imam Ibn Uyainah menyatakan “Orang yang disebutkan paling alim itu ialah Malik ibn Anas.” Imam Abu Mus’ab menyatakan “Orang ramai datang menuntut ilmu  dan di pintu rumah Imam Malik hampir mereka itu bertolak-tolakan antara satu sama lain kerana ingin berguru dengan Imam Malik.”

Imam Malik telah menunjukkan sesuatu yang sangat baik sebagai penuntut ilmu. Al-Imam Aaz-Zahabi berkata “Imam Malik mula mencari ilmu ketika umur belasan tahun. Beliau sudah mampu berfatwa ketika masih muda sekitar tujuh belas mahupun lapan belas tahun. Ramai yang meriwayatkan hadith daripada Imam Malik sedangkan umur beliau masih muda pada ketika itu. Ramai penuntut ilmu dari pelosok dunia datang mempelajari ilmu dengan imam Malik pada akhir pemerintahan Abu Ja’afar al-Mansor dan selepas itu. Sesudah itu, makin ramai yang datang mempelajari ilmu dengan Imam Malik pada pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasheed sehinggalah beliau wafat.

Imam Malik tidak pernah mensia-siakan masa beliau. Beliau menuntut ilmu dengan sangat luar biasa. Beliau katakan “Aku tidak pernah duduk bersama orang yang kurang bijak walaupun sekali.” Imam Malik menunut ilmu dengan lebih daripada tujuh ratus orang guru. Antara gurunya ialah Imam Nafi’, Abdullah ibn Dinar, Imam Amir ibn Abdillah ibn Zubair dan Imam Sa’id al-Makdiri serta ramai lagi.

Beliau merupakan insan yang sangat menjaga adab dan penampilan beliau ketika majlis ilmunya. Menurut al-Imam Kutaibah “Dulu saat kami belajar dengan Imam Malik, beliau akan keluar menuju ke majlis pengajian dengan berhias, bercelak mata dan mengenakan wangi-wangian. Beliau menggunakan pakaian yang sangat baik. Majlis ilmu Imam Malik merupakan majlis ilmu yang penuh dengan kemuliaan dan menjaga adab. Imam Malik ini merupakan seorang lelaki yang berwibawa dan cerdik.”  Imam Kutaibah menambah lagi “Tidak ada yang ketawa sampai terbahak-bahak, tidak ada yang sia-sia serta tidak ada suara yang diangkat ketika majlis Imam Malik.”

Kewibawaan Imam Malik diperincikan lagi oleh Imam Kutaibah. Katanya “Ketika kami belaar dengan Imam Malik, tidak ada seorang pun yang berpaling dan melihat ke sana ke mari. Masing-masing menundukkan kepala. Para Sultan turut berasa gerun dengan Imam Malik.” Pernah terjadi dalam peristiwa Imam as-Syafie pergi untuk menuntut ilmu dengan Imam Malik. Saat Ketua Makkah mengutus surat kepada Ketua Madinah untuk meminta agar dibawa Imam Syafie kepada Imam Malik bagi menuntut ilmu, Ketua Madinah yang menerima surat tersebut lalu berkata kepada Imam as-Syafie “Wahai pemuda, sesungguhnya berjalan dari tempat yang paling jauh di Makkah menuju ke tempat yang paling jauh di Madinah dengan berkaki ayam lebih ringan daripada aku berjalan ke pintu rumah Imam Malik.” Begitulah dikatakan berwibawanya Imam Malik sehinggakan pemimpin turut merasa segan untuk berjumpa dengan beliau.

Ibnu Ma’in, seorang ulama’ hadith mengatakan “Imam Malik termasuk dalam hujah-hujah Allah SWT ke atas hamba-Nya.” Sekiranya ingin melihat kehebatan Allah SWT, lihat pada Imam Malik. Ilmu dan kehebatan yang Allah beri pada makhluk-Nya menunjukkan kehebatan Allah SWT.

Dalam kehebatan pujian orang kepada Imam Malik tentang kelimuan beliau, hal ini tidak menjadikan Imam Malik orang yang sombong dan lupa diri. Malah beliau sangat tawaduk. Imam Malik sangat terkenal dengan ‘La Adri’ yang bermaksud saya tidak tahu. Perkara ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Saidina Ali Kwj apabila kita hendak mendalami ilmu agama. Diriwayatkan oleh Imam al-Muhasibi, Saidina Ali menyebut “belajarlah kamu sebut saya tidak tahu, jangan selalu sebut saya tahu dalam bab ilmu agama sekiranya kita benar-benar tidak tahu. Sekiranya kamu katakan kamu tidak tahu, orang akan ajar kamu sehingga kamu tahu. Malah sekiranya kamu katakan kamu tahu, mereka akan tanya kamu sehingga kamu tidak tahu.” Kerana itulah, Imam Malik ibn Anas dikatakan oleh Haitham bin Jaamin “Aku mendengar Imam Malik ditanya sebanyak empat puluh lapan soalan agama. Lalu beliau menjawab tiga puluh dua daripada soalan itu dengan jawapan ‘la adri’, aku tidak tahu. Begitulah kehebatan ilmu dan kerendahan hati Imam Malik yang boleh kita hayati dan teladani untuk kita ikuti dalam kehidupan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2gkwcQq
via IFTTT

1.497 juta Jemaah Telah Tiba untuk Menunaikan Ibadah Haji

Kerajaan Arab Saudi menjangka ketibaan kira-kira dua juta Jemaah antarabangsa musim ini

Jeddah, 27 Ogos – Kerajaan Arab Saudi setakat ini telah menerima ketibaan seramai 1.497 juta Jemaah yang telah mula berkumpul di Kota Suci itu sebagai persediaan untuk mengerjakan ibadah Haji musim ini yang akan bermula pada 30 Ogos 2017.

Secara keseluruhan, kira-kira dua juta Jemaah daripada seluruh dunia dijangka melawat Kota Suci Mekah tahun ini, menjadikan perhimpunan tahunan itu sebagai yang terbesar dan bagi kebanyakan umat Islam, ini adalah ibadah kemuncak bagi pembangunan rohani mereka.

Sebagai salah satu daripada lima Rukun Islam, menunaikan Ibadah Haji di Mekah, adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka. Ibadah Haji adalah bertujuan untuk membersihkan jiwa dan memupuk semangat kesamaan serta perpaduan dalam kalangan umat Islam, sebagai cara untuk berserah kepada yang Maha Esa.

Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab menyelenggara ibadah Haji setiap tahun, di bawah pengawasan langsung Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad bin Salman; satu usaha logistik mega yang bakal dipikul sehingga 4 September 2017.

Jemaah Haji antarabangsa untuk musim Haji 2017

Bilangan Jemaah Haji antarabangsa bertambah saban tahun, daripada hanya 24,000 jemaah pada 1941, jumlah ini meningkat kepada 1.325 juta pada 2016. Pada tahun lepas, seramai 1.86 juta Jemaah menjalankan ibadah Haji termasuk Jemaah tempatan daripada Arab Saudi sendiri.

Lebih daripada 80 negara

Pegawai Saudi yang bertugas bersedia untuk menerima kemasukan Jemaah Haji yang besar tahun ini – para Jemaah juga akan melawat Kota Suci Madinah. Pasukan Haji yang bertugas boleh bertutur lebih daripada satu bahasa untuk memastikan keperluan para Jemaah dipenuhi.

Mina, kota khemah terbesar

Mina juga dikenali sebagai Kota Khemah kerana menempatkan berpuluh ribu khemah berhawa dingin sebagai penginapan sementara untuk para Jemaah Haji tahun ini. Mina terletak di antara gunung Arafat dan Masjid Besar Mekah. Khemah-khemah disusun secara sistematik mengikut barisan dan dikumpulkan di kawasan yang dilabel dengan nombor dan warna berdasarkan negara asal para Jemaah. Setiap Jemaah diberikan lencana yang lengkap dengan nombor dan warna khemah mereka untuk membantu mereka mencari khemah sekiranya tersesat. Sebagai langkah untuk mencegah kebakaran, khemah-khemah dibina daripada polimer Teflon bersalut gentian kaca, dan dilengkapi dengan sistem pemercik dan alat pemadam kebakaran.

Lebih daripada 17,000 anggota pertahanan awam ditempatkan untuk berkhidmat kepada jemaah haji

Lebih 17,000 anggota terlatih, disokong dengan 3,000 kenderaan berteknologi terkini ditempatkan untuk memastikan keselamatan jemaah berada pada tahap yang tertinggi.

300 ambulans darat, 30 motosikal, 113 pusat ambulans dan 8 ambulans udara

Lebih daripada 2,000 anggota Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi ditugaskan di Mekah, Madinah dan kawasan ibadah yang lain untuk menyediakan perkhidmatan ambulans kepada para Jemaah ketika musim Haji tahun ini.

 

Hubungan Media

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Pusat Komunikasi Antarabangsa (CIC), Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Kerajaan Arab Saudi; Telefon: +966 59 545 5467, E-mel: cic@moci.gov.sa, Twitter @CICSaudi

 



from IKIMfm http://ift.tt/2waq1Uw
via IFTTT

Merdeka #Quranhour Peluang Rakyat Fahami Dan Hayati Al-Quran – KP Jakim

UTRAJAYA, 28 Ogos – Program Merdeka #QuranHour yang akan diadakan buat julung kalinya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini memberi erti yang sangat besar kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha berkata program tersebut yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat bertujuan memberi persepsi yang betul terhadap amalan membaca Al-Quran, selain memahami dan menghayati kitab suci tu.

“Saya berharap agar seluruh rakyat, terutamanya yang berada di sekitar Lembah Klang, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, mengambil kesempatan untuk menghadiri program Merdeka #QuranHour ini.

“Selain itu, kita juga minta agar masjid-masjid di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur menghantar wakil dari kariah masing-masing untuk menyertai dan mengimarahkan lagi Merdeka #QuranHour. Ini adalah peluang keemasan untuk mendekatkan hati kepada Al-Quran dan membudayakan Al-Quran,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Merdeka #QuranHour diadakan susulan kejayaan program Malaysia #QuranHour yang diadakan pada 19 Jun lepas.

Sementara itu, pengasas Warisan Ummah Ikhlas, yang merupakan penganjur World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, Datuk Dr Husamuddin Yaacob berkata masyarakat bukan Islam juga digalakkan hadir ke program tersebut kerana tumpuan akan diberikan kepada terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran.

Katanya masyarakat bukan Islam boleh menghayati maksud di sebalik bacaan ayat-ayat daripada kitab suci itu, selain dapat mengubah persepsi mereka.

“Contohnya jika selama ini mereka hanya fikir yang surah Yasin itu hanyalah amalan bacaan pada setiap Khamis malam Jumaat, di program itu nanti mereka akan dapat memahami apa isi kandungan sebenar surah Yasin itu.

“Program Merdeka #QuranHour ini adalah program gerakan ummah dan sehingga Khamis minggu lepas, trending #QuranHour telah mencecah 279 juta hits. Kesedaran dan berkat daripada kempen #QuranHour telah memberikan impak yang sangat besar dalam masyarakat,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf.

Pada 31 Ogos ini, kempen #QuranHour akan dimulakan dengan program World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa pada 10.30 pagi, diikuti program Gema Wahyu di Masjid Jamek pada pukul 4 petang sebelum berpindah ke Dataran Merdeka untuk program Merdeka #QuranHour yang dijangka bermula pada 8.30 malam.

Sumber BERNAMA


from IKIMfm http://ift.tt/2vjXdKq
via IFTTT

Hakikat Kemerdekaan

TINGGAL beberapa hari lagi negara kita Malaysia akan menyambut hari penuh bersejarah iaitu Hari Kebangsaan yang menandakan bahawa Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Pada tahun ini genaplah 60 tahun sejak penjajah Inggeris meninggalkan negara kita secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Usia 60 tahun, sekiranya diterjemahkan dalam bentuk diri seorang manusia, umur sebegini mencerminkan seorang yang bukan sahaja bebas dan memiliki kematangan tertinggi tetapi penuh dengan pengalaman-pengalaman luas yang mampu memberi bimbingan yang penuh berhikmah kepada generasi baharu.

Walaubagaimanapun, usia yang panjang semata-mata tidak semestinya mampu melahirkan individu yang hebat sekiranya sepanjang usia tersebut tidak digilap dan dibajai dengan ilmu-ilmu berguna, kesatuan pemikiran dan tindakan yang bijaksana. Masa yang panjang jika dihabiskan begitu sahaja dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat tidak akan memberi apa-apa makna. Justeru begitu jugalah sesebuah negara, jika masyarakatnya tidak menghayati ilmu dan tidak membudayakan ilmu sebagai budaya hidup dan mengambil ibrah dan hikmah dari sejarah tanahair lalu, sudah pasti usia 60 tahun kemerdekaan itu tidak memberikan apa-apa makna kepada rakyatnya dan hanya sebagai angka kosong sahaja.

Cabaran terbesar yang hampir pasti dihadapi dalam konteks sebuah negara yang merdeka ialah bagaimana menerapkan semangat kemerdekaan itu terhadap generasi baharu sebagaimana dialami, dirasai, dihayati dan diwarisi daripada pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu Lebih-lebih lagi apabila generasi yang ingin diterapkan semangat tersebut lahir dalam keadaan negara sudah lama merdeka dan penuh dengan segala kesenangan dan kemewahan. Mereka tidak pernah merasai sengsara di bawah penjajah sepertimana yang pernai dirasai oleh datuk nenek moyang kita dahulu.

Dalam zaman internet dan media sosial ini, ramai yang menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara dalam media sosial memandangkan itu sahajalah wahana yang terbuka, bebas, percuma dan “merdeka” dan pasti tersiar. Jika dahulu aduan dihantar ke akhbar, pihak akhbar mungkin tidak akan menyiarkan luahan seperti itu, namun kini mereka memiliki media tersendiri. Akhirnya media sosial bukan menjadi media untuk berkenalan, bersosial tetapi menjadi ‘media perpecahan, permusuhan dan perbalahan”. Berapa banyak perbincangan yang sepatutnya dilaksanakan dalam keadaan matang, bijaksana dan ilmiah berakhir dengan maki hamun, kecam mengecam dan sumpah seranah. Inikah petanda bangsa yang benar-benar merdeka?

Kerapkali apabila menyebut tentang kemerdekaan, ramai khususnya di kalangan belia remaja yang terbayangkan kebebesan tanpa batas dan mengikut hawa nafsu.  Mengikut pandangan ilmuwan ulung, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas apabila disebut “kebebasan” dalam tradisi Islam ianya merujuk kepada ikhtiyar dan bukan hurriyyah. Kebebasan (ikhtiyar) adalah memilih sesuatu untuk yang lebih baik. Kebebasan, bagi Al-Attas, adalah berbuat menurut tuntutan sifat-dasarnya yang benar  dan selari dengan fitrah insani dan tuntutan ilahi.

Pendeta Za’aba pula mengungkapkan kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna.

Justeru itu, bangsa yang merdeka juga ialah bangsa yang mampu mengawal emosi, merdeka daripada runtunan hawa nafsu dan kemarahan yang tidak terkawal, bukan menjadi hamba kepada keegoan diri sendiri atau hamba kepada apa jua selain Allah SWT. Ini mengingatkan kita kepada kata-kata keramat panglima Islam Rabi’ bin ‘Amir kepada panglima Parsi, Rustum dengan ungkapan terkenal: “Allahlah yang mengutuskan kami untuk mengeluarkan perhambaan kepada manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan hidup di dunia dan akhirat. Daripada kesesatan agama-agama kepada keadilan Islam

Kemerdekaan sebenar diri manusia juga ialah apabila seseorang itu hanya tunduk dan terikat kepada Tuhan Yang Maha Agung dan membebaskan dirinya daripada sekalian ikatan  keduniaan dan kemanusiaan yang membelenggu dan menggangu gugat keharmonian ikatannya dengan Tuhan.  Hanya apabila diri insan itu benar-benar merdeka dan telah tersemat nilai-nilai murni yang mantap dalam diri seseorang, maka apa jua wahana samada media sosial atau apa saja yang mendatang bakal menjadi alat penting ke arah memupuk perpaduan dan kemerdekaan sebenar.

Oleh kerana itulah kemerdekaan sebenar seringkali juga disebut kemerdekaan akal dan jiwa mengatasi “penjajah Nafsu”. Menjadikan diri kita itu tunduk dan patuh hanya kepada Allah SWT sahaja, bukan mengikut dan tunduk kepada hawa nafsu. Ini sesuai dengan mafhum hadith Nabi SAW seperti hadith yang ke-41 yang dinukilkan oleh Imam Nawawi RA dalam kitabnya “al-Arba’in al-Nawawiyah” yang bermaksud: “tidak sempurna imam seseorang di antara kamu sehingga hawa nafsunya tunduk kepada apa yang telah aku sampaikan”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Ogos 2017




from IKIMfm http://ift.tt/2wD8buT
via IFTTT

Kemuncak Nikmat di Syurga

APABILA manusia seringkali diberi peringatan tentang istimewanya syurga, ia secara tidak langsung memberi dorongan kepada mereka untuk menyimpan impian dan tekad melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh agar kelak dapat menikmati ganjaran syurga. Selain itu ia juga dapat menjauhkan manusia daripada perasaan cintakan dunia yang keterlaluan kerana menganggap dunia umpama syurga walaupun kenikmatan yang ada di dalamnya hanyalah sementara serta menyebabkan ramai di kalangan manusia yang akhirnya mati di dalam keadaan sia-sia.

Di antara kenikmatan yang dirasai penghuni syurga ialah peluang untuk kunjung mengunjung di antara satu sama lain sambil berbincang tentang kebaikan yang telah dilakukan ketika mereka hidup di dunia dahulu. Malah mereka turut berbincang tentang dosa-dosa yang dilakukan, namun Allah masih memasukkan mereka ke dalam syurga, menyebabkan mereka sangat gembira. Firman Allah di dalam surah at-Tuur, ayat 25-28: “Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah), “Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.”Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm hari Khamis jam 5.15 petang turut berkongsi peringatan daripada Rasulullah SAW bahawa setiap mukmin akan melalui lima ujian yang besar sepanjang hidupnya di dunia. Ujian pertama ialah sifat saling dengki-mendengki di antara sesama mukmin, ujian kedua ialah sifat benci golongan munafik kepada golongan mukmin. Ujian ketiga ialah orang kafir akan sentiasa mencari jalan untuk membunuh orang mukmin, ujian ke-empat yang perlu dihadapi orang mukmin ialah apabila syaitan akan menyesatkan mereka, manakala ujian terakhir ialah daripada hawa nafsu mereka sendiri yang sentiasa menarik-narik diri mereka supaya mengingkari perintah Allah. Apabila memasuki syurga kelak, penghuninya akan berasa syukur dan gembira kerana akhirnya mereka berjaya melepasi ujian-ujian daripada Allah SWT.

Kenikmatan lain yang akan dirasai oleh penghuni syurga ialah apabila mereka saling memandang wajah Allah. Di syurga nanti, Allah akan menjadikan wajah penghuninya menjadi cantik, putih berseri sebagaimana firman Allah yang terkandung di dalam surah al-Qiamah, ayat 22-23: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya”. Begitu juga di dalam surah al-Mutaffifiin ayat 22-24: “Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.”

Ada pandangan ulama, wajah Allah diperlihatkan kepada ahli syurga bukannya sepanjang hari, tetapi pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu ketika pertemuan-pertemuan umum yang besar. Umpamanya pada hari Jumaat ketika para penghuni syurga berkumpul di lembah yang luas yang terdiri daripada kasturi putih dan duduk dengan darjat masing-masing. Ketika itu disebarkan kepada mereka pelbagai jenis makanan istimewa yang belum pernah dilihat ketika mereka hidup di dunia dahulu. Mereka diletakkan dengan pelbagai jenis wangian dan pelbagai penghormatan lain yang tidak terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini. Sesudah itu, Allah Yang Maha Agung mula menunjukkan wajahnya pada penghuni syurga dan mengajak mereka berbual dengan-Nya seorang demi seorang.

Malah suasana kenikmatan di dalam syurga turut digambarkan di dalam surah Yasiin, ayat 56-58: “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Pada setiap hari Jumaat, Allah akan menambahkan lagi nikmat kepada ahli syurga. Rasulullah SAW bercerita, apabila semua penghuni syurga telah masuk ke dalamnya, dan ahli neraka telah masuk ke dalam neraka, maka terdengar satu seruan, “Wahai sekalian penghuni syurga sesungguhnya bagi kamu di sisi Allah, ada janji yang akan ditunaikan kepada kamu.” Penghuni syurga bertanya, “Apakah itu ya Allah? Bukankah semua kebaikan kami telah kamu jadikan lebih berat dari itu, adakah ia masih belum mencukupi? Bukankah Kamu telah jadikan wajah kami putih berseri, Kamu masukkan kami ke dalam syurga dan Kamu keluarkan kami daripada neraka itu pun sudah merupakan satu nikmat, ya Allah.” Lalu disingkapkanlah hijab daripada mereka sehingga dapat melihat Allah, demi Allah tidak ada sesuatu yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang lebih mereka sukai dan disenangi pandangan mata mereka selain memandang wajah Allah. Kemuncak kenikmatan yang terakhir ialah apabila penghuni syurga dapat kekal berada di dalam keredaan Allah di dalam syurga.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2xx9bwT
via IFTTT

Hijrah Hati

ANUGERAH yang paling bernilai bagi seseorang manusia adalah hati atau kalbu. Ini kerana hati adalah tempat jatuh pandangan Allah manakala jasad adalah tempat jatuh pandangan manusia. Namun jika kita mengutamakan pandangan Allah, kita mampu menjaga hati dengan sebaiknya mengikut apa yang Allah mahukan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi memetik sepotong hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Allah tidak melihat rupa paras seseorang manusia, tetapi Allah melihat sejauhmana kesucian hati yang dimiliki. Seungguhnya jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan akan menjadi baik, tetapi jika hati itu kotor dan busuk maka seluruh anggota badan dan perbuatan menjadi jahat. Sungguhpun prinsip ini selalu ditekankan oleh orang tua-tua dalam mendidik anak-anak tetapi adakalanya kejahatan dan kebaikan sukar untuk dibezakan, malah pendidikan tentang hati tidak berbekas di dalam diri.

Seperti pantun orang-orang dahulu yang berbunyi, puas sudah menanam ubi, nanas datang dari seberang, puas sudah menanam budi, emas juga dipandang orang. Ini boleh dirujuk kepada segumpal hati yang merupakan wadah atau tempat datangnya segala kebaikan,  kasih sayang, belas ehsan, kecintaan, malah dari hati juga datangnya benci, kecewa dendam dan cemburu. Jika hati itu ditatang dengan kebaikan nescaya walau apapun kejahatan itu mendatang, hati yang jernih itu dapat menangkis segala kebencian dan kekurangan.

Apabila hati terhijab kita akan merasa resah, gelisah, terasa hidup penuh kekosongan. Hati yang terhijab akan terkesan kepada tiga alam iaitu dunia, alam kubur/ barzakh dan alam akhirat. Justeru, hijab hati sangat penting untuk diberi perhatian supaya kita tidak terhalang dari terus mendapat kebaikan-kebaikan di dunia ini. Penghalang atau hijab hati boleh datang dari banyak factor antaranya kerana pemakanan, pandangan dan pendengaran, panjang angan-angan dan maksiat atau dosa yang dilakukan.

Makanan yang haram boleh menjadi hijab kepada hati untuk kita mendapat rahmat Allah. Saidina Abu Bakar as-Sidik menjolok kerongkongnya untuk mengeluarkan susu yang tidak jelas sumbernya. Makanan dari sumber wang yang haram seperti riba, mencuri masa di tempat kerja atau dari sumber gaji yang ada syubahah atau rasuah dan sebagainya boleh menghitamkan hati kita. Sebab itu kita perlu benar-benar menjaga kesucian setiap rezeki makanan yang masuk di dalam mulut kerana ia akan menjadi roh yang akan membina kerohanian dan kesucian hati.

Begitu juga jika mahukan kemanisan dalam ibadah, jaga pandangan mata dan hati, ini kerana jika pandangan liar akan membuat hati juga akan menjadi liar. Dalam dunia teknologi yang segala mudah untuk diekses ada sahaja yang menjejaskan pandangan masa. Oleh itu, perlu ada banteng hati untuk melawan keinginan mata yang akan memberi kesan pada rohani kita.

Bagaimana kita perlu menjaga perut dan pandangan mata, begitu jugalah perlunya kita perlu menjaga pendengaran agar tidak terjebak dalam suatu budaya hindunisme yang boleh membuat hati menjadi keras. Bagaimana untuk mencegahkan diri dari perbuatan yang membawa kepada kejahatan adalah dengan sibukkan diri dengan amalan-amalan yang dekat dengan Allah SWT. Oleh itu sentiasa mengamalkan sikap amal makruh nahi mungkar agar dapat mendorong diri untuk hanya melakukan perbuatan yang dipandu oleh ajaran al Quran dan al-hadis.

Antara amalan lain yang disaran untuk dilakukan adalah menziarahi orang-orang soleh, melawat orang-orang sakit dan menziarahi kubur yang akan mengingatkan kita tentang kematian akan dapat melembutkan hati. Mengingati mereka yang telah meninggal dunia akan melembutkan hati untuk menghisab diri dari dekat dengan segala perbuatan yang boleh cenderung kepada perbuatan yang mengundang kepada dosa dan maksiat.

Pilih suasana persekitaran dan sahabat-sahabat yang mengajak kita untuk membuat kebaikan. Persekitaran amat penting kerana ia boleh mendorong kita untuk bertindak, berfikir dan berbuat perkara yang hanya mendatangkan manfaat sahaja. Suasana yang baik boleh membudayakan fikiran yang baik, bahkan jika seseorang itu tidak baik sekalipun, jika dikelilingi dengan orang-orang dan persekitaran yang baik boleh melahirkan insan yang baik. Begitu juga dengan sahabat atau teman- teman yang berkelakuan buruk, berkata buruk dan berfikiran buruk hanya akan mendorong kita untuk bertindak dengan perbuatan yang negatif dan seterusnya tidak mampu membina akhlak yang baik di dalam diri kita.

Begitu juga perbuatan yang panjang angan-angan juga boleh membuatkan hati terhijab. Seperti kata seorang muqarabin bernama Safian as Sauri “Jika ditanyakan kepada ahli kubur tentang mereka, jawab ahli kubur “kami ini mati pada hari yang kami rasa esok masih ada.” Ini bererti apabila panjang angan-angan dengan dunia ini membuatkan kita menjadi pencinta dunia. Hati yang cinta dunia tidak mampu lagi membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Segala kebaikan dan kejahatan tidak lagi dapat dilihat perbezaan, malahan dalam hati hanya berpusat kepada keseronokan dan kelebihan dunia tanpa lagi melihat kepada kepentingan akhirat.

Membersihkan hati adalah perbuatan yang paling mulia. Tidak ada apa yang paling tinggi darjatnya di dunia ini melainkan memiliki hati yang bersih suci dan murni. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah diri membersihkan hati agar apabila bertemu Allah SWT kelak kita dapat persembahkan seketul hati yang benar-benar mendapat keredhaan Allah SWT.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wCWJQ0
via IFTTT

Imam Abu Hanifah (Bhgn. 2)

IMAM Abu Hanifah bukan sekadar memiliki ilmu yang tinggi bahkan memiliki personaliti yang sangat baik, menarik dan budi pekerti yang mulia. Pernah disebutkan oleh anak muridnya yang tekemuka, Imam Al-Qadhi Abu Yusuf “Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sederhana dan tidak tinggi, tidak rendah, termasuk orang yang paling kacak wajahnya, paling fasih perbicaraannya, paling sedap suaranya dan paling terbukaterhadapapa yang ada dalam dirinya. Menerusi segmenIbrah (SalafusSoleh) yang bersiarandi IKIMfm, Ustaz Muhadir Hj. Joll menyambung kisah mengenai Imam Abu Hanifah.

Manakala anaknya, Hammad  menyebut “ayahku seorang yang kacak, kulit hitam manis, perwatakan yang menarik, selalu berwangi-wangian, digeruni serta berwibawa. Beliau tidak bercakap melainkan menjawab pertanyaan atau persoalan dan beliau tidak membuang masa membicarakan perkara-perkara yang tidak perlu”. Imam Abu Hanifah sangat menjaga keterampilan. Terdapat satu riwayat menyebutkan, pakaiannya ada sehingga 30 dinar. Imam Abu Yusuf menceritakan “Imam Abu Hanifah sangat menjaga kebersihan pakaiannya sehingga tidak nampak sedikitpun kusut mahupun kotor”.

Menurut Syaikh Ahmad Al-‘Ajuli mengatakan “Imam Abu Hanifah merupakan seorang penjual kain bulu bertenun sutera”. Beliau bekerja sendiri dan tidak mengharapkan simpati orang lain. Kewarakan Imam Abu Hanifah menjadikan beliau individu Muslim yang tidak menuntut jawatan. Beliau pernah diminta oleh khalifah untuk menjadi hakim tetapi beliau menolak. Beliau mengatakan beliau tidak layak. Khalifah berkata “Kamu berbohong”. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab “Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan kepada kamu bahawa saya tidak layak”. Imam Az-Zahabi berkata “Sesungguhnya ramai yang meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah telah banyak kali dipukul sebagai suatu paksaan untuk beliau menerima jawatan hakim tetapi beliau tetap tidak menerimanya”.

Imam Abu Hanifah seorang yang sangat tawadhu’ kerana memiliki seorang guru yang jauh lebih muda daripada beliau, Imam Malik. Pernah pada satu ketika, Imam Abu Hanifah berjumpa Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya. Kemudian, setelah Imam Abu Hanifah keluar, Imam Malik bertanya kepada sahabatnya “Tahukah kamu siapa dia?” Mereka mengatakan tidak. Lalu kata Imam Malik “Dialah Nu’man bin Thabit. Sekiranya dia berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya perkatannya akan digunakan oleh orang ramai sebagai hujah.” Pernah juga Imam Malik mengatakan “Sekiranya dia mengatakan tanah ditanganmu itu emas, pasti engkau akan mempercayainya.” Ini membuktikan bahawa beliau seorang yang boleh dipercayai kerana memiliki kekuatan dalam berhujah, cepat daya fikiran dan cerdas serta tajam pemikirannya.

Pernah satu ketika, seorang perempuan datang hendak bertanya soalan peribadi kepada Imam Abu Hanifah. Setibanya di rumah beliau, perempuan tersebut tidak masuk ke rumah, tetapi hanyak mewakilkan seorang lelaki sambil membawa dua biji epal, satu merah dan satu kuning. Imam Abu Hanifah kemudian bertanya “Siapa yang menghantarmu untuk membawa dua biji epal ini?” Kemudian, lelaki tersebut menjawab “Perempuan itu (sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang perempuan di depan pintu). Dia sedang menunggu jawapan.” Imam Abu Hanifah lalu membelah sebiji epal dan menyuruhnya memberikan kembali epal-epal tersebut kepada perempuan tadi. Perempuan tersebut faham dengan isyarat yang diberikan oleh Imam Abu Hanifah mengenai epal itu dan itulah jawapan pertanyaannya.

Sebenarnya perempuan tersebut bertanyakan penjelasan tentang darah haid. Dek kerana segan, beliau mewakilkan dua orang laki dan memberikan epal tersebut. Persoalannya apakah perempuan dikira suci jika darah merah bertukar kepada warna kuning seperti epal merah dan epal kuning yang diberikannya kepada Imam Aabu Hanifah. Belahan Imam Abu Hanifah itu seolah-olah menjawab persoalan, dia akan dikira suci jika darah sudah menjadi bersih putih seperti putih isi epal yang dibelah tadi.

Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang berharta, namun beliau tidak kedekut malah sangat dermawan. Ibrahim bin Uyainah pernah dipenjarakan kerana berhutang sebanyak 4000 dirham. Kesemua hutaang tersebut telah dilunaskan oleh Imam Abu Hanifah. Pernah satu ketika di dalam majlis ilmu Imam Abu Hanifah, beliau terlihat salah seorang yang hadir dengan pakaian yang agak lusuh dan lama serta tidak terurus. Beliau kemudian menyuruhnya duduk dan berpesan agar orang tersebut jangan pulang dahulu. Ketika semua orang sudah balik, beliau berkata kepada orang itu “Angkatkan apa yang ada di bawah tikar tempat dudukmu dan ambillah.” Ketika orang tersebut menyelak tempat duduknya, dia mendapati seribu dirham terdapat di situ. Orang itu lalu berkata “aku adalah seorang kaya dan aku tidak perlu kepada pemberian ini.” Imam Abu Hanifah menjawab “Apakah kamu tidak pernah mendengar hadith Rasulullah SAW.” Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan, nikmat yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya.”

Begitulah kisah hebat Imam Abu Hanifah yang ilmunya sentiasa mengalir sehingga kini dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia. Semoga Allah SWT meredhai imam yang sangat agung dan mulia ini.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2xxyAXA
via IFTTT

Syura Dalam Rumahtangga

SELAMA ini terdapat anggapan bahawa ibu hanyalah sebagai isteri yang tugasnya mengurus suami dan anak-anak, sementara urusan besar diputuskan suami, termasuk keputusan dalam kehidupan berumah tangga. Tetapi zaman sekarang, pandangan seperti itu mulai tidak tepat kerana sudah banyak perubahan yang terjadi pada kehidupan berkeluarga. Sebuah pepatah untuk suami “Jika kamu ingin isterimu menjadi seperti Khadîjah, maka jadilah kamu seperti Muhammad untuknya” Mendirikan rumah tangga bukanlah semudah dan seindah yang dipaparkan di drama-drama korea. Ada masa kita pasti bertikam lidah dan tersalah faham dengan pasangan tercinta. Apabila isi hati tidak difahami, kita naik berang. Atau mungkin si suami terlupa akan sesuatu yang penting, kita jadi kecewa.

Lalu kemarahan tercetus. Tidak sepatutnya kita menengking suami kita, ada pelbagai cara untuk selesaikan masalah seperti itu. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang disiarkan di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi memetik  Surah Ali-Imran ayat 159 bermaksud: “Maka berkat rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal”

Diam atau tidak berbicara. Langkah ini sangat efektif untuk mengawal kemarahan yang sedang melanda. Apabila marah, emosi dan minda kita sukar dikawal dan ada masanya kita mungkin tidak berfikir sebelum melontarkan kata-kata tajam tersebut.

Perasaan marah selalunya disamakan dengan api, dan hanya air dapat melawan keadaan sedemikian. Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan itu diciptakan dari api, dan api itu diredam dengan air maka apabila di antara kalian marah, berwudulah”.

Selain dari itu, apabila kita marah akan suami, cubalah beredar jauh sedikit dengan baik dari suami. Jika pergaduhan berlaku di bilik tidur maka beredarlah ke ruang tamu. Jika di dapur, beredarlah ke bilik. Tapi ingat, janganlah kita beredar sambil menghentak kaki atau menepis apa yang ada disekeliling. Buat si suami pula, biarlah isteri anda membawa diri sebentar. Biar mereka reda, dan cepat-cepat pujuk balik. Kadang-kala kaum hawa ni, dia nampak garang tapi sebenarnya apabila dia beredar jauh dari kamu, mereka amat mengharapkan anda datang memujuk dan memeluk mereka. Saat kemarahan dating, ingatlah jasa pasangan kita dan lupakan kesalahannya. Rendahkan ego, kaum hawa juga mempunyai ego. Jangan sesekali mengingat jasa kita sahaja, tetapi ingatlah bahawa kita juga pernah membuat kesalahan.

Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 159 menjelaskan bahawa setiap manusia yang hidup di dunia tidak terlepas dari masalah dan persoalan yang dihadapi. Untuk itu mereka harus dapat menyelesaikan masalah tersebut. Cara menyelesaikan masalah dalam hidup seperti yang telah dijelaskan dalam surah Al-Imran ayat 159 dengan mencontoh dan mengambil teladan dari nabi Muhammad SAW iaitu dengan cara lemah lembut berdasarkan rahmat Allah SWT, setiap persoalan diselesaikan dengan jalan musyawarah. Kesimpulan isi atau kandungan surah ali imran, ayat 159 tersebut adalah merupakan penjelasan bahawa berkat adanya rahmat Allah SWT yang amat besar, Nabi Muhammad SAW merupakan contoh yang berakhlak mulia.

Baginda tidak bersifat dan berperilaku keras serta berhati kasar. Bahkan sebaliknya, baginda adalah orang yang berhati lembut, dan berperilaku baik yang diredai Allah SWT serta mendatangkan berbagai manfaat bagi masyarakat. Selain itu, dalam pergaulan Rasulullah SAW sentiasa memberi maaf kepada orang yang telah berbuat salah, khususnya terhadap para sahabatnya yang telah melakukan kesilapan. Dalam perang uhud Rasulullah SAW juga memohonkan ampun pada Allah SWT terhadap kesalahan mereka dan bermusyawarah dalam hal-hal yang perlu dimusyawarahkan. Untuk melaksanakan tekadnya, khususnya hasil musyawarah Rasulullah SAW selalu bertawakal pada Allah SWT. Kerana budinya yang luhur, dan akhlaknya yang mulia seperti tersebut Rasulullah SAW memperoleh simpati dalam pergaulan, khususnya disenangi dan didekati oleh para sahabatnya serta dicintai oleh Allah SWT. Perlu pula diketahui bahwa salah satu yang menjadi penekanan utama dalam surah Al-Imran, ayat 159 itu adalah perintah untuk melakukan musyawarah. Perintah ini bukan hanya ditunjukan kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi kepada seluruh pengikutnya yakni umat Islam, di mana pun mereka berada.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wmWTuA
via IFTTT

Usahawan Makanan Disaran Patuh Piawaian, Peroleh Sijil Halal

ALOR SETAR, 18 Ogos – Usahawan dalam talian terutamanya yang mengusahakan produk makanan digalakkan agar mematuhi dan mengaplikasi piawaian antarabangsa serta pensijilan halal bagi menembusi pasaran luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan berkata pematuhan terhadap piawaian tersebut dilihat sebagai batu loncatan kepada usahawan untuk meningkatkan sistem jaminan keselamatan makanan sesuatu produk agar lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“Saya mengesyorkan usahawan dalam talian mahupun premis jualan atau jualan langsung agar mempunyai piawaian utama tersebut kerana ia produk akan lebih menjadi pilihan pengguna.

“Misalnya jika seseorang usahawan ataupun syarikat itu mempunyai sijil halal, pasarannya akan lebih luas kerana kesedaran pengguna di luar negara terutamanya negara maju mengenai sijil halal amat tinggi ketika ini,” katanya selepas melawat kilang West Food Industries Sdn Bhd dekat Mergong, Jumaat.

Antara piawaian tersebut ialah Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan pensijilan ISO..

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2wVJqH4
via IFTTT

Tarbiyah Diri untuk Ibu Bapa

PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Tarbiyah Diri untuk Ibu Bapa”. Beliau memulakan dengan mengajak agar kita semua setiap hari tidak lupa untuk menitipkan doa setiap hari kepada ibu bapa. Yang dimaksudkan dengan tajuk ini ialah agar kita mampu mentarbiyahkan diri kita untuk berbakti kepada ibu bapa kita yang jika kita belanjakan segala harta benda dan kemewahan kita untuk membalas bakti ibu bapa nescaya kita tidak akan mampu membalasnya. Dalam al-Quran menyebut banyak ayat-ayat al-Qur’an mengajar kita agar mendoakan ibu bapa kita, bahkan lebih banyak lagi ialah ayat-ayat al-Qur’an yang mengajar kita agar berdoa memohon Allah memberikan kepada kita zuriat yang soleh dan solehah. Kenapa doa ibu bapa untuk anaknya lebih banyak daripada doa anak untuk ibu bapanya? Kerana apa yang  didoakan oleh ibu bapa itu sebenarnya melahirkan dan mencorakkan anak-anaknya seumpama seni dalam lakaran lukisan pada kain kanvas yang putih. Ia memberi indikasi mudah bahawa ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak mereka, dan anak-anak itu pula nanti akan membalas jasa ibu bapa mereka. Walaupun usia sedewasa mana kita sekalipun, namun di sisi ibu ayah kita, kita tetap anaknya yang dilahirkan dahulu dan seolah masih kecil seperti dulu dan akan terus menasihati kita sepertimana kita kecil-kecil dulu.

Kita dianjurkan agar memperbanyakkan doa-doa yang ma’thur kepada ibubap kita antara doanya ialah yang berbunyi maksudnya “Ya Allah ampunkan dosaku dan dosa kedua ibu bapaku”, begitu juga doa Nabi Sulaiman AS sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-Nahl ayat 19 yang bermaksud “ Wahai Tuhanku, anugerahilah aku ilham untuk mensyukuri nikmatMu yang engkau anugerahkan kepadaku dan ilhamkan kepadaku untuk mensyukuri kedua-dua ibu bapaku. Ibu bapa tidak dapat dibeli dengan berapa juta ringgit sekalipun, dan ibubap tidak “dijual” di mana-mana samada Mega Mall yang terbesar sekali di dunia. Hargailah ibu bapa kita kerana itulah takdir Allah SWT yang tentukan kepada kita untuk kita. Kita hendaklah bersyukur bahawa merekalah anugerah Allah SWT yang terhebat untuk kita walaupun mereka tiada pendidikan tinggi, atau tiada harta namun pemilihan Allah agar mereka menjadi ibu bapa kita itu adalah pemilihan Allah SWT yang mempunyai hikmah yang besar untuk kebaikan kita. Tidak sewajarnya juga kita memuji ibu bapa orang lain dan mengharapkan ibu bapa orang itu menjadi ibu bapa kita kerana tindakan itu sudah pasti akan mengguris perasaan ibu bapa kita. Kadangkala ada yang menyebut “seronoknya dapat ibu atau ayah seperti ibu bapa si pulan” sedangkan ungkapan itu seolah menyalahi takdir dan pemilihan Allah SWT yang telah memilih ibu bapa untuk kita. Jika didengari oleh ibu bapa kita juga, ungkapan itu sudah pasti mengguris perasaan mereka.

Kita kerapkali lupa dan menyangka bahawa anak-anak sahaja anugerah kepada kita selaku ibu bapa yang ingingkan zuriat, sedangkan kita lupa ibu bapa kita itu juga anugerah kepada kita selaku anak-anak mereka.

Banyak lagi doa-doa dalam al-Qur’an yang menganjurkan kita berdoa untuk ibu bapa kita dan antaranya yang paling pendek sekali sepertimana disebut dalam Surah al-Isra ayat 24 bermaksud ““Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Kita juga hendaklah berdoa memohon hidayah untuk ibu bapa kepada kita. Hidayah bukan bermaksud memohon hidayah agar memeluk Islam sahaja, atau hidayah kepada yang belum solat agar solat sahaja, tetapi hidayah amat luas sekali maksudnya. Adapun hidayah seperti yang kita sebutkan itu ialah “hidayah khas”, tetapi para ulama seperti Ibnu Kathir juga menyebut ada hidayah yang bersifat umum atau  “hidayah am”, iaitu diberi apa jua petunjuk dalam melaksanakan apa sahaja kebaikan. Setiap waktu sebenarnya kita memerlukan hidayah daripada Allah agar memberi petunjuk kepada kita membuat pemilihan dan keputusan yang terbaik. Hidayah merupakan milik mutlak Allah SWT, dan tiada siapa pun boleh memberi hidayah walaupun kepada orang yang paling dikasihinya sepertimana maksud Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud “Sesungguhnya engaku (wahai Muhammad) tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang kau sayangi, tetapi Allahlah jua yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki”.

Apa yang kita boleh lakukan ialah kita sering berdoa kepada Allah SWT agar Allah menjadikan kita asbab orang yang kita kasihi atau sesiapa sahaja mendapat hidayah sepertimana doa yang dianjur dibacakan: “Ya Allah, jadikanlah aku asbab kepada orang agar mendapat hidayah”.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2uNHMdc
via IFTTT

Israel Batalkan Perakuan Media Wartawan Al-Jazeera

BAITULMAQDIS, 17 Ogos  – Israel semalam membatalkan perakuan media seorang wartawan Al-Jazeera kerana mendakwa tugas wartawan berkenaan mempunyai unsur “penentangan”, lapor agensi berita China Xinhua.

Pejabat Akhbar Kerajaan Israel berkata, kenyataan yang sering dikeluarkan Elias Karram menimbulkan keraguan di pihak rejim mengenai tujuan sebenar wartawan berkenaan membuat liputan mengenai isu konflik Israel-Palestin.

Sejak bertahun-tahun Karram berbangsa Arad dari Nazareth, bertugas dengan AlJazeera dan membuat liputan mengenai isu Israel.

Ketua Jabatan Akhbar Nitzan Chen berkata, kad perakuan media beliau dibatalkan sementara menunggu keputusan “sama ada Karram merupakan sebahagian rakyat Palestin yang menentang rejim Zionis”.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Israel berkata, pihaknya merancang membatalkan perakuan media semua wartawan Al-Jazeera sebagai langkah menghalang mereka bekerja di Israel selain sedang berusaha mencari jalan mengharamkan sama sekali agensi berita itu daripada menjalankan tugas di negara itu menerusi peruntukkan undang-undang.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2uKY5YA
via IFTTT

Semangat Patriotisme Perlu Diperkasa Untuk Capai TN50

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Semangat patriotisme rakyat negara ini perlu diperkasa agar generasi baharu memiliki semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi lagi jitu dalam mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Penerangan Pertubuhan Cendekiawan dan Profesional Malaysia (Cenpro) Prof Mohamad Md Yusoff berkata pemerkasaan itu perlu dilaksanakan melalui sistem sosialisasi pendidikan yang mengutamakan nilai patriotisme bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Beliau berkata perkara itu penting bagi membendung budaya extremisme dan keganasan yang berleluasa termasuk dalam alam siber yang akan membantutkan aspirasi TN50.

“TN50 tidak akan tercapai jika belia kita tidak diajar dengan nilai-nilai murni utama iaitu adat resam, budaya dan kesenian serta nilai-nilai peribadi seperti kesopanan dan etika.

“Patriotisme boleh mempengaruhi keadaan kerana apabila tiada rasa cinta pada negara, tiada kesetiaan dan tidak merasa bangga dengan negara, kita akan buat kerja sambil lewa dan tidak berasa malu,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama News Channel, malam tadi.

Mohamad berpendapat bagi memperkasakan patriotisme di negara ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan misalnya, perlu mewujudkan satu kaedah atau mekanisme konsisten yang menjadi asas kepada perjuangan dan pembangunan negara ke arah TN50.

Beliau menegaskan perjuangan itu tidak boleh hanya disandarkan kepada kerajaan semata-mata malah rakyat keseluruhannya perlu turut serta.

“Kita tidak boleh biarkan hanya pemimpin sahaja (berjuang), tapi rakyat masih merungut dan bising tetapi tidak sama-sama berjuang. Bila minta respons dalam talian tiada tindak balas, hanya suka bercakap di kedai kopi atau di media sosial,” jelasnya.

Selain itu, badan bukan kerajaaan (NGO) belia juga harus bersatu padu dan bekerjasama melaksanakan program yang dapat membuka minda generasi muda dalam melahirkan semangat patriotisme.

Sementara itu, Exco Majlis Belia Wilayah Persekutuan Abu Bakar Datuk Jalal berkata masyarakat terutama golongan belia tidak seharusnya mengaitkan fahaman politik dengan kecintaan kepada negara.

“Segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa cintakan negara itu dikaitkan dengan parti politik atau individu dalam parti pemerintah. Emosi mereka telah dimainkan untuk membenci parti atau pemimpin tertentu kerana ia seolah-olah turut membenci langkah mengadakan program cintakan negara,” jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan agar rakyat kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara supaya patriotisme tidak terhakis selain mengadakan banyak aktiviti yang melibatkan masyarakat berbilang kaum.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2wS5ylT
via IFTTT

Menteri Luar Qatar Lawat Kuwait Di Tengah Ketegangan Dengan Negara Arab

BANDAR KUWAIT, 17 Ogos – Menteri Luar Qatar Mohammed Abdulrahman Al Thani tiba di Kuwait semalam untuk mengadakan lawatan tidak rasmi di tengah ketegangan antara Doha dengan empat negara Arab, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Lawatan itu bagi membincangkan mengenai hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa, memetik agensi berita rasmi KUNA.

Sempena lawatan, Menteri Luar Qatar turut mengadakan pertemuan dengan Emir Kuwait Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah.

Pertemuan dikatakan mempunyai kaitan dengan mesej yang disampaikan Sheikh Sabah kepada pemimpin empat negara yang memboikot Qatar yang disifatkan media sebagai inisiatif Kuwait untuk menjadi perantara menyelesaikan krisis.

Pada Jun lepas, Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana menuduh Doha menyokong keganasan.

Sumber Bernama



from IKIMfm http://ift.tt/2uS9AsS
via IFTTT

Kemuncak Ketenangan dan Kegembiraan di Syurga

BERDASARKAN kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para alim ulama berpandangan bahawa terdapat beberapa kenikmatan yang diperolehi daripada kemuncak ketenangan ketika berada di syurga nanti.   Suasana di syurga akan diperindahkan lagi dengan keadaan berangin dan bauan harum yang memberi ketenangan kepada penghuninya. Keadaan angin yang bertiup perlahan itu tidak panas dan tidak pula sejuk suhunya disertai bauan rayhan dan kasturi.

Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki di dalam slot Mau’izati yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, nikmat kepada ahli syurga adalah apabila diberi ketenangan dengan bauan yang harum. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud al-Thailisi daripada Abdullah bin Amr bin A’is al-Asr RA yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana orang yang mendakwa namanya tidak dinasabkan kepada ayahnya, tidak akan berbau bauan syurga untuknya. Sedangkan bauan syurga ini sekiranya kamu ingin menghidunya, jaraknya sejauh 50 tahun perjalanan kamu.”

Selain itu diantara ketenangan yang diperolehi di syurga ialah pakaian-pakaian daripada sutera halus berwarna hijau yang mampu membuatkan si pemakainya bertambah cantik dan segak. Firmat Allah SWT di dalam surah al-Insan, ayat 20-21: “Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya). Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.”

Apabila berada di syurga kelak, para penghuninya saling kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain. Mereka berkumpul dan berbincang sesama mereka berkenaan perkara yang telah dilakukan ketika hidup di dunia dahulu. Di dalam surah al-Tuur, ayat 25-28: Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah), Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”.

Hadis yang disebut oleh Abu Bakar al-Dunya yang meriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalamnya dan mereka terasa rindu sesama saudaranya, maka bangku yang didudukinya berjalan kepada saudaranya itu sehingga kedua-dua mereka bertemu. Lalu salah seorang akan berkata kepada temannya, “Ingatkah kamu bila Allah mengampuni kita?” dan dijawab “Bila kita berada di tempat itu dan apabila kita berdoa maka Allah ampunkan dosa kita”.

Surah as-Saaffat, ayat 50-61, Allah berfirman: “(Tinggallah penduduk syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. Seorang di antaranya berkata: “Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). “Katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: “Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?” Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab). (Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): “Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, – Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa? Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).”

Rasulullah sentiasa berpesan kepada umatnya, mereka yang cerdik adalah mereka yang tidak memandang kepada pangkat dan kedudukan serta harta yang banyak. Tetapi sebaliknya, mereka sentiasa bersiap sedia untuk kembali menghadap Allah SWT nanti. Jangan biarkan diri terperangkap dengan kelalaian di dunia dan mensia-siakan nikmat umur yang dikurniakan Allah dengan mengejar perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan mengabaikan amal ibadah sebagai bekalan di Hari Akhirat.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2vECeR5
via IFTTT

Jangan percaya tular hari wukuf pada Jumaat

MEKAH, 16 Ogos – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meminta rakyat Malaysia dan jemaah haji di sini supaya tidak mempercayai satu mesej yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, berhubung tarikh penetapan hari wukuf yang kononnya jatuh pada hari Jumaat, 1 September ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu, jika diikutkan semua tarikh hijrah termasuklah penetapan hari wukuf dan hari raya Aidiladha adalah bergantung kepada kalendar ummul qura’ (kalendar Islam) yang dipakai bersama dengan pihak Arab Saudi.

“Jadi, sekiranya kalendar ummul qura’ itu diguna pakai, maka hari wukuf pada 9 Zulhijah itu jatuhnya adalah pada 31 Ogos ini iaitu pada hari Khamis,” katanya kepada wartawan Malaysia di Ibu pejabat Tabung Haji bangunan Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Beliau menjelaskan isu mesej yang tular dalam kalangan jemaah haji Malaysia di sini, begitu juga di tanahair sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, setiap tahun pihak Arab Saudi akan melihat anak bulan sebelum mengisytiharkan bulan yang baru.

“Maka mereka (Arab Saudi) akan melihat anak bulan pada 21 Ogos ini untuk menentukan sama ada keesokan harinya adalah 30 Zulkaedah ataupun 1 Zulhijah, iaitu bulan baru.

“Daripada keputusan itu nanti, kita akan mengetahui tarikh hari Wukuf dan Aidiladha. Maka kita tunggulah pengisyhtiharan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, satu mesej kononnya pihak Arab Saudi memutuskan hari Rabu, iaitu 23 Ogos sebagai 1 Zulhijah dan hari wukuf pada hari Jumaat, manakala Aidiladha adalah pada Sabtu, 2 September.

Sumber UTUSAN ONLINE

 



from IKIMfm http://ift.tt/2i3IHjU
via IFTTT

Pergerakan Jemaah Di Tanah Suci Berjalan Lancar

JEDDAH, 15 Ogos – Pergerakan bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah dan Madinah berjalan lancar, dengan masalah dihadapi hanya melibatkan kerosakan kecil dan sedikit kelewatan.Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya (PPKL) Tabung Haji, Shafie Sharif berkata pada musim haji tahun ini, agensi berkenaan menggunakan bas baharu keluaran 2015, 2016 dan 2017 untuk membawa jemaah ke maktab penginapan masing-masing.

“Kesemua bas digunakan bagi membawa jemaah dalam keadaan baik dan telah sampai ke destinasi masing-masing. Pergerakan bas ini adalah dari lapangan terbang di Jeddah ke Makkah, dan dari lapangan terbang berkenaan ke Madinah serta Madinah ke Makkah,” katanya kepada pemberita di sini.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah ke Makkah mengambil masa dua hingga tiga jam, manakala dari Jeddah ke Madinah serta Madinah ke Makkah, masing-masing antara tujuh dan lapan jam.

Beliau berkata bas-bas membawa jemaah Malaysia antara Madinah dan Makkah juga diminta berhenti di pusat pemeriksaan yang telah ditetapkan supaya pemandu dan jemaah boleh berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Berdasarkan pengalaman, jika bas teruskan perjalanan dan tidak berhenti, kemungkinan boleh menyebabkan kerosakan atau menghadapi masalah. Bas-bas ini hanya digunakan setahun sekali (untuk musim haji). Jemaah kita juga boleh makan di kawasan rehat berkenaan,” katanya.

Pasukan PPKL dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan memantau pergerakan bas membawa jemaah haji sejak mula tiba di lapangan terbang di Jeddah ke Makkah, Jeddah-Madinah dan Madinah-Makkah.

“Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya ini akan memantau pergerakan bas-bas tersebut. Jika kita menerima laporan berhubung kelewatan atau kerosakan, pasukan ini akan dikerahkan bagi membantu menangani masalah berkenaan. Kita juga akan meminta digantikan bas lain jika perlu,” katanya.

Sehingga minggu lepas, Shafie berkata TH sudah menggunakan 180 bas untuk membawa jemaah haji dari Madinah ke Makkah, dan 116 bas lagi daripada mula jemaah tiba di Jeddah ke Makkah.

“Setakat ini, tiada masalah besar dilaporkan hanya sebuah bas mengalami kerosakan klac dan masalah pendingin hawa. Bas tersebut kemudian digantikan dalam tempoh dua jam,” katanya.

Beliau berkata PPKL mempunyai dua pasukan terdiri daripada tiga petugas, yang bertanggungjawab memantau pergerakan bas membawa jemaah di laluan Jeddah ke Makkah, serta antara Madinah dan Makkah, dan dibekalkan dengan sistem komunikasi Bravo serta telefon bimbit.

Katanya apabila musim haji memasuki fasa berikutnya, pasukan PPKL akan memberi tumpuan terhadap operasinya bagi membawa jemaah antara Makkah dan Arafah.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2uEJTQP
via IFTTT

Menuntut Ilmu Perlu Panduan

KEBELAKANGAN ini kita melihat semakin ketara kecenderungan masyarakat Islam di negara kita untuk mempelajari ilmu-ilmu agama sama ada secara formal mahupun tidak formal. Kita dapati permintaan yang amat tinggi untuk menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah agama dan tahfiz, sama ada yang dianjurkan oleh kerajaan ataupun pihak persendirian. Ada ibubapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka ke madrasah-madrasah di luar negara kerana percaya anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang lebih baik. Pada masa yang sama masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara rancak menganjurkan kelas pengajian mingguan dan bulanan yang dikendalikan oleh guru-guru jemputan.

Bagi mereka yang berfikiran optimis keadaan ini dilihat sebagai petanda yang baik bahawa tahap kefahaman dan pengamalan Islam pada keseluruhannya sedang meningkat naik. Tidak ada salahnya mengambil sikap yang optimis, namun lebih baik kalau sekiranya pada masa yang sama kita berhati-hati dan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana masih terlalu awal untuk kita melihat dan menilai kesannya. Secara umumnya bolehlah kita katakan bahawa kecenderungan kepada agama yang ditunjukkan dengan permintaan yang tinggi terhadap sekolah dan pengajian agama adalah sesuatu yang baik. Akan tetapi baik atau tidak kesannya kelak amatlah bergantung kepada apa yang dituntut dan diajar itu.

Pada umumnya masyarakat melihat ilmu-ilmu agama itu sebagai baik semuanya, dan mereka yang menuntut ilmu agama sebagai golongan yang melakukan kebaikan. Akan tetapi tidak ramai yang sebenarnya mengetahui bahawa ilmu-ilmu agama itu sendiri masing-masing mempunyai kedudukan dan taraf keutamaan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Dalam Kitab Ilmu Imam Ghazali menjelaskan bahawa dalam menuntut ilmu ada pertimbangan kadar yang mesti diketahui dan diraikan kerana ada ilmu yang tercela semata-mata, sama ada sedikit ataupun banyak; ada ilmu yang baik semata-mata, dan semakin banyak dimiliki semakin baik; dan ada ilmu yang hanya baik dan terpuji kalau sekiranya ia tidak melebihi kadar yang tertentu, jika tidak maka ia tidak lagi baik dan terpuji. Ilmu yang tercela adalah yang tidak memberikan faedah, ataupun yang mendatangkan mudarat, sama ada kepada diri sendiri ataupun kepada masyarakat.

Ilmu yang tiada dihadkan penuntutannya sebanyak-banyak yang mungkin adalah yang mengenalkan manusia kepada Allah dan mendatangkan cinta kepadaNya, kerana itulah ilmu yang membawa kepada kebahagiaan hakiki. Dari kalangan ilmu-ilmu agama, yang wajib dituntut sebagai fardhu ain hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan asas-asas akidah dan amalan zahir dan batin berdasarkan keperluan setiap individu yang berbeza-beza taklif dan cabaran yang yang dihadapi dalam kehidupan masing-masing.

Mendalami cabang-cabang ilmu agama adalah fardhu kifayah, dan dalam melakukannya kebijaksaan dalam mempertimbangkan kadar yang sesuai dengan keperluan diri masing-masing amatlah penting kerana umur manusia terlalu singkat untuk dihabiskan dalam menuntut ilmu yang tidak bermanfaat buat dirinya. Maka segala persoalan khilafiyah dalam akidah dan fekah hendaklah dijauhkan kerana ia bukan sahaja tidak berfaedah bahkan memudaratkan diri.

Akan tetapi dalam perkara-perkara khilafiyah yang melibatkan perbebatan inilah ramai penuntut ilmu yang telah terpedaya, dengan sangkaan bahawa mereka sedang mempelajari sesuatu yang penting yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang lain. Maka mereka menghabiskan masa mempelajari perkara-perkara yang sia-sia, dan kelak perkara-perkara itu jugalah yang mereka gemar ajarkan dan sebarkan kepada masyarakat sama ada di tempat-tempat pengajian mahupun di mimbar-mimbar masjid. Jika itulah yang umumnya diajar dan dituntut di sana sini, hendaklah kita khuatiri bahayanya kepada masyarakat kerana ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat.

Keghairahan terhadap pengajian ilmu-ilmu agama semata-mata tidaklah memadai. Ia hendaklah dipandu oleh ‘ilmu tentang ilmu’, iaitu ilmu yang menjelaskan kepada setiap penuntut tujuan ilmu dituntut, cabang-cabangnya dan keutamaan masing-masing, serta kadar yang dia perlukan untuk dirinya dari setiap ilmu. Alangkah baiknya kalau yang merancang dasar pendidikan kita memahaminya.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri



from IKIMfm http://ift.tt/2vWIdC3
via IFTTT

Imam Abu Hanifah

IMAM Abu Hanifah Nukman Ibn Thabit yang terkenal dengan nama Imam Hanafi. Ustaz Muhadir Hj. Joll menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin di IKIMfm, menyebut insan hebat ini mempunyai banyak sumbangan dalam bidang Feqah sehinggakan mencintai beliau menjadi suatu yang sangat dituntut. Seorang ulama besar, Abu Mu’awiyyah Ad-Dhorir menyebut “Sesungguhnya mencintai Imam Abu Hanifah termasuk di dalam sunnah”. Hal ini kerana ketokohan dan sumbangan beliau sangat hebat dan sehingga kini mencorakkan dunia feqah yang harus kita tekuni dan manfaatkan yang akhirnya membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dalam sejarah, terdapat dua puluh orang yang masyhur yang menggunakan gelaran ‘Abu Hanifah’. Namun, sekalipun terdapat dua puluh orang fuqaha’ dengan gelaran Abu Hanifah, apabila disebutkan nama Abu Hanifah, pastinya tergambar dan teringat akan Imam Abu Hanifah Nukman ibn Thabit ini kerana kemasyhuran dan kealiman beliau. Digelar Abu Hanifah dengan dua sebab, yang pertamanya mengambil maksud ‘hanaf’ iaitu suci, kecenderungan kepada Tauhid. Ini kerana betapa hebatnya ibadah Imam Abu Hanifah ini kepada Allah SWT. Kedua, ‘Hanifah’ ini juga digunakan kepada orang yang banyak menulis. Di kalangan penduduk Iraq, apabila mereka ingin menyebut orang yang banyak menulis, maka mereka akan menyebut dengan ‘Hanifah’. Sememangnya, Imam Abu Hanifah mempunyai karangan yang sangat banyak dan digunakan serta dimanfaatkan sehingga kini.

Beliau dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 18 Hijrah. Nama penuh beliau Nukman bin Thabit bin Marzuban. Beliau berketurunan Parsi. Datuknya memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab. Imam Abu Hanifah bercerita mengenai pengalaman beliau menuntut ilmu “Aku datang ke Basrah dan aku menyangka sesungguhnya tidaklah aku ditanya tentang sesuatu melainkan aku akan temui jawapan di sana. Lalu orang Basrah bertanya kepadaku beberapa perkara dan aku tidak ada jawapannya. Lalu aku berazam pada diriku untuk tidak akan berpisah dengan guruku, Hammad Ibn Sulaiman”. Imam Abu Hanifah belajar dengan gurunya selama lapan belas tahun. Kemuliaan beliau turut diwarisi daripada keturunan beliau. Ayahnya, Thabit bin Marzuban pernah bersama dengan Saidina Ali KWJ.

Cucu Imam Abu Hanifah, Ismail bin Hammad menceritakan “Thabit, ayah kepada Imam Abu Hanifah pergi kepada Saidina Ali dan saat itu, Imam Abu Hanifah masih kecil. Lalu Saidina Ali mendoakan keberkatan untuknya dan keturunannya. Kami mengharapkan doa Saidina Ali dikabulkan Allah untuk kami juga”. Doa itu sangat luar biasa kerana sehingga kini, beliau dan keturunannya tergolong dalam golongan orang soleh dan member manfaat kepada manusia. Imam Aabu Hanifah bukan sekadar mendapat keberkatan melalui doa Saidina Ali, bahkan beliau sempat melihat Saidina Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW ketika Saidina Anas datang ke Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadith daripada Saidina Anas Ibn Malik. Antaranya yang bermaksud “Menuntut ilmu agama adalah satu kefardhuan ke atas setiap orang Islam”. Di dalam sejarah ada meriwayatkan, Imam Abu Hanifah sempat berjumpa dengan Sembilan atau sepuluh orang sahabat Baginda SAW.

Menurut Imm Al-Dhzahabi, Imam Abu Hanifah meriwayatkan hadith daripada 37 orang guru. Imam Abu Hanifah sangat gigih mencari hadith dan bermusafir untuk mendapatkan hadith. Ini membuktikan bahawa beliau sangat memberatkan tentang hadith. Imam Abu Hanifah menceritakan beliau mimpi seolah-olah melihatb beliau menggali kubur Baginda Nabi SAW. Kemudian beliau pergi ke Basrah dan menyuruh seseorang lelaki untuk mencari Imam Muhammad Ibn Siri. Lelaki tersebut menceritakan tentang Imam Abu Hanifah kepada Imam Muhammad dan katanya mengenai Imam Abu Hanifah “Orang ini (Imam Abu Hanifah), orang yang akan menggali, menjaga dan memelihara hadith-hadith Baginda Rasulullah SAW.

Ketokohan dan keilmuan Imam Abu Hanifah dikenali dan tidak diragui. Beliau dikenali oleh insan-insan hebat antaranya ialah Imam As-Syafie. Katanya “Manusia dalam bab feqah semuanya akan mengikut cara yang ditunjukkan oleh Imam Abu Hanifah”. Al-Imam Al-Dzahabi mengatakan “Keimaman dalam bab feqah dan halus pemahamannya, diberikan kepada Imam Abu Hanifah. Perkara itu tidak ada keraguan padanya.” Beliau kemudian menambah “Tidak boleh diterima oleh akal sama sekali, jika siang memerlukan tanda-tandanya”. Ini memberi maksud bahawa ketokohan Imam Abu Hanifah tidak perlu dalil dan buktinya lagi. Sudah terang dan nyata.

Selain menekuni bidang ilmu, Imam Abu Hanifah seorang hamba yang sangat kuat beribadah kepada Allah SWT. Abu Asim Al-Nabil mengatakan “Imam Abu Hanifah dinamakan ‘Al-Watit’, orang yang banyak sembahyang sunat”. Dikatakan beliau solat sunat sebanyak 300 rakaat setiap malam. Anak murid Imam Abu Hanifah, Al-Qadi Abu Yusuf katakan “Imam Abu Hanifah mengkhatamkan Al-Quran hanya dalam satu rakaat setiap malam”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2vWm5rq
via IFTTT

Mesir Tahan 49 Migran Cuba Masuk Ke Libya Secara Haram

KAHERAH, 14 Ogos  – Pihak berkuasa Mesir semalam menggagalkan percubaan 49 migran untuk masuk ke Libya secara haram, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber agensi berita MENA.

Kumpulan migran itu, terdiri 28 warga Mesir, 11 Sudan, lima Syria, tiga Eritrea, masing-masing seorang Iraq dan Ethiopia.

Mesir sering dijadikan laluan oleh migran untuk menuju ke Libya sebelum meneruskan perjalanan ke Eropah melalui Laut Mediterranean.

September lepas, sebuah bot membawa 600 migran, dipercayai dalam pejalanan ke Itali karam berhampiran pantai Beheira, Mesir mengakibatkan 200 terkorban.

Agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex turut memberi amaran bahawa jumlah migran yang menjadikan Mesir sebagai laluan utama menuju ke Eropah semakin meningkat.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2fEX9OB
via IFTTT

Pasukan perubatan Tabung Haji sedia berikan khidmat terbaik

MEKAH, 14 Ogos – Seramai 18 orang doktor pakar, 40 pegawai perubatan serta 217 anggota sokongan perubatan Tabung Haji bersedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada 30,200 jemaah haji pada tahun ini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) 1438 Hijrah, Dr. Mohammad Faid Abd. Rashid berkata, jumlah itu termasuklah 63 penolong pegawai perubatan dan 66 orang jururawat, selain pegawai pergigian dan farmasi, juru x-ray, makmal, fisioterapi dan pemakanan (diet).

“Di Mekah, kita mempunyai Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji Syisya dengan kapasiti 197 katil termasuklah satu bilik pengasingan bagi kes berjangkit.

“Di pusat rawatan Wisma Tabung Haji Hotel Abraj Al-Janadriyah ula disediakan 34 katil, manakala di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji Al Jaffery Madinah , kita punyai 37 katil. Jadi keseluruhannya, kita mempunyai 268 katil untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit dalam kalangan jemaah haji,” katanya kepada wartawan Malaysia di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji Syisya di sini hari ini.

Sumber UTUSAN ONLINE

 



from IKIMfm http://ift.tt/2fCQIvg
via IFTTT

Elak strok haba dan jaga kesihatan

 JEDDAH, 11 Ogos – Perubahan suhu yang mendadak di Tanah Suci ini, memerlukan jemaah haji Malaysia meminum air yang banyak, menutup kepala apabila berada di kawasan terbuka selain mendapatkan rehat yang cukup.

Pegawai Perubatan Jeddah 1438 Hijrah, Dr. Mohd. Rohisham Zainal Abidin berkata, peringatan itu bertujuan memastikan jemaah haji berada dalam keadaan sihat dan boleh melakukan dengan selesa.

“Jemaah haji telah diberikan taklimat kesihatan dan dalam modul itu, telah diterangkan kepada mereka penjagaan kesihatan.

“Sekiranya boleh, janganlah terlalu mendedahkan diri kepada cuaca panas terlalu lama kerana itu boleh menyebabkan strok haba,” katanya kepada wartawan Malaysia di pusat pengurusan operasi Jeddah di sini hari ini.

 Menjelaskan proses penerimaan jemaah haji dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abduaziz Jeddah, bahagian kesihatan bergerak akan membantu setiap jemaah, terutamanya kepada warga emas, uzur dan memerlukan perhatian perubatan.

Sumber UTUSAN ONLINE



from IKIMfm http://ift.tt/2uLDBtO
via IFTTT

Prinsip Dan Adab Dalam Berkhilaf

AKHIR-AKHIR ini banyak kedengaran kemelut perbezaan pandangan dalam kalangan tokoh-tokoh agama, disahut nyaring oleh lisan para pengikut masing-masing sehingga kadang kala mengheret kepada perbalahan yang parah. Apabila ditambah dengan amarah yang tidak terkawal, perbalahan ini boleh membawa kepada persengketaan yang memecah-belahkan.

Dalam menilai perbezaan pandangan yang berlaku ini, ada yang berpandangan bahawa khilaf dan perbezaan pandangan antara kelompok manusia adalah perkara yang fitrah dalam kehidupan. Ia malah merupakan sebahagian dari ciri-ciri ciptaan Allah yang menjadikan makhlukNya dengan pelbagai bentuk perbezaan.  Antara hujah-hujah yang diketengahkan bagi menyokong pandangan ini ialah:

Pertama, al-Qur’an sendiri menjelaskan bahawa ketika Nabi Adam A.S. bakal dicipta oleh Allah, para malaikat mempersoal tujuan penciptaan Adam dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah. “Ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan di muka bumi orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah..” (Surah al-Baqarah, ayat 30). Ini merupakan petanda awal dari al-Qur’an bahawa manusia sememangnya suka berbalah-balahan.

Kedua, sejarah merakamkan pelbagai bentuk pertentangan dan persengketaan antara kelompok manusia sepanjang kehidupan manusia yang melibatkan peperangan dan pembunuhan. Ketiga, kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang ilmu menggambarkan bahawa terdapat perselisihan pandangan yang banyak dalam kalangan manusia.

Walaupun kelihatan kukuh, hujah-hujah yang diketengahkan di atas harus dinilai dengan lebih teliti supaya ia tidak dijadikan asas untuk mereka yang berbalah dan berkhilaf untuk terus bersengketa berdasarkan premis bahawa khilaf adalah fitrah kemanusiaan.

Malah, sekiranya dianalisa dengan lebih mendalam, hujah yang berpandangannya sebaliknya adalah lebih kukuh, iaitu hakikat bahawa manusia pada fitrahnya lebih cenderung untuk bersetuju dan dan bersatu. Asas kepada hujah ini adalah seperti berikut:

Pertama, di samping perbalahan dan perselisihan, sejarah manusia juga merakamkan banyak usaha dan aktiviti yang dijalankan atas nama kerjasama, kesatuan fikiran dan persepakatan. Pelbagai bentuk tamadun dan peradaban yang terbangun hasil ciptaan manusia menggambarkan bahawa manusia dapat bersama dan bersatu dalam melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Sekiranya fitrah manusia adalah perbalahan dan perpecahan, sudah pasti tidak banyak hasil peradaban tinggi yang terhasil dalam sejarah.

Kedua, dalam sejarah kemanusiaan, jangka masa manusia hidup dalam keadaan aman, sejahtera dan bersatu adalah lebih lama berbanding tempoh masa mereka bersengketa. Di zaman Rasulullah sendiri, peperangan dan perbalahan hanyalah sebahagian kecil dari episod kehidupan baginda yang amat panjang.

Ketiga, al-Qur’an menegaskan tentang kepentingan kesatuan yang merupakan fitrah kepada kehidupan ketundukan kepada Tuhan. “Berpegang teguhlah kamu dekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103). Ini bermakna perpecahan yang timbul dalam kalangan manusia adalah perkara yang mendatang setelah manusia pada asalnya hidup dalam keadaan aman.

Keempat, adanya konsep ijma’ sebagai salah satu sumber hukum Islam menggambarkan bahawa fitrah manusia cenderung untuk mencapai persetujuan dalam pandangan manusia.

Berdasarkan pandangan di atas, bolehlah disimpulkan bahawa walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, bukanlah satu fitrah yang harus dipertahankan, jauh sekali dijadikan asas kepada perpecahan yang berterusan. Malah sekiranya diteliti semangat yang dibawa oleh al-Qur’an berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata al-Qur’an sentiasa menyarankan manusia supaya bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu. Malah prinsip tauhid sendiri mencerminkan kepentingan kesatuan yang harus diterjemahkan dalam kehidupan manusia.

Justeru itu, walaupun terdapat khilaf dalam masyarakat termasuk yang membawa kepada perpecahan, kesatuan tetap merupakan prinsip unggul yang dijunjung tinggi oleh agama justeru harus dijadikan matlamat utama dalam kehidupan. Tidak hairanlah kesatuan ini menjadi tema utama al-Qur’an apabila berbicara tentang kemasayarakatan. Begitu juga dengan hadis-hadis yang menyeru kepada kesatuan dan menjauhi perselisihan seperti: “Janganlah kamu berselisih kerana orang-orang sebelum kamu musnah kerana mereka berselisih.” Dalam hadis lain, “Kamu lihat kaum mukminin dalam berkasih saying dan menjalin hubungan seperti satu tubuh; apabila salah satu anggota tubuh mengeluh kerana sakit, maka seluruh tubuh ikut merasakannya.”

Mungkin ada yang menimbulkan persoalan dengan membawa hadis  “ikhtilaf dalam umatku adalah satu rahmat” yang menggambarkan bahawa perbezaan pandangan adalah suatu kebaikan dan rahmat dari Allah. Perlu ditegaskan bahawa, selain dari sanad hadis tersebut yang diragui, maksud hadis berkenaan, sekiranya diambil sebagai hujah sekalipun, harus ditafsir secara khusus, iaitu merujuk kepada ikhtilaf dalam bentuk ijtihad ilmu yang memberi ruang kepada kemudahan dalam melakukan sesuatu amalan agama. Dengan kata lain, makna hadis tersebut tidak sama sekali tidak merujuk kepada ikhtilaf yang membawa kepada perbalahan, perpecahan dan kemusnahan. Maksud inilah yang gambarkan oleh Khalifah Umar bin Abd Aziz yang menyatakan bahawa beliau tidak suka sekiranya para sahabat tidak berikhtilaf, kerana jika mereka sepakat di atas satu–satu pendapat sudah tentu orang ramai akan berada di dalam kesempitan. ‘Mereka’, yang dimaksudkan oleh khalifah Umar, merujuk kepada imam-mam yang diikuti oleh umat. Sekiranya seseorang berpegang dengan pendapat salah seorang dari mereka, sudah tentu ia akan berada dalam keluasan.

Salah satu perkara yang harus diambil perhatian dalam menangani masalah perbezaan pandangan ialah dengan mengetahui bentuk perbezaan pandangan yang berlaku, adakah ianya perbezaan dalam bentuk pertentangan yang tiada ruang pengharmonian atau ia sekadar perbezaan pandangan yang mempunyai ruang untuk diharmonikan. Yang pertama, pada asasnya merujuk kepada perkara-perkara usul (fundamental) dalam agama sementara yang kedua merujuk kepada perkara furuk yang sememangnya terbuka kepada khilaf. Permasalahannya ialah, betapa banyak perbalahan yang berlaku dalam masyarakat yang disebabkan oleh perbezaan dalam bentuk kedua sehingga menyebabkan perbalahan dan permusuhan yang membinasakan.

Yang paling penting untuk dipegang dalam hal yang berkaitan dengan perbezaan pandangan ialah prinsip dan adab dalam berkhilaf. Antara prinsip dan adabnya ialah mengutamakan dalil dan hujah berbanding emosi, memahami keutamaan dan cabangan dalam isu-isu yang diperselisihkan, berlapang dada atas perbezaan yang bersifat cabangan, berusaha mencari ruang keharmonian berkaitan sesuatu perkara yang menjadi pertentangan, menjauhi sikap ta’sub terhadap kelompok, menekankan keikhlasan dalam mencari kebenaran dan mengadakan dialog dengan cara terbaik dan rasional.

Sekiranya adab-adab ini dijaga insha’Allah, kita bakal melihat lebih banyak kesatuan dan keharmonian dalam masyarakat berbanding persengkataan dan kekhilafan.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri



from IKIMfm http://ift.tt/2vUmISG
via IFTTT