Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu, jika diikutkan semua tarikh hijrah termasuklah penetapan hari wukuf dan hari raya Aidiladha adalah bergantung kepada kalendar ummul qura’ (kalendar Islam) yang dipakai bersama dengan pihak Arab Saudi.

“Jadi, sekiranya kalendar ummul qura’ itu diguna pakai, maka hari wukuf pada 9 Zulhijah itu jatuhnya adalah pada 31 Ogos ini iaitu pada hari Khamis,” katanya kepada wartawan Malaysia di Ibu pejabat Tabung Haji bangunan Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Beliau menjelaskan isu mesej yang tular dalam kalangan jemaah haji Malaysia di sini, begitu juga di tanahair sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, setiap tahun pihak Arab Saudi akan melihat anak bulan sebelum mengisytiharkan bulan yang baru.

“Maka mereka (Arab Saudi) akan melihat anak bulan pada 21 Ogos ini untuk menentukan sama ada keesokan harinya adalah 30 Zulkaedah ataupun 1 Zulhijah, iaitu bulan baru.

“Daripada keputusan itu nanti, kita akan mengetahui tarikh hari Wukuf dan Aidiladha. Maka kita tunggulah pengisyhtiharan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, satu mesej kononnya pihak Arab Saudi memutuskan hari Rabu, iaitu 23 Ogos sebagai 1 Zulhijah dan hari wukuf pada hari Jumaat, manakala Aidiladha adalah pada Sabtu, 2 September.

Sumber UTUSAN ONLINE