Asrama Sekolah Tinggi Islam Di Rembau Terbakar

SEREMBAN, 28 September – Sebuah asrama penginapan pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Rembau terbakar awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata kebakaran ke atas asrama yang menempatkan 37 pelajar itu berlaku kira-kira jam 1.50 pagi dan telah memusnahkan 60 peratus bangunan asrama.

Bagaimanapun kesemua pelajar terselamat kecuali tiga orang yang mengalami asma akibat terhidu asap.

“Ketiga-tiga pelajar ini telah dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” kata Norazam.

Beliau berkata punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Anggota bomba dan penyelamat tiba 10 minit kemudian selepas menerima panggilan kecemasan dan ketika sampai api sedang marak pada separuh bangunan asrama itu.

Bagaimanapun api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian, katanya.

Kebakaran di asrama sekolah agama ini berlaku tidak berapa lama selepas kejadian sama di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada 14 Sept lalu yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua orang guru.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2fsPUWt
via IFTTT