PBT Jadi ‘Bapa Angkat’ Pantau Pusat Tahfiz Di Melaka

MELAKA, 19 September – Kerajaan negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar melantik pegawai kanan sebagai ‘bapa angkat’ kepada pusat tahfiz dalam kawasan pentadbiran masing-masing bagi memantau perkembangan premis mereka secara berkala.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata inisiatif itu diambil bagi mengelak tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 Sept lepas yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru daripada berulang.

Katanya pihak tersebut perlu membuat satu laporan terperinci bagi setiap pusat tahfiz dalam kawasan mereka bagi memastikan bahawa pihak pengurusan sekolah mematuhi pelan pembangunan terutama melibatkan aspek keselamatan .

“Selain itu, kita juga akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja peringkat daerah yang membabitkan Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri di bawah kendalian PBT bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan di semua sekolah tahfiz.

“Mereka ini berperanan untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh dan secara tidak langsung dapat mengambil tindakan awal (sekiranya berlaku kemalangan) dan (jika kita dapati) bangunan itu tidak boleh diperbaiki maka kita akan mengarahkan supaya ditutup dan tidak digunakan lagi,” katanya.



from IKIMfm http://ift.tt/2yf95e0
via IFTTT