JAIPK Rampas Selipar Ada Kalimah Syahadah

LUMUT, 21 September – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merampas sepasang selipar dipercayai menggunakan kertas mengandungi kalimah syahadah sebagai pelapik bahagian dalamnya, di sebuah hotel di Sitiawan, semalam.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung Roslin Om berkata rampasan yang dibuat melalui unit penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Manjung itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi, semalam, selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Kami memeriksa beberapa pasang selipar namun hanya sepasang sahaja yang menggunakan kertas keras mengandungi kalimah syahadah pada sebelah bahagian dalamnya.

“Selipar yang lain tidak mempunyai ayat suci al-Quran sebaliknya menggunakan gambar kartun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Roslin berkata perkara itu disedari pelanggan hotel tersebut apabila pelapik selipar yang digunakan terkoyak sehingga mendedahkan bahagian bawahnya yang mempunyai kalimah suci.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2fk7PCw
via IFTTT