Nikmat Masa

MASA adalah di antara nikmat yang paling besar dalam hidup manusia. Nabi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara”. Salah satu daripada lima perkara itu adalah ‘hidup sebelum mati’, justeru dalam hidup ini di antara perkara yang paling berharga dan penting adalah berkaitan masa.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu pukul 10.00 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkongsi bahawa waktu adalah modal dalam kehidupan seseorang mukmin. Sekiranya seseorang manusia tidak mengambil kesempatan menggunakan peluang masa yang ada dengan bijak, mereka akan mendapat  kerugian bukan hanya di dunia tapi juga akhirat kelak. Ibarat seseorang mukmin yang membeli barang, tetapi jika tidak tahu menggunakan barangan tersebut, ianya hanya mendatangkan kerugian sahaja.

Apabila berbicara tentang perkara berkaitan masa. Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan manusia dalam ayat al Quran surah As- Ashr yang bermaksud “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. Ciri-ciri manusia yang untung telah diperjelaskan oleh Allah SWT dalam ayat suci al-Quran untuk mengingatkan manusia betapa pentingnya nikmat masa kepada manusia.

Iman Hassan al Basri menukilkan tentang kepentingan masa melalui kata-kata peringatan yang berbunyi “Wahai anak adam, sesungguhnya kamu terdiri daripada bilah-bilah hari yang apabila sebahagian dari waktu dari diri kamu telah pergi, bermakna sebahagian lagi dari diri kamu akan pergi menemui Allah SWT”. Kata-kata tersebut adalah satu peringatan kepada mukmin agar menggunakan masa sebaik mungkin untuk memperhambakan diri kepada Allah dan melaksanakan amal ibadah kepadaNya.

Sementara itu, dalam ayat suci al-Quran menerusi surah al Furqan ayat 64, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri”. Justeru waktu siang dan malam adalah dua makhluk Allah yang tidak akan terpisah di antara keduanya. Baik malam atau siang, keduanya berhubung melalui masa. Oleh itu, dengan adanya siang dan malam adalah untuk mukmin mencari kebaikan, keberkatan dan manfaat untuk mengingati Allah SWT. Seseorang mukmin yang masanya diberkati akan selalu berkecukupan waktu dalam kehidupan yang dijalani sama ada dengan urusan-urusan duniannya mahupun urusan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai keutamaan atau fokus dalam hidupnya, Allah akan menjadikan kepadanya kekayaan dalam kehidupannya, bahkan dunia juga akan datang dan tunduk kepadanya. Dalam waktu itu, Allah SWT menghimpunkan kesulitannya, digantikan dengan segala yang memudahkan urusan kehidupan”. Setiap perkara yang mengutamakan urusan akhirat atau Allah SWT sebagai keutamaan akan diberi keberkatan dan kebaikan.

Justeru, orang yang sentiasa mengingati Allah SWT dengan cara berterima kasih dan bersyukur atas segala anugerah dan kurniaan Allah SWT, akan mendapat nikmat keberkatan waktu dan dipermudahkan segala perkara di dunia ini. Oleh itu, pentingnya bagi seseorang mukmin untuk sentiasa merasa syukur dengan apa yang dimiliki kerana dengan rasa syukur itu Allah akan menambah lebih banyak nikmat-nikmat yang lain.

Dalam melalui lurah-lurah waktu yang tidak seorangpun tahu berapa banyak lagi nilai usia yang masih tersisa, seseorang mukmin wajar sahaja menguruskan kehidupan dengan cara yang bijaksana dan mengikuti amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan para salikin. Setiap hari hendaklah dimulakan dengan niat yang baik kerana Allah. Umpamanya dengan berdoa “Ya Allah, berkatilah hidupku dengan kebaikanMU, berkatilah waktuku dengan mengingatiMu dan penuhi hariku dengan KeberkatanMu”. Waktu-waktu yang diisi dengan beramal kepada Allah pasti akan ada ganjaran yang akan mengubah manusia menjadi insan yang soleh.

Sebaiknya masa yang Allah kurniakan, hendaklah digunakan untuk menyusun manfaat kepada diri sendiri, menyebarkan kebaikan untuk dimanfaatkan oleh orang lain dan dalam masa yang sama kebaikan yang dilakukan dikongsi oleh insan-insan yang lain terutama anak-anak yang merupakan penjana saham kebaikan agar terus mengalir walaupun kedua orang tua telah tidak ada lagi di dunia ini.

Waktu yang diabaikan didunia ini barangkali hanya satu kekurangan di dunia dan masih ada waktu untuk bertaubat. Tetapi waktu yang tidak dimanfaatkan dengan mengabdikan diri kepada Allah adalah satu penyelasan abadi kerana di akhirat kelah telah tertutup segala pintu taubat dan tidak ada lagi jalan untuk kembali. Sesungguhnya, dalam hidup ini masa terus bergerak, waktu yang pergi tidak akan kembali lagi. Oleh itu manfaatkan masa yang berbaki ini dengan perbuatan yang akan meninggikan darjat kita di sisi Allah azawajala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 November 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2ht4puM
via IFTTT

Naib Pengerusi IKIM Tan Sri Muhammad Ali Meninggal Dunia

JOHOR BHARU, 31 Oktober – Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim adalah tokoh korporat yang berjaya membina Johor Corporation (JCorp) menjadi antara konglomerat utama di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemergian bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp itu satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Johor kerana banyak sumbangan baktinya termasuk dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan keusahawanan Bumiputera.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) di atas pemergian Allahyarham.

“Pemergiannya satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri, malah tanah air kerana beliau adalah tokoh korporat dan usahawan Melayu kelahiran Johor yang berwibawa dan banyak berjasa.

“Keupayaan dan sumbangan Allahyarham tidak boleh dinafikan. Beliau menerajui JCorp selama lebih 28 tahun dan di bawah kepimpinannya, JCorp berjaya dibina hingga menjadi antara konglomerat utama negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham juga banyak menyumbang bakti dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan ia memberi impak positif yang cukup signifikan bagi memajukan prinsip berkenaan, antaranya melalui instrumen Waqaf Korporat.

Muhammad Ali, 70 yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi di KPJ Damansara akibat kanser yang dihidapinya awal tahun ini.

Beliau yang juga juga yang merupakan Naib Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)Pengerusi Awqaf Holdings Bhd meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Sumber BHONLINE



from IKIMfm http://ift.tt/2zlkhKt
via IFTTT

Imam Al-Bukhari (Bhg. 2)

IMAM al-Sakhawi pernah katakan “sesiapa yang menulis sejarah seseorang mukmin, seolah-olah dia menghidupkannya kembali”. Semoga kisah-kisah orang soleh sentiasa segar dalam kehidupan kita untuk sama-sama kita ambil pengalaman dan pengajaran daripda kisah mereka.

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh), yang bersiaran pada hari Isnin jam 5 petang, Ustaz Muhadri Hj. Joll menyambung kisah mengenai Imam Al-Bukhari. Imam al-Bukhari susuk badannya sederhana. Menurut Imam Ibnu ‘Aadi “aku mendengar Hassan ibn Hussin berkata : aku melihat Imam Bukhari seorang yang berbadan kurus, tidak tinggi dan tidak juga rendah. Kulitnya berwarna coklat.” Beliau yang sangat dikagumi dalam ilmu hadith, memiliki kesungguhan dalam ilmu tersebut. Muhammad ibn Yusuf al-Bakhuri katakan “aku pernah bersama dengan Imam Bukhari di rumah beliau pada satu malam. Aku kira beliau bangkit sebnyak lapan belas kali dan menyalakan pelita untuk ingatkan sesutu hadith pada satu malam.” Muhammad bin Abi Hatim Al-Warrak katakan “aku pula melihat beliau bangun lada satu malam sebanyak lima belas atau dua puluh kali. Setiap kali bangun, beliau akan ambil tempat letak air untuk basuh muka agar tidak tidur serta ambil pelita dan takhrij hadith pastikan betul.”

Imam Bukhari berkata “aku tidak tidur pada waktu malam sehingga aku kira berapa hadith telah aku masukkan ke dalam kitab-kitabku dan aku telah masukkan sebanyak dua ratus ribu hadith yang bersanad.” Beliau pernah katakan hafalan hadithnya sebanyak seratus ribu hadith yang sahih. Beliau juga menhafal yang tidak sahih sebanyak dua ratus ribu. Kata Abu Bakar al-Kalwazani “aku tidak pernah melihat orang seperti Imam Bukhari. Beliau mengambil kitab para alim ulama dan dengan sekali lihat sahaja beliau telah menghafal hadith-hadith yang dilihatnya.” Ketika beliau berada di Samarkand, empat ratus orang termasuk ulama hadith telah hadir untuk berjumpa dan melihat kekuatan hafalan beliau. Mereka bersamanya selama tujuh hari. Pada ketika itu, mereka dengan sengaja memasukkan sanad-sanad Syam ke dalam sanad-sanad Iraq serta dan sanad-sanad Yaman ke dalam sanad-sanad Makkah dan Madinah. Maka tidak ada satu pun sanad yang tidak dapat dirungkai oleh Imam Bukhari. Malah beliau telah menyusun kesemua sanad tersebut tepat mengikut tempat dan matan hadith tersebut.

Beliau menceritakan mengenai rahsia kuat ingatan “aku tidak ketahui sesuatu yang lebih bermanfaat untuk kuatkan ingatanku dan hafalanku melainkan keinginan yang kuat terhadapnya atau bersungguh-sungguh dan sering menelaah tulisan.” Al-Abbas al-Duri mengatakan “aku tidak pernah melihat orang yang menuntut ilmu hadith sebagus Imam Bukhari kerana beliau tidak meninggalkan yang usul dan yang furuq (cabang) melainkan semuanya beliau hafal dan catat.” Imam Bukhari menulis Kitab al-I’tisam pada satu malam sahaja. Ini membuktikan ketajaman fikirannya, cerdas akalnya, kesungguhannya pada ilmu dan kekuatan hafalan.

Imam Bukhari pernah berkata “aku tidak duduk dan bicara tentang hadith melainkan aku tahu mana yang sahih dan mana yang sakit (tidak sahih). Aku juga melihat seluruh kitab-kitab al-Ra’yi, pendapat mereka tentang hadith itu sehingga aku masuk ke Basrah sebanyak lima kali atau lebih.” Beliau menambah “tidak lah aku tinggalkan satu hadith sahih pun ketika dalam perjalanan ini melainkan aku akan menulisnya kecuali apa yang aku tidak ketahui.” Di dalam penulis hadith, beliau sangat teliti mengenai perawi hadith yng ditulis. Kata beliau “aku tidak akan meriwayatkan hadith yang aku terima daripada sahabat dan tabi’in sebelum aku mengetahui tanngal tarikhnya, mengenai kelahiran, kewafatan dan tempat tinggal mereka.”

Selain memiliki ilmu yang sangat tinggi dalam bidang hadith, beliau juga seorang yang kuat beibadah kepada Allah SWT. Beliau mengerjakan solat setiap malam sebanyak tiga belas rakaat. Beliau rajin membac al-Quran terutamnya di bulan Ramadan. Beliau khatam al-Quran pada bulan Ramadan setiap sing harinya. Manakala sebelah malamnya, selepas solat terawih, beliau akan khatam selang tig hari. Tedapat seorang lim yang bernama Ghunjar berkata “Abu Amru Ahmad ibn al-Mukri berkata kepada kami : aku mendengar Bakar ibn Munir katakan : Imam Bukhari sembahyang pada satu malam sehingga disengat oleh lebah sebanyak tujuh belas kali. Selepas solat baru beliau sedar dan bertanya kepada sahabatnya apa yang mengganggu beliau.

Imam Bukhari memiliki akhlak dan keleribadian yang tinggi. Abdullah ibn Saad ibn Jaafar katakan “aku mendengar ulama di Basrah berkata : tidak ada orang di dunia ini seperti Imam Bukhari dari segi mengenal Allah, baiknya dengan orang dan membaikkan orang.” Manakala Muhammad ibn Hatim katakan “aku mendengar al-Hussin ibn Muhammad al-Samarkandi berkata : terdapat tiga perkara yang istimewa pada Imam Bukhari berbanding yang lain ; beliau tidak banyak cakap; beliau tidak tamak dengan apa yang ada pada orang lain; dan beliau tidak sibuk  perkara-perkara manusia yang lain.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Oktober 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2lxf1NF
via IFTTT

MARA longgar syarat biasiswa

PUTRAJAYA, 30 Oktober – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melonggarkan syarat pemberian biasiswa kepada pelajar luar bandar dan golongan B40 bermula tahun depan bagi meningkatkan akses terhadap pendidikan tinggi kepada golongan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) ketika ini, syarat untuk pemberian biasiswa kepada pelajar sudah ditetapkan yang mana mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya lima kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk ditawarkan penajaan sepenuhnya di KPTM.

“Tetapi bermula tahun depan, kita akan longgarkan syarat mungkin kepada empat kredit istimewa untuk pelajar luar bandar, serta mereka yang mempunyai ibu bapa yang tergolong dalam golongan B40.

“Ini akan memberi peluang lebih ramai mereka yang di luar bandar seperti di kawasan pedalaman termasuk Ulu Tembeling, Pahang, serta Sabah dan Sarawak yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti di KPTM.

“Ketika ini, kira-kira 40 peratus pelajar di KPTM mendapat tajaan sepenuhnya oleh kerajaan menerusi MARA,” katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seramai 5,585 graduan KPTM dan KUPTM menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing pada majlis yang berlangsung sejak Sabtu lalu hingga hari ini.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan beliau berkata sejak KPTM ditubuhkan dari 2003 hingga hari ini dan KUPTM yang ditubuhkan pada 2015, seramai 55,000 pelajar dihasilkan dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi iaitu 72 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian masing-masing.

Katanya, pelbagai kejayaan berjaya diraih KPTM atas pencapaian cemerlangnya termasuk di peringkat antarabangsa dan dunia seperti The Two Thousand Fifteen European Society for Quality Researh Award, mendapat Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Approved Learning Partner Gold Status dari ACCA United Kingdom dan memenangi kategori World Business Leader Award dalam The BIZZ 2014 Awards dari The World Confederation of Business.

“Kehadiran KPTM dan KUPTM dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara amat signifikan khususnya dalam meningkatkan status sosio ekonomi Bumiputera seperti dihasratkan kerajaan.

“Program agenda membangunkan anak bangsa akan diteruskan oleh kerajaan kerana bagi kita, pendidikan akan mengubah nasib seseorang, keluarga, kaum dan negara.

“Mereka yang tertinggal dalam pendidikan akan terus tertinggal. Jadi peruntukan terbesar dalam sejarah MARA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam bajet 2018 iaitu RM2.5 bilion, untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.

“Ini memberi peluang kepada MARA untuk menaja lebih ramai pelajar ke peringkat pengajian lebih tinggi seperti Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sama ada dalam atau luar negara.

“Jadi rebutlah peluang yang ada kerana agenda memartabatkan bangsa melalui pendidikan akan terus menjadi komitmen kerajaan dan kita akan terus membela dan mengangkat martabat Melayu dan Bumiputera melalui pendidikan,” katanya.

Sumber BHONLINE



from IKIMfm http://ift.tt/2zhOTfM
via IFTTT

Tiada rancangan lepaskan pegangan dalam PLUS

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pegangan dalam PLUS Malaysia Bhd kepada Maju Holdings Sdn Bhd. Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya, memberitahu cadangan pengambilalihan PLUS oleh Maju Holdings Sdn Bhd perlu disokong oleh punca pendanaan yang jelas dan kukuh.

Selain itu, katanya aspek keupayaan operasi diambil kira dalam memastikan pengendali aset strategik negara itu tidak berdepan masalah kewangan sekiranya berlaku kejutan ekonomi atau keteruapan mata wang asing.

“Hal ini penting bagi memastikan kerajaan tidak perlu menyelamatkan ataupun dengan izin, ‘bailout’ PLUS sekiranya perkara tidak diingini terjadi.

“Kerajaan memandang serius akan kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan korporat ini,” jelas jawapan itu.

Katanya, cadangan pengambilalihan itu juga tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut untuk tidak menaikkan caj tol selama beberapa tahun dan kos penyelenggaraan yang rendah.

“Ia juga perlu menepati keperluan kerajaan dan ini termasuk kemampuan operasi dan kewangan untuk mengurus lebuh raya utara selatan dalam jangka masa panjang,” menurut jawapan bertulis itu.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), meminta Menteri Kewangan nyatakan keputusan hasil daripada cadangan tawaran Maju Holdings untuk mengambilalih jumlah sebanyak RM36 bilion milik PLUS.

Ketika ini, UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing memegang 51 peratus dan 49 peratus kepentingan dalam PLUS.

Sumber BHONLINE



from IKIMfm http://ift.tt/2ieeJqd
via IFTTT

Pesawat Terhempas Dikeluarkan

JASIN, 30 Oktober – Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini awal bulan ini dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi tadi.

Penyiasat Kemalangan Udara Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan, Izani Ismail berkata bangkai pesawat berkenaan dikeluarkan menggunakan jengkaut dan khidmat menyelam seorang anggota penyiasat biro berkenaan.

Operasi tersebut mengambil masa hampir 45 minit bermula pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata laporan awal siasatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu manakala laporan penuh mengambil masa setahun.

“Seterusnya proses menemuduga penumpang pesawat akan dilakukan segera bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan tamat.

Izani berkata siasatan nahas berkenaan setakat ini berjalan lancar dan beberapa saksi kejadian berkenaan termasuk pihak berkuasa antaranya anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) telah dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata usia pesawat berkenaan belum dapat dipastikan dan ia perlu mengambil masa untuk dikenal pasti namun dipercayai ia bukan pesawat baharu.

Sementara itu, penyiasat biro tersebut Khairulnizam Jamaludin berkata beliau terpaksa menyelam ke dasar sungai berkenaan untuk mengikat tali yang dipasang pada jengkaut yang digunakan untuk mengeluarkan pesawat tersebut.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapinya dalam operasi berkenaan termasuk penglihatan terhad ekoran air di dasar sungai berkenaan keroh selain perlu berjaga-jaga kerana terdapat haiwan berbahaya termasuk ular sawa dan buaya.

Dalam pada itu, Hasan berkata operasi mengeluarkan bangkai pesawat tersebut mengambil masa kerana persediannya yang lengkap perlu dilakukan kerana lokasi nahas berada dalam kawasan yang berbahaya.

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan lebih 50 anggota pihak berkuasa termasuk anggota bomba, APM, Jabatan Perhilitan, Jabatan Penerbangan Awam.

Dalam kejadian 14 Okt lepas pesawat tersebut terhempas pada jarak kira-kira 200 meter dari landasan Aerodrome Sungai Rambai, Jasin di sini kira-kira jam 10.30 pagi.

Nahas itu mengorbankan juruterbang Yee Yoon Fah, 54, yang maut di tempat kejadian manakala rakannya Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang merupakan anggota Pasukan Gerakan Am, cedera di muka serta badan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2gMzKbe
via IFTTT

Laporan PBB dapati Syria bertanggungjawab lancar serangan gas sarin

PERTUBUHAN BANGSA BERSATU, 27 Oktober – Tentera pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad bertanggungjawab melancarkan serangan gas sarin di Khan Sheikhoun, Syria pada awal tahun ini, kata Duta Besar Amerika Syarikat (AS) Nikki Haley, lapor agensi berita China Xinhua.

“Ia berdasarkan laporan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) dan Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) yang dikeluarkan hari ini.

“Siasatan mendapati rejim Assad menggunakan senjata kimia terhadap lebih 100 orang awam dalam serangan di Khan Sheikhoun, Syria pada 4 April 2017,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Khamis.

Haley berkata, siasatan “JIM juga mendapati militan daesh bertanggungjawab menggunakan senjata kimia sulfur mustard dalam serangan pada 16 September 2016 di Um-Housh, Syria.”

“Sekali lagi kita melihat siasatan bebas mendapati senjata kimia digunakan rejim Assad, namun masih terdapat beberapa negara cuba melindungi rejim itu,” tambahnya.

Kenyataannya itu, dipercayai ditujukan kepada Rusia, yang menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan untuk memperbaharui mandat JIM untuk tempoh setahun lagi.

Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, Moscow menentang deraf resolusi itu, kerana dikatakan mahu menunggu laporan JIM dikeluarkan terlebih dahulu.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2i8vWRV
via IFTTT