Penerapan Maqasid Syariah Bantu Perkukuh Institusi Keluarga

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Penerapan Maqasid Syariah dalam institusi keluarga Islam perlu diperkukuhkan lagi apabila institusi itu dilihat semakin rapuh dan menjadi antara punca berlakunya masalah sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (syarak) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata pada masa kini masih ramai umat Islam yang tidak memahami konsep Maqasid Syariah.

Beliau berkata dengan mengamalkan konsep itu, ia menjadi teras kepada keseimbangan kehidupan umat Islam yang merangkumi lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta bagi menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan.

“Maqasid Syariah sebenarnya boleh dicapai jika setiap individu memiliki keluarga yang beragama, bahagia dan sejahtera. Tetapi malangnya institusi keluarga Islam di negara ini kelihatan semakin rapuh.

“Banyak isu keruntuhan akhlak berpunca daripada perpecahan keluarga yang membawa kepada perlakuan jenayah yang akhirnya boleh menggugat keselamatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ‘Muzakarah Pakar : Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Berlandaskan Maqasid Al Syariah’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.



from IKIMfm http://ift.tt/2ylBP7F
via IFTTT