Latihan hakim dipertingkat, minimum khilaf

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Pengurusan dan latihan hakim akan diperkasa bagi meningkatkan kualiti perbicaraan pada semua peringkat dan mengurangkan kekhilafan.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, berkata penambahbaikan berterusan itu akan meningkatkan keyakinan orang ramai kepada institusi kehakiman.

Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan perubahan teknologi masa kini.

Katanya, latihan berkualiti tinggi itu bermatlamat melahirkan hakim yang pakar dalam bidang tertentu bagi memenuhi kehendak semasa.

“Kita melatih hakim untuk mengurangkan kekhilafan. Apabila kekhilafan dapat diminimumkan, keyakinan masyarakat akan meningkat.

“Latihan diadakan di Akademi Kehakiman pada hujung minggu mengikut topik tertentu. Ia bertujuan mengelak berlaku kes ditangguhkan berikutan hakim menjalani kursus latihan.

“Perbincangan yang lebih mendalam mengikut topik yang ditentukan dan kes sebenar akan digunakan sebagai contoh untuk penghujahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis bicara makan tengah hari bertajuk ‘Perubahan Kehakiman Dari Sudut Kehakiman Malaysia’ anjuran bersama Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya.

Hadir sama, Pengarang Bersekutu Berita BH, Azhar Abu Samah dan M Thillinadan; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Yushaimi Maulud Yahaya; Penulis Khas Kanan, Berita dan Ehwal Semasa Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Eksekutif Berita TV9, Wan Sabariah Shikh Ali.

Sementara itu, Raus menegaskan keputusan dibuat hakim dalam sesuatu kes terutama berprofil tinggi atau membabitkan tokoh politik bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk kerajaan atau badan politik.

“Dakwaan yang mengatakan hakim dipengaruhi pihak luar dalam penghakimannya tidak benar dan hanya persepsi masyarakat yang perlu ditangani. Persepsi tidak semestinya betul,” katanya.

Beliau berkata, reformasi dalam sistem kehakiman yang dimulakan sejak 2008 menyumbang ke arah mengurangkan jumlah kes tertunggak di mahkamah rendah dan tinggi seluruh negara.



from IKIMfm http://ift.tt/2yhRB1P
via IFTTT