Imam An-Nawawi

SESEORANG yang baik adalah yang dapat memberi manfaat kepada orang lain yang mana hidupnya dapat diteladani dan akhirnya jadikan kita orang yang mempunyai pedoman dalm hidup. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu jam 5.15 petang  Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi kisah hidup Imam An-Nawawi.

Beliau ialah Imam Mahyaddin Abu Zakaria Yahya bin Sharafuddin An-Nawawi atau lebih dikenali dengan Imam Nawawi. Beliau lahir di Nawa merupakan satu perkampungan kecil di kawasan Hawran, Syria. Nama beliau dinisbahkan dengan Dimasyk kerana beliau berpindah pada usia 19 tahun ke Damsyik. Beliau lahir pada bulan Muharam tahun enam ratus tiga puluh satu Hijrah.

Seorang penulis kitab telah berkata “setiap kali aku menyebut dan ingat akan Imam Nawawi, akan ingatkan aku taufik daripada Allah SWT dan bagaimana Allah SWT telah takdirkan sebahagian orang pilihannya untuk menunjukkan bagaimana penerimaan Allah kepada mereka dan ikhlasnya mereka serta manfaat mereka di atas muka bumi ini kepada seluruh manusia.” Keberkatan hidup Imam Nawawi dibuktikan dengan ramainya umat manusia yang menerima manfaat dengan penulisan kitab beliau. Sekalipun telah ramai ulama dan para ahli hadith telah menulis mengenai hadith empat puluh, namun kitab yng paling masyhur mengenai empat puluh hadith adalah kitab nukilan Imam An-Nawawi. Baginda Nabi SAW pernah bersabda “Allah SWT memuliakn orang yang menulis empat puluh hadith.” Ketika Imam Nawawi mengumpulkan empat puluh hadith yang sebenarnya empat puluh dua hadith, lalu karangannya menerusi kitab “Arba’in An-Nawawiah” merupakan kitab yang paking masyhur dan meluas digunakan serta paling tersebar manfaatnya di muka bumi. Ini membuktikan keikhlasan beliau yang luar biasa. Selain kitab empat puluh hadith, kitab beliau yang lain seperti Riyadus Salihin juga dikenali dan digunakan seluruh dunia. Ini menjadi bukti bahawa karya-karya beliau diterima Allah SWT kerana dapat memberi manfaat kepada umat manusia.

Selain itu, sekiranya kita menyebut mengenai Mazhab as-Syafie, terdapat dua orang syeikh atau alim di kalangan Mazhab Syafie, iaitu Imam An-Nawawi dan Imam Rafi’ie. Ternyata Imam An-Nawawi mendapat tempat di kalangan masyarakat dan sekiranya beliau berfatwa, fatwa beliau akan diambil dan dipegang oleh ulama-ulama dalam Mazhab Syafie.

Menurut anak murid beliau, al-Imam Alauddin ibn ‘Attar “orang yang hanya satu pada masanya dan tunggal did alam zamannya. Seorang yang banyak berpuasa, orang yang berqiamullail, orang yang zuhud di dunia dan inginkan akhirat. Beliau mempunyai akhlak yang terpuji dan alim yang rabbani. Ilmunya, amanahnya, keagungannya, zuhudnya, waraknya dan ibadahnya sesuai dengan perilakunya.” Ketokohannya jelas kelihatan. Beliau selalu melihat keinsafan diri serta prihatin tentang hal muslim yang lain. Beliau juga sentiasa menjaga hak-hak orang muslim dan hak-hak pemimpin.

Ketika beliau berusia sepuluh tahun terdapat satu peristiwa yang menunjukkan kehebatan dan ketokohan beliau. Terdapat seorang alim yang pandai dalam ilmu al-Quran, berusia lapan puluh tahun dan telah dua puluh kali mengerjakan ibadah haji, Sheikh Yaasin ibn Yusuf al-Marakashi. Ketika beliu pergi ke Nawa, beliau lalu dan lihat budak sedang bermain termasuk Imam An-Nawawi. Namun saat itu, Imam Nawawi tidak mahu bermain dengan kanak-kanak lain sambil beliau menangis. Syeikh Yaasin pelik melihat perkara itu lalu bertanya kepada Imam Nawawi. Imam Nawawi katakan beliau menangis kerana takut kepad Allah SWT. Sheikh Yaasin yang pelik dengan perkara itu pergi berjumpa dengan guru al-Quran Imam An-Nawawi dan berpesan kepadanya. Beliau berkata “saya berharap kamu menjaga elok-elok budak ini, mudah-mudahan satu hari nanti beliau menjadi orng yang paling terkenal di zamannya, paling zuhud dan paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.” Berkat peristiwa itu, ayahnya dan gurunya benar-benar memberi perhatian kepada Imam An-Nawawi.

Imam Nawawi bercerita mengenai kisah awalnya menuntut ilmu. Katanya “aku membaca setiap hari dua belas pelajaran daripada guru-guru yang berbeza dengan membaca sambil memahami dan seterusnya membuat syarah sekiranya perlu.” Selain itu, beliau mempelajari ilmu dan adab daripada lebih dua puluh ulama terkemuka. Imam Nawawi mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dn tidak mudah mengeluh sekiranya ujian menimpa beliau.

Beliau ketika hayatnya, sangat memberi tumpuan kepada pencarian ilmu sehingga kurang makan dan minum. Ulama mengatakan “tidak mungkin akan dapatnya ilmu itu dengan berehatnya badan.” Anak murid beliau, para ulama dan orang awam menceritakan mengenai pemakanan Imam Nawawi “Imam An-Nawawi jarang mengumpulkan dua makanan (lauk) dalam satu kali makan. Sekiranya tiada lauk, beliau makan dengan air manis daripada anggur atau tamar, cuka atau minyak. Adapun beliau makan daging setiap bulan hanya sekali. Beliau tidak makan sehari semalam melainkan selepas Isyak dengan hanya makan sedikit. Beliau juga tidak minum melainkan sekali sahaja iaitu ketika sahur kerana menumpukan kepada menuntut ilmu.”

Begitulah kehidupan Imam An-Nawawi, sekalipun dikenali diseluruh pelusuk dunia, namun hidupnya sederhana. Berkat keikhlasannya kepada Allah SWT, penulisan beliau digunakan dan dirujuk sehingga kini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 November 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2yCXzts
via IFTTT

Bisikan Syaitan dalam Rumahtangga

ALLAH SWT menyatakan  bahawa terdapat satu makhluk  yang manusia tidak nampak tetapi ia wujud di dunia ini iaitu Iblis. Iblis dan keturunannya Syaitan diciptakan oleh Allah SWT daripada api. Malah, syaitan tidak perlu bekerja keras untuk menyesatkan manusia yang lemah kepercayaannya terhadap kekuasaan Allah dan kerana itulah Allah SWT mengajak manusia agar sentiasa memohon pertolongan daripada Allah dari gangguan Syaitan. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud “Dan jika syaitan datang menggodamu,maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya ,Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.(Surah Al-A’araf, ayat 200) .

Perkara kepentingan kekeluargaan yang harmoni ini dibicarakan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm setiap Isnin jam 10.15 pagi. Salah satu cita-cita syaitan di atas muka bumi ini adalah  berusaha untuk  menghancurkan rumahtangga  yang  dibina. Sifat merasakan berpada dengan apa yang ada atai disebut “qana’ah” adalah satu sifat yang cukup penting bagi mewujudkan suasana rumahtangga yang tenang dan bahagia. Allah SWT tidak menguji sesebuah perkahwinan melainkan untuk mentarbiah  setiap pasangan agar menjadi manusia yang lebih baik dan mulia. Apakan daya, memang menjadi tabiat manusia, jika diberi sedikit sentiasa tidak pernah cukup dan puas, tidak mahu bersyukur dan sentiasa meminta tambahan yang banyak. Dan apabila diberi banyak pula, tidak pernah tahu berterima kasih dan bersyukur. Sebagai seorang mukmin, sifat  bertimbang rasa sememangnya dituntut untuk ditunaikan. Kebiasaannya mereka yang tidak memiliki sifat terpuji ini, tiada rasa rahmat dan  penyayang  dalam dirinya.  Oleh kerana bisikan syaitan, mereka hanya mementingkan diri sendiri. Sebuah rumahtangga yang harmoni adalah seseorang sama ada suami mahupun isteri yang sanggup  berkorban walau apa jua badai yang melanda.  Misalnya, suami  perlu bertimbang rasa kerana keletihan isteri bekerja dan menguruskan rumahtangga, tidak  mengharapkan layanan kelas pertama tanpa memberi bantuan untuk melaksanakan secara bersama kerja-kerja rumah

Dalam misi menghancurkan mahligai yang  dibina, syaitan turut  membisikkan hati pasangan suami isteri  agar rasa sentiasa betul. Islam mengajar kita berlapang dada memberi maaf kepada orang yang telah berbuat salah.  Dalam rumah tangga kadangkala wujud  perselisihan, perbezaan  pendapat, atau hal-hal yang tidak disukai dilakukan oleh seseorang kepada pasangannya. Yang paling berbahaya apabila  jika salah seorang  di antara mereka tidak meminta maaf terlebih dahulu. Situasi seperti ini sangat berbahaya kerana syaitan  akan menghembuskan benih-benih perselisihan. Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.Oleh yang demikian, demi menjaga kerukunan rumahtangga, setiap pasangan dinasihatkan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan agar mengunkit-ungkit dan membuka keaiban sesama mereka.

Suami isteri mempunyai tanggungjawab yang jelas dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ikatan tanggungjawab ini diperkukuh dengan kasih sayang kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: ..dan jadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang… (Surah al-Rum,ayat 21) Apa yang menyedihkan, disebabkan  mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan, apabila salah seorang pasangan yang saling cinta mencintai semasa berkahwin itu melakukan kezaliman  terhadap pasangannya yang satu lagi. Sedangkan, dalam Islam, suami yang mendera isterinya secara sengaja atau tidak tetap melakukan suatu dosa kerana tugas utama suami ialah melindungi isterinya dan bukan menyakiti. Syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya.  Oleh itu sebagai pendinding, kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong. Begitu juga hadis dari Nabi Muhammad SAW yang menyebut secara khusus tentang anjuran dan kelebihan memberi salam sebelum memasuki rumah. Ini juga salah satu cara untuk mengelakkan daripada iblis dan jin turut sama masuk bersama kita dan menggangu gugat keharmonian rumahtangga melalui bisikan-bisikan yang menghasut.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 November 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2AKoTas
via IFTTT

Bumi makin tenat – Saintis

MIAMI – Dua puluh lima tahun selepas saintis seluruh dunia mengeluarkan amaran mengenai bahaya kepada alam sekitar, kemas kini terbaru disiarkan hari ini berkata kebanyakan masalah di planet ini semakin bertambah buruk.

Lebih 15,000 saintis dari 184 negara menandatangani surat ‘Amaran Saintis Dunia kepada Kemanusiaan: Notis Kedua’, yang disiarkan dalam jurnal BioScience.

Versi awal, yang disiarkan pada 1992 oleh Kesatuan Saintis Prihatin, ditandatangani oleh 1,700 pakar.

Sejak itu, hampir semua ancaman besar kepada alam sekitar menjadi semakin buruk, terutama pertambahan penduduk dunia, yang menokok dua bilion lagi sejak 1992, melonjak 35 peratus.

Ancaman utama lain adalah pemanasan global dan pembebasan karbon disebabkan penggunaan bahan api fosil selain amalan pertanian tidak stabil, penebangan hutan, kekurangan air bersih, kehilangan kehidupan marin dan zon mati lautan yang semakin luas.

“Kemanusiaan kini diberi notis kedua, seperti digambarkan corak membimbangkan ini.

“Kita membahayakan masa depan dengan penggunaan material tidak sekata dari segi geografi dan demografi dan dengan tidak menganggap pertambahan berterusan penduduk dunia sebagai faktor penolak utama ancaman ekologi dan sosial,” menurut surat itu.

Sumber AFP



from IKIMfm http://ift.tt/2z25954
via IFTTT

MALBATT 850-5 tidak terancam

PORT DICKSON, 15 November – Kementerian Pertahanan tiada cadangan membawa pulang Batalion Malaysia 850-5 (MALBATT 850-5) yang kini berada di Lubnan, berikutan krisis politik yang melanda negara itu sejak seminggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keadaan tidak membimbangkan walaupun Lubnan kini berdepan krisis selepas Perdana Menterinya, Saad Al-Hariri, mengumumkan peletakan jawatan minggu lalu ketika berada di Arab Saudi.

Katanya, sehari selepas peletakan jawatan itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, menghubungi Komander MALBATT 850-5 bagi mengetahui perkembangan semasa di negara itu.

“Setakat ini tiada perkara yang membimbangkan atau insiden yang meragukan tetapi kita akan terus memantau setiap hari,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Tentera Darat dan Pelancaran Pakej Istimewa Panggilan dan Data (Pakej Tigatiga) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Pakej Tigatiga adalah kerjasama antara ATM dengan syarikat Celcom Axiata Berhad yang menawarkan pelan khas kepada warga ATM, veteran dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

Saad membuat pengumuman mengejut meletak jawatan ketika lawatan ke Arab Saudi kerana mendakwa nyawanya terancam, tindakan yang dibimbangi mencetuskan lebih ketidakstabilan dalam pada ketegangan yang sedia dialami di rantau itu.

Mengenai dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa Kerajaan Pusat seolah-olah tidak membantu mangsa banjir di negeri itu kerana tidak mengumumkan sebarang bentuk bantuan secara langsung, Hishammuddin berkata kenyataan itu tidak benar.

Katanya, sehari selepas negeri itu banjir, beliau dan Tan Sri Raja Mohamed Affandi sendiri yang turun ke negeri itu bagi melihat keadaan di sana.

“Jika Kerajaan Pusat tidak bantu, kenapa dia (Guan Eng) telefon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada jam 3 pagi. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid sendiri turun ke Pulau Pinang.

“Dalam hal ini ATM sudah menjalankan tugas mereka dengan baik membantu mangsa banjir, walaupun tiada arahan berbuat demikian daripada kementerian. Itu tiada siapa boleh nafikan. Tetapi dakwaan kata tidak bantu, itu tidak patut,” katanya.



from IKIMfm http://ift.tt/2mvPEN5
via IFTTT

Pastikan rakyat nikmati manfaat Bajet 2018 – PM

KUALA LUMPUR, 14 November 2017 – Datuk Seri Najib Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia untuk memastikan semua perancangan membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri berkata, ia perlu disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, RUU Perbekalan 2018 atau Bajet 2018  diluluskan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

“Saya mahu setiap kementerian bersiap sedia pastikan apa yang direncanakan mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, awal pagi tadi.

Semalam, RUU Perbekalan 2018 bacaan kali pertama diluluskan selepas melalui undian belah bahagian di Dewan Rakyat.

Penggulungan peringkat dasar bagi pihak kementerian dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang tenang menjawab soalan bertubi-tubi pemimpin pembangkang selama lebih tiga jam, bermula jam 3 petang semalam.

Seramai 107 Ahli Parlimen menyokong, 59 lagi tidak menyokong, sementara 11 lagi tidak mengundi.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri pada 27 Oktober lalu, dibahaskan selama enam hari bermula sejak 30 Oktober.

Ia kemudiannya digulung di peringkat kementerian selama tiga hari bermula 8 November, sebelum diluluskan di peringkat dasar.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang bertujuan memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula hari ini.



from IKIMfm http://ift.tt/2z256WW
via IFTTT

Mengukuh Keimanan di Jiwa Anak-anak

ALLAH menjadikan dunia ini sebagai medan ujian di sepanjang kehidupan manusia bermula usia mereka mencapai akil baligh.  Islam menuntut manusia untuk mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap jiwa anak-anak dan tidak membiarkan mereka hidup dengan jiwa yang songsang serta menyimpang daripada agama. Sandarkan segala tindakan dan urusan di dunia kepada al-Quran dan hadis terutamanya untuk mengukuhkan keimanan anak-anak, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Mulakanlah pengenalan kalimah la ilaha illallah muhammadur rasulullah kepada anak-anak kamu”. Rahsianya ialah supaya kalimah tauhid itu dan syiar Islam merupakan perkara yang pertama sekali didengari oleh anak-anak yang baru dilahirkan kedunia.

Ketika anak-anak itu sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan haram, bersesuaian dengan apa yang telah disampaikan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir daripada hadis Ibnu Abbas RA, Rasulullah pernah bersabda, “Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, laranginya daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik. Apabila kamu telah melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka.”

Selain itu, sejak dari kecil dan apabila umurnya mencecah tujuh tahun ajarkan kepadanya untuk beribadah kepada Allah. Di antaranya ialah mengajarnya untuk solat dan mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza di antara satu sama lain. Pukullah mereka dengan tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10 tahun, asingkan tempat tidur mereka dan biasakan diri mereka untuk berpuasa atau mengerjakan haji sekiranya berkemampuan. Mendidik anak-anak untuk mendekati dan mengenali agama merupakan hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu-bapanya dan dapat melindungi dirinya agar sentiasa berada di dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Malah untuk mengukuhkan keimanan anak-anak yang sedang membesar, didiklah mereka agar mencintai Rasulullah dan keluarga Baginda, serta mengamalkan membaca al-Quran seawal usia mereka tiga tahun. Sebagaimana riwayat At-Tabbarani daripada Ali bin Abi Talib, Rasullullah SAW bersabda, “Didiklah anak-anak kamu pada tiga bahagian utama. Yang pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Yang kedua didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan yang ketiga, didiklah anak kamu dengan al-Quran.” Para ibu digalakkan mendidik anak-anak membaca al-Quran kerana suaranya yang lunak, dan dapat meluangkan lebih masa bersama mereka. Malah anak-anak lebih mudah menerima didikan daripada si ibu yang mentarbiyah dengan penuh keikhlasan dan sesungguhnya sesiapa yang hidup dengan al-Quran dia akan berada dibawah naungan Arasy Allah bersama para nabi dan mereka yang dinaungi oleh Allah SWT sahaja.

Namun begitu terdapat beberapa kesilapan di dalam didikan kedua ibu-bapa, iaitu apabila anak-anak dibiarkan dan diserahkan untuk menerima pendidikan di sekolah-sekolah missionary kerana mereka akan didedahkan dengan asas pendidikan yang menyesatkan. Para ulama berpandangan anak-anak ini akan cenderung untuk diasak dengan bibit-bibit kekufuran atau lama-kelamaan akan menjadi atheis. Akhirnya akan tertanam di dalam dirinya perasaan untuk membenci agama dan umat Islam sendiri hasil daripada kesilapan di dalam pendidikan awal mereka. Situasi ini sangat berleluasa pada ketika ini kerana ramai di kalangan umat Islam yang mempertikai tentang agama kerana terpengaruh dengan ajaran guru-guru yang membuatkan mereka ragu-ragu dengan Islam.

Membiarkan anak-anak terdedah kepada bahan bacaan yang berbaur kesesatan merupakan di antara kesilapan yang dilakukan oleh ibu-bapa kerana tanpa sebarang kawalan ia akan merosakkan pemikiran mereka. Melalui penulisan-penulisan ini para pendakwah agama lain akan mempergunakan anak-anak ini untuk membesar dengan pegangan akidah yang lemah malah memandang rendah kepada sejarah perkembangan agama Islam dan akhirnya menjadi musuh yang menentang prinsip-prinsip beragama dan berpaling kepada ajaran Islam yang hakiki. Ia termasuklah bahan-bahan yang ditulis oleh golongan yang liberal dan sekular serta mereka yang terpengaruh kepada fahaman sedemikian yang akhirnya merosakkan pemikiran anak-anak orang mukmin yang jauh daripada didikan guru-guru yang alim dan salih.

Kebebasan bergaul tanpa batasan juga akan merosakkan anak-anak kerana kesilapan yang dilakukan oleh ibu-bapa mereka. Kerosakan akhlak di kalangan anak-anak berlaku tanpa mengira peringkat usia, malah pada usia yang masih muda sudah terjebak untuk melakukan pelbagai jenayah berpunca daripada ibu-bapa yang gagal mengawal perlakuan mereka. Pada malam hari iaitu pada waktu sepatutnya anak-anak berada di rumah, tetapi sebaliknya mereka masih berkeliaran, melepak dan melakukan kegiatan maksiat. Keadaan ini akan menyebabkan perkembangan anak-anak menjadi semakin buruk pada masa akan datang dan kemusnahan keimanan yang sangat besar.

Oleh itu untuk mengukuhkan keimanan di dalam diri anak-anak, tanamkan mereka dengan rasa khusyuk, taqwa dan sifat kehambaan kepada Allah sejak mereka masih kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka mendirikan solat iaitu mendidik mereka untuk memberi sepenuh perhatian kepada ibadah. Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan mereka bahawa orang mukmin yang berjaya bukanlah mereka yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi sebaliknya ialah mereka yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 November 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2mvPDbZ
via IFTTT

Trump: Hukum mati dalang rempuhan trak pikap di New York

NEW YORK, 6 November ― Di tengah-tengah keberangan dan kemarahan yang dirasai di seluruh negara susulan serangan pengganas di New York pada Selasa oleh seorang rakyat Uzbekistan menggunakan sebuah trak pikap sehingga menyebabkan lapan orang maut manakala 12 lagi cedera, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu tweet pada Khamis menggesa agar suspek dijatuhi hukuman mati.

Terdahulu, Trump telah mencadangkan agar suspek dihantar ke pusat tahanan AS di Teluk Guantanamo, Cuba di mana individu yang disyaki melakukan tindakan keganasan ditahan.

Dalam akaun tweet beliau pada Khamis, Trump berkata beliau “teringin sangat untuk menghantar pengganas NYC ke Guantanamo namun secara statistik, proses itu akan mengambil masa yang lebih lama” berbanding mengendali perbicaraannya melalui sistem mahkamah AS.

Trump menggesa tindakan lebih pantas diambil terhadap suspek berusia 29 tahun, Sayfullo Saipov, dalam perbicaraan di New York, dan menyatakan bahawa “(perbicaraan) itu hendaklah dijalankan dengan cepat. HUKUMAN MATI!”

Saipov telah didakwa memandu sebuah trak pikap sewa dan merempuh sekumpulan penunggang basikal dan pejalan kaki di laluan sikal yang sibuk pada Selasa.

Kemudian, selepas melanggar sebuah bas sekolah, Saipov melompat keluar dari trak yang rosak itu sambil memegang senapang paintball dan senapang angin sebelum dia ditembak di bahagian perut oleh seorang anggota polis New York.

Sumber polis menyatakan bahawa Saipov telah melaungkan “Allahu Akbar” selepas serangan.

Saipov, yang bercakap dengan para penyiasat selepas dirawat di sebuah hospital, telah meminta mereka mengibarkan bendera Daesh di bilik hospital di mana dia ditempatkan dan dipetik sebagai berkata dia berasa “hebat dengan apa yang telah dilakukannya.”

Trump telah memberikan reaksi marah terhadap kata-kata suspek dan menulis tweet pada malam Rabu: “Pengganas NYC gembira ketika dia meminta agar bendera Daesh digantung di dalam biliknya di hospital. Dia telah membunuh 8 orang dan menyebabkan 12 lagi cedera parah. HARUS MENDAPAT HUKUMAN MATI!”

Ketika butiran lanjut serangan itu mula timbul, para penyiasat berhasil memperoleh maklumat terperinci daripada Saipov yang memberitahu mereka semasa disoal siasat di hospital bahawa dia sebenarnya merancang serangan itu sejak beberapa minggu sebelum itu dan bahawa dia mendapat inspirasi untuk berbuat demikian selepas menonton video Daesh di telefon bimbitnya.

Aduan jenayah yang difailkan polis menyebut bahawa satu daripada dua telefon bimbit suspek, yang ditemui dalam trak terbabit, telah memuat naik kira-kira 90 video dan 3,800 imej, mengandungi propaganda kebencian Deash dan perlakuan ganas yang mengerikan.

Telefon bimbit kedua telah membantu penyiasat mengesan pergerakan Saipov, termasuk kad sewa di New Jersey dan New York pada dua tarikh berbeza sehinggalah ketika dia melancarkan serangan maut itu pada Selasa.

Penduduk New York, meskipun tabah, tetap merasai kepedihan susulan serangan itu.

Kehadiran sejumlah besar polis beruniform dan anggota yang sarat bersenjata sambil memegang mesingan, kelihatan di kebanyakan tempat, terutama di kawasan yang dibanjiri pelancong seperti Times Square, Fifth Avenue, stesen kereta api, pusat membeli-belah dan sebagainya.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio telah mengutuk serangan pengganas itu dan menyifatkannya sebagai satu “serangan terhadap nilai-nilai murni kita,” sambil menggesa penduduk New York agar  “kuat, bangga, tabah dan membuktikan kepada seluruh dunia ketika ini bahawa kita tidak akan terjejas oleh keganasan.”

Menerusi ulasan di pelbagai saluran televisyen, pakar-pakar merumuskan bahawa serangan trak itu mempunyai persamaan dengan serangan menggunakan kenderaan sebelum ini di beberapa negara Eropah.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2j1FHW2
via IFTTT