Sekolah Agama Petang Perlis Mula Dilaksana 2018

KANGAR, 2 November – Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) akan mula dilaksanakan tahun hadapan bagi mendidik dan membentuk murid-murid Islam ke arah perkembangan fitrah insan selaras serta bertepatan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah SAPPs akan dilaksanakan pada setiap petang Jumaat selama tiga jam di sekolah atau premis KAFA di seluruh negeri itu.

“Murid tahun satu, sesi 2018 akan menjadi perintis program SAPPs ini. Antara skop yang akan diajar dalam SAPPs merangkumi bidang Akidah, Ibadah dan Akhlak,” titah baginda pada Majlis Apresiasi KAFA dan Tadika Islam Peringkat Perlis di sini, hari ini.

Baginda bertitah murid-murid akan didedahkan dengan ilmu Islam daripada sumber yang muktabar iaitu al-Quran dan sunah.

“Anak-anak di Perlis hendaklah mewarisi kefahaman yang jelas tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipegang dan diamalkan di negeri ini.

“Mereka merupakan pewaris kita, usaha pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan hal ini hendaklah dipertingkatkan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah kurikulum yang akan diajar dalam SAPPs dipilih dan dinilai terlebih dahulu berdasarkan pandangan fikh terbaik berpandukan kekuatan dalil yang sahih.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata kerajaan pusat sentiasa prihatin dan memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk pembangunan pengajian agama Islam di negara ini.

Beliau berkata peruntukan untuk guru KAFA misalnya, sentiasa meningkat setiap tahun bagi memastikan usaha melahirkan generasi celik ilmu agama berjaya.

Katanya ketulenan Islam tidak menafikan hak agama-agama lain sebaliknya menjadi teras kepada kekuatan bangsa pelbagai kaum di negara ini.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2zqdEGR
via IFTTT