RUU di peringkat akhir penggubalan

JOHOR BAHRU, 4 Oktober – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam peringkat akhir menyiapkan kandungan Rang Undang-undang Sumber Air Negara (RUU) sebelum dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama, akhir bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Hamim Samuri, berkata RUU penting bagi membolehkan kerajaan negeri menguatkuasakan garis panduan berkaitan pengurusan sumber air.

Katanya, pada ketika ini terdapat perbezaan enakmen berkaitan pengurusan sumber air antara negeri di seluruh negara dan RUU itu digubal bagi menyelaraskan undang-undang berkaitan.

“Kementerian dalam peringkat akhir memperkemaskan RUU ini dan kita harap ada ruang dibentang di Parlimen, akhir bulan ini kerana difahamkan sesi kali ini untuk membahas dan meluluskan bajet.

“Kandungan RUU merangkumi aspek pengurusan sumber air yang lebih meluas termasuk pengurusan pesisir pantai, air tanah dan aspek perubahan iklim seperti pengurusan sumber air ketika kemarau dan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Water Leaders Forum yang berlangsung selama dua hari, di sini hari ini.

Hamim berkata, selepas diluluskan kerajaan negeri boleh menambah baik RUU mengikut keperluan dan kesesuaian negeri masing-masing serta diluluskan sebagai enakmen negeri untuk dikuatkuasakan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan semua negeri dan ada yang sudah memberi maklum balas. Kesemuanya diterima dan dipertimbangkan bagi menyiapkan kandungan RUU ini.

“Kementerian berharap RUU akan dibentangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri selepas diluluskan di Parlimen untuk dilaksanakan sebagai enakmen di negeri masing-masing,” katanya.

Selain itu, pihaknya dalam perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan sistem pembelajaran alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Cabaran kita adalah untuk memastikan semua peringkat menjaga dan memulihara alam sekitar. Perbincangan dengan Kementerian Pendidikan sudah diadakan bagi mewujudkan sistem pendidikan alam sekitar.

“Cadangan ini bagi meningkatkan pendedahan orang ramai berkaitan alam sekitar sejak usia termasuk Tabika hingga ke universiti,” katanya.



from IKIMfm http://ift.tt/2hLyPM6
via IFTTT