TEMERLOH, 1 Oktober – Sebanyak 702 institusi pengajian agama termasuk pusat tahfiz dan sekolah pondok sudah diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di seluruh negara dalam tempoh seminggu lalu.
Timbalan Ketua Pengarahnya (Pembangunan), Datuk Amer Yusof, berkata pihaknya menjangka dapat menyelesaikan gerakan pemeriksaan selebihnya dalam tempoh tiga minggu lagi.
“Kita sudah arahkan semua JBPM negeri melakukan pemeriksaan ke atas institusi pengajian Islam yang giat dilakukan.
“Kita akan memberi laporan lengkap hasil siasatan selepas pemeriksaan ke atas semua premis berkenaan selesai nanti untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci projek pembinaan semula rumah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kampung Paya Luas di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.
Katanya, pada masa ini pihaknya mengenal pasti 2,428 institusi pengajian Islam di seluruh negara, membabitkan 290 sekolah pondok, 929 pusat tahfiz, 394 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 815 SAR di bawah kerajaan negeri.
“Pemeriksaan akan dilakukan ke semua pusat pengajian Islam berdaftar berkenaan dan juga mana-mana sekolah agama lain yang tidak berdaftar di seluruh negeri.
“Kita memerlukan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat setempat dalam mendapatkan maklumat mengenai sekolah tahfiz tidak berdaftar untuk pemeriksaan,” katanya.
Katanya, pemeriksaan berkenaan amat penting dalam memastikan pusat sedemikian selamat, sekali gus mengelakkan tragedi tidak diingini.
“Pemeriksaan memberi tumpuan kepada kewujudan laluan kecemasan, alat pemadam api dan juga laluan keluar sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
from IKIMfm http://ift.tt/2kcKunG
via IFTTT