Perumahan, kos sara hidup tumpuan bajet

BELANJAWAN 2018 yang bakal dibentangkan pada 27 Oktober di Parlimen adalah sesuatu yang dinantikan segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat perubahan yang positif dari segi maklum balas masyarakat terhadap pembentangan belanjawan itu sendiri.

Justeru, pihak kerajaan dalam membuat persediaan dan penyediaan belanjawan tahunan ini mengambil inisiatif yang proaktif dengan mengambil kira keperluan dan kehendak pelbagai golongan masyarakat. Dalam proses penyediaan Belanjawan 2018, pelbagai saluran disediakan kerajaan untuk mendapat maklum balas isu semasa serta tumpuan yang harus diberikan penekanan oleh kerajaan dalam merangka Belanjawan 2018.

Belanjawan 2018 yang bakal dibentangkan ini disifatkan belanjawan untuk rakyat. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diutamakan sejajar dengan komitmen rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Dalam pada itu cabaran ekonomi semasa baik dalam dan luar negara juga turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dan isu semasa yang akan didepani dalam belanjawan 2018. Belanjawan 2018 ini dijangka meneruskan kesinambungan usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Disamping itu juga, komitmen kerajaan dalam memastikan unjuran untuk mencapai kadar defisit sifar menjelang 2020 dijangka akan turut memainkan peranan dalam penyediaan belanjawan untuk 2018.

Disiplin dan perbelanjaan berhemat kreatif untuk memaksimumkan impak dari segi ekonomi dan sosial juga antara elemen teras yang bakal diterapkan dalam Belanjawan 2018. Berdasarkan maklum balas diterima kerajaan, intipati Belanjawan 2018 ini bakal mengetengahkan 14 kategori meliputi pelbagai aspek antaranya ekonomi, sosial, pembangunan modal insan dan teknologi.

Dalam pada itu, pendekatan serta inisiatif dalam menyelesaikan dan mengurangkan bebanan rakyat seperti isu peningkatan kos sara hidup dan perumahan dijangka akan diberi penekanan kali ini. Selain itu, antara perkara menarik yang banyak dapat perhatian ialah isu membabitkan ekonomi digital dan keusahawanan.

Dengan perkembangan semasa yang mengarahkan kepada ekonomi digital, adalah menarik untuk melihat inisiatif baharu kerajaan melonjakkan ekonomi digital dalam belanjawan ini. Seperti saban tahun antara perkara yang hangat dibincangkan ialah isu berkaitan peningkatan kos sara hidup. Inisiatif kepada golongan mudah terjejas seperti bantuan keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dijangka terus dapat perhatian dalam Belanjawan 2018.

Bantuan kepada golongan mudah terjejas ini adalah pendekatan yang bersifat menyeluruh kerajaan bagi memastikan tiada golongan masyarakat yang ketinggalan dalam arus pembangunan. Jika diteliti pada belanjawan yang lepas, golongan sasar ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan usaha ini dijangka diteruskan pada tahun akan datang.

Aspirasi kerajaan melahirkan modal insan berkualiti

Kemudahan kesihatan dan pendidikan adalah antara dua cabang yang mendapat peruntukan yang banyak saban tahun. Usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penambahbaikan dari segi infrastruktur dan modal insan dijangka terus menjadi agenda utama dalam belanjawan seterusnya.

Dalam pada itu diharapkan kerajaan dapat memberi peruntukan yang banyak kepada sektor pendidikan dalam usaha memartabatkan institusi pendidikan negara ke taraf antarabangsa.

Peruntukan yang baik kepada institusi pendidikan tinggi boleh membantu memartabatkan dan membudayakan bidang penyelidikan ke paras lebih tinggi. Ini sejajar aspirasi kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Dalam pada itu selain daripada hal berkaitan dengan peruntukan semasa kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan, unjuran kedudukan kewangan kerajaan pada 2018 juga adalah amat penting. Kemampuan kerajaan untuk melaksanakan program yang dirancang untuk rakyat adalah bergantung kepada perolehan hasil kerajaan pada tahun hadapan.

Ini adalah penting bagi memastikan tahap penjanaan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan berada pada tahap seperti dirancangkan. Ini juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mencapai imbangan belanjawan menjelang 2020.

Posisi kewangan baik

Sehubungan itu, dengan keadaan unjuran pertumbuhan ekonomi semasa domestik dan global yang menggalakkan pada tahun ini dan akan datang, kerajaan dijangkakan akan berada pada posisi kewangan yang baik dalam melaksanakan inisiatif dalam belanjawan 2018.

Sumber hasil kerajaan juga dijangka meningkat selari dengan unjuran pertumbuhan menggalakkan pada tahun hadapan. Di samping itu juga harga komoditi dijangka berada pada paras yang baik dan stabil dan ini memberi lonjakan yang baik kepada prestasi kewangan kerajaan.

Cukai barangan dan perkhidmatan dijangka kekal seperti sedia ada manakala kerajaan mungkin memberi pelepasan tertentu kepada cukai pendapatan. Langkah ini dilihat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi domestik. Secara amnya, Belanjawan 2018 seperti belanjawan-pada tahun yang lepas dilihat akan terus menumpukan kepada usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi disamping menjana manfaat menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu unjuran prestasi ekonomi yang baik pada tahun hadapan memastikan segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bagaimanapun, cabaran semasa dari segi ekonomi, sosial, perdagangan dan antarabangsa boleh jejaskan usaha dirancang.

Kestabilan politik dalam dan luar negara juga memainkan peranan penting dalam memastikan segala perancangan di dalam Belanjawan 2018 ini akan dapat dilaksanakan.



from IKIMfm http://ift.tt/2h1pOLq
via IFTTT