Myanmar, Bangladesh akur kerjasama rintis usaha Rohingya pulang ke Rakhine

YANGON, 25 Oktober – Myanmar dan Bangladesh akhirnya bersetuju untuk bekerjasama bagi membolehkan ratusan ribu pelarian Rohingya kembali ke wilayah Rakhine.

Hubungan kedua-dua buah negara berjiran itu tegang sejak lebih 600,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh berikutan tindakan ketenteran oleh pihak Myanmar akhir Ogos lalu.

Limpahan pelarian itu menyebabkan krisis kemanusiaan dan pada masa yang pelarian takut untuk kembali ke Rakhine.

Dhaka dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Myanmar melaksanakan penghapusan etnik dan mahukan penduduk minoriti Islam itu dibenarkan pulang ke tanah air mereka, berbanding kini mereka tinggal bersesak di kem pelarian di Cox’s Bazar.

Dalam pada itu Washington mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap Myanmar jika meneruskan tindakan kejam terhadap kaum minoriti itu.

Selepas perbincangan di Naypyidaw, Kementerian Dalam Negeri Bangladesh berkata, Myanmar telah bersetuju menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Rohingya dan menerima kembali pelarian terbabit.

Myanmar bagaimanapun akan menapis bukti bahawa pelarian terbabit memang berasal dari Maungdaw dan Buthidaung di Rakhine.

Bagaimanapun tuntutan tersebut memang sukar dipenuhi oleh pelarian yang meninggalkan kediaman mereka sehelai sepinggang kerana takutkan tindakan tentera dan serangan sami Buddha sebelum ini.

Myanmar dalam pada itu tetap menafikan melakukan tindakan penghapusan etnik, sebaliknya mempertahankan tindakan tersebut bagi mengekang tindakan pengganas berikutan serangan militan terhadap tentera pada 25 Ogos lalu.

Sumber AFP



from IKIMfm http://ift.tt/2i5NC0l
via IFTTT