KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Usahawan terkenal Datuk Dr Maznah Hamid menghembus nafas akhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, 6 petang semalam.
Menurut anggota keluarganya, Allahyarhamah meninggal dunia setelah mengalami komplikasi susulan pembedahan jantung pada 28 September lepas.
Allahyarhamah yang juga Exco Wanita UMNO dilaporkan menjalani pembedahan jantung selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat.
Suaminya Datuk Seri Shaheen Mirza Habib dan keluarga berada di sisi ketika Maznah meninggal dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut sempat menziarahi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd yang juga dikenali sebagai ‘Iron Lady’ itu semasa beliau dirawat di IJN.
“Jenazah Allahyarhamah akan dibawa pulang ke rumah kira-kira 10 malam ini” kata Shaheen merujuk kepada kediaman mereka yang beralamat di Villa Maznah, Lot 3688, Jalan Ukay 2, Off Jalan Lee Hin Neo, Ukay Heights, Ampang di sini.
Solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang esok.
Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, (Karak 2), Taman Selasih, di sini selepas itu.
Allahyarhamah dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan sejak 18 Sept lepas.
“Besar harapan kami sekeluarga supaya kita sama-sama menghadiahkan al-Fatihah dan doa kepada ibunda kami dan minta diampunkan dosa-dosa Allahyarhamah,” kata keluarga Maznah dalam kenyataan.
Sumber BERNAMA
from IKIMfm http://ift.tt/2xW9jHW
via IFTTT