Dr Zaleha Catat Sejarah Dilantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan tauliah pelantikan Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin sebagai hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Perlantikan Zaleha mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai wanita pertama yang dilantik memegang jawatan sedemikian di negara ini.

Majlis penyampaian dilakukan di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini hari ini dengan turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Zaleha, dari Pahang merupakan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta berpengalaman luas dalam bidang undang-undang dan memegang Ijazah Doktor Falsafah, Undang-undang Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah) dari Universiti London.

Beliau berkata pelantikan itu tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai rektor UIA kerana perbicaraan kes rayuan membabitkan tuntutan harta dan penceraian hanya bersidang pada Ahad.

“Saya akan gunakan pengalaman lebih 30 tahun terutama dalam bidang perundangan keluarga Islam. Sebagai pembuka pintu atas pelantikan hakim wanita peringkat mahkamah rayuan ini, saya tekad memberikan khidmat terbaik, ” katanya.

Selain itu, Wan Mohd Zakri yang ditemui pemberita malam tadi sempena Majlis meraikan Pentauliahan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu 2017 berkata perlantikan Zaleha dibuat berdasarkan keperluan semasa.

Beliau berkata seramai tujuh hakim baharu dilantik, terdiri daripada pakar bidang syariah, Mahkamah Sivil dan ahli akademik, khususnya undang-undang Islam.

Sumber BERNAMA



from IKIMfm http://ift.tt/2yo2gdC
via IFTTT