Badan Kehakiman Bebas Pengaruh Luar

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Reformasi dalam sistem kehakiman yang dimulakan sejak 2008 menyumbang ke arah mengurangkan jumlah kes tertunggak di mahkamah rendah dan tinggi seluruh Negara.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif berkata dengan itu sebanyak 6,490 kes tertunggak sejak tahun 1990 berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Manakala 950 kes yang masih tertunggak merupakan kes-kes baharu sekitar dua tahun lepas.

Justeru menurutnya, kecekapan menyelesaikan kes-kes mahkamah di negara ini yang memperuntukkan tempoh Sembilan bulan bagi kes komersial dan 12 bulan bagi kes jenayah telah mendapat pujian dari Bank Dunia.

Beliau berkata demikian pada majlis bicara makan tengahari bertajuk Perubahan Kehakiman Dari Sudut Kehakiman Malaysia’ anjuran bersama Institut Kewartawan Malaysia (MPI) dan Pejabat Ketua Pendaftaran Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu beliau berkata institusi kehakiman di Malaysia adalah bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh luar mahupun politik dalam membuat sebarang keputusan tanpa mengira jenis kes.

“Bahkan jika dilihat dari sekeluruhan kes yang dibicarakan, keputusan yang menang lebih banyak berpihak kepada pihak yang bukan kerajaan berbanding keputusan yang berpihak kepada kerajaan” katanya.

Tambahnya “Sebagai CJ (ketua hakim negara), saya beritahu rakan-rakan saya untuk membuat keputusan mengikut undang-undang. Mereka bebas untuk membuat keputusan sendiri. Tidak akan ada gangguan,” katanya.

Tun Raus juga berkata jika pendakwaan atau mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membuat rayuan.

Beliau juga memberitahu bahawa pihak media memainkan peranan yang penting dalam membina persepsi positif terhadap badan kehakiman yang sentiasa telus dan berkredibiliti dalam membuat sesuatu penghakiman.

 



from IKIMfm http://ift.tt/2ylr3ym
via IFTTT