Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas
berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara
mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang
berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di
bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru
telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam
kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat
berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan
berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan
penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas.
Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan
asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar
yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada
bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam
sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala
Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di
Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut,
justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan
sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat.
Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh
sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah
dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan
mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori
mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana
pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang
bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa
yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit,
kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu
membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas
akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang
rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan
pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan
pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan
dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin
meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber
pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan
negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan
Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu.
Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing
tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di
Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa
melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan
terjejas akibat jerebu.
Jika
dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora
dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon
dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya
kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan
menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar.
Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh
proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang
berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan
pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh
dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih
panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh
terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali
gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi
fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang
terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti
ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa
masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya,
semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan
berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi
mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.”
Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri
dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga
mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian
Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi
dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan
berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan
berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.