DI kala Turki
sedang menjadi tumpuan dunia, masyarakat antarabangsa heboh
memperkatakan tentang kemunculan seorang gadis bergaun merah.
Wajahnya tersebar luas di beberapa laman sosial dan media digital
sehingga dilabelkan sebagai ‘Gadis bergaun merah, ikon protes’.
Paparan itu jelas menunjukkan gadis yang berada di sebuah taman bunga
memakai gaun merah, sambil mengepit tas tangan berwarna putih.
Siapakah wanita itu dan apakah kehebatannya sehingga beliau digelar ikon
protes?
Gelaran ikon protes itu diperoleh oleh wanita dikenali sebagai Ceyda
Sungar selepas wajahnya dirakam lensa kamera apabila berdiri teguh
ketika disembur dengan gas pemedih mata oleh anggota keselamatan bagi
menyuraikan perhimpunan di Gezi Park.
‘Kekebalan’
wanita degil itu kemudiannya dipolitikkan kumpulan aktivis wanita bagi
menunjukkan kepada dunia betapa kerajaan Turki kejam menggunakan
kekerasan terhadap wanita dan peserta demonstrasi.
“Saya tidak mahu menjadi popular, apa yang saya perjuangkan adalah hak
wanita yang sekian lama dinikmati. Mengapa kerajaan mahu mengubahnya
sedangkan itu adalah hak kami,” katanya ketika dalam ditemu bual majalah
Dailymail.
Penyebaran gambar itu juga mendorong sekumpulan wanita untuk kekal
bersama golongan lelaki melakukan protes secara lebih agresif sungguhpun
amaran keras telah dikeluarkan oleh Erdogan Khamis lalu. Aksi ‘wanita
berbaju merah’ itu juga dilihat sebagai usaha mencabar Erdogan yang
ingin 'membersihkan' wanita daripada memakai pakaian mencolok mata
berbanding usaha Ataturk yang selama ini membenarkan wanita menggunakan
hak mereka untuk bebas berpakaian, bergaul antara lelaki dan wanita
tanpa batas.
Usaha mengubah
wanita bukan tertakluk kepada pemakaian sahaja, Erdogan juga berusaha
membataskan pergaulan wanita dengan lelaki, mengenakan arahan memakai
tudung di majlis tertentu dan mengharamkan pengguguran di Turki.
Kesemua perubahan itu wajar disokong kerana berlandaskan syariah Islam.
Selepas dua minggu, ribuan penunjuk perasaan terus berkumpul di Dataran
Taksim dengan ratusan daripada mereka mendirikan khemah, berpesta seolah
mahu mencabar anggota keselamatan dan kerajaan Turki.