SANAA, 9 Ogos – Pusat darah Yemen mungkin terpaksa ditutup berikutan kekurangan sumber kewangan selepas sebuah badan kebajikan perubatan antarabangsa menghentikan pembiayaan dan sokongan kepada pusat berkenaan.
Pengarah Pusat Pemindahan Darah Yemen, Dr. Adnan al-Hakimi berkata, masalah kewangan timbul selepas badan kebajikan perubatan Perancis, Medecins Sans Frontieres (MSF) memaklumkan bahawa pihaknya akan menghentikan sumbangan selepas dua tahun membantu operasi pusat berkenaan.
“Pusat darah akan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan termasuk peralatan perubatan seperti beg darah.
“Sehubungan itu, kami telah memohon bantuan kerja amal daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan pusat darah itu tidak ditutup,” katanya.
Menurut pegawai kerajaan, pesakit yang menghidap penyakit seperti talasemia, kanser dan kegagalan fungsi buah pinggang termasuk mangsa peperangan saudara di negara itu akan menerima kesan jika pusat darah tersebut ditutup.
Lebih tiga juta penduduk Yemen kehilangan tempat tinggal dan kebanyakan infrastruktur termasuk sistem kesihatan negara itu musnah dalam peperangan yang tercetus dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi jaminan untuk menyediakan bantuan bekalan kepada pusat darah tersebut sambil mengesahkan ia bakal ditutup.
MSF memberi bantuan dan sokongan kepada Yemen dengan menubuhkan hospital serta klinik, selain membekalkan peralatan perubatan ketika negara itu mula terlibat dalam peperangan pada bulan Mac 2015.
Sumber REUTERS
from IKIMfm http://ift.tt/2urdWLC
via IFTTT