Syura Dalam Rumahtangga

SELAMA ini terdapat anggapan bahawa ibu hanyalah sebagai isteri yang tugasnya mengurus suami dan anak-anak, sementara urusan besar diputuskan suami, termasuk keputusan dalam kehidupan berumah tangga. Tetapi zaman sekarang, pandangan seperti itu mulai tidak tepat kerana sudah banyak perubahan yang terjadi pada kehidupan berkeluarga. Sebuah pepatah untuk suami “Jika kamu ingin isterimu menjadi seperti KhadĂ®jah, maka jadilah kamu seperti Muhammad untuknya” Mendirikan rumah tangga bukanlah semudah dan seindah yang dipaparkan di drama-drama korea. Ada masa kita pasti bertikam lidah dan tersalah faham dengan pasangan tercinta. Apabila isi hati tidak difahami, kita naik berang. Atau mungkin si suami terlupa akan sesuatu yang penting, kita jadi kecewa.

Lalu kemarahan tercetus. Tidak sepatutnya kita menengking suami kita, ada pelbagai cara untuk selesaikan masalah seperti itu. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang disiarkan di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi memetik  Surah Ali-Imran ayat 159 bermaksud: “Maka berkat rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal”

Diam atau tidak berbicara. Langkah ini sangat efektif untuk mengawal kemarahan yang sedang melanda. Apabila marah, emosi dan minda kita sukar dikawal dan ada masanya kita mungkin tidak berfikir sebelum melontarkan kata-kata tajam tersebut.

Perasaan marah selalunya disamakan dengan api, dan hanya air dapat melawan keadaan sedemikian. Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan itu diciptakan dari api, dan api itu diredam dengan air maka apabila di antara kalian marah, berwudulah”.

Selain dari itu, apabila kita marah akan suami, cubalah beredar jauh sedikit dengan baik dari suami. Jika pergaduhan berlaku di bilik tidur maka beredarlah ke ruang tamu. Jika di dapur, beredarlah ke bilik. Tapi ingat, janganlah kita beredar sambil menghentak kaki atau menepis apa yang ada disekeliling. Buat si suami pula, biarlah isteri anda membawa diri sebentar. Biar mereka reda, dan cepat-cepat pujuk balik. Kadang-kala kaum hawa ni, dia nampak garang tapi sebenarnya apabila dia beredar jauh dari kamu, mereka amat mengharapkan anda datang memujuk dan memeluk mereka. Saat kemarahan dating, ingatlah jasa pasangan kita dan lupakan kesalahannya. Rendahkan ego, kaum hawa juga mempunyai ego. Jangan sesekali mengingat jasa kita sahaja, tetapi ingatlah bahawa kita juga pernah membuat kesalahan.

Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 159 menjelaskan bahawa setiap manusia yang hidup di dunia tidak terlepas dari masalah dan persoalan yang dihadapi. Untuk itu mereka harus dapat menyelesaikan masalah tersebut. Cara menyelesaikan masalah dalam hidup seperti yang telah dijelaskan dalam surah Al-Imran ayat 159 dengan mencontoh dan mengambil teladan dari nabi Muhammad SAW iaitu dengan cara lemah lembut berdasarkan rahmat Allah SWT, setiap persoalan diselesaikan dengan jalan musyawarah. Kesimpulan isi atau kandungan surah ali imran, ayat 159 tersebut adalah merupakan penjelasan bahawa berkat adanya rahmat Allah SWT yang amat besar, Nabi Muhammad SAW merupakan contoh yang berakhlak mulia.

Baginda tidak bersifat dan berperilaku keras serta berhati kasar. Bahkan sebaliknya, baginda adalah orang yang berhati lembut, dan berperilaku baik yang diredai Allah SWT serta mendatangkan berbagai manfaat bagi masyarakat. Selain itu, dalam pergaulan Rasulullah SAW sentiasa memberi maaf kepada orang yang telah berbuat salah, khususnya terhadap para sahabatnya yang telah melakukan kesilapan. Dalam perang uhud Rasulullah SAW juga memohonkan ampun pada Allah SWT terhadap kesalahan mereka dan bermusyawarah dalam hal-hal yang perlu dimusyawarahkan. Untuk melaksanakan tekadnya, khususnya hasil musyawarah Rasulullah SAW selalu bertawakal pada Allah SWT. Kerana budinya yang luhur, dan akhlaknya yang mulia seperti tersebut Rasulullah SAW memperoleh simpati dalam pergaulan, khususnya disenangi dan didekati oleh para sahabatnya serta dicintai oleh Allah SWT. Perlu pula diketahui bahwa salah satu yang menjadi penekanan utama dalam surah Al-Imran, ayat 159 itu adalah perintah untuk melakukan musyawarah. Perintah ini bukan hanya ditunjukan kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi kepada seluruh pengikutnya yakni umat Islam, di mana pun mereka berada.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wmWTuA
via IFTTT