KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Semangat patriotisme rakyat negara ini perlu diperkasa agar generasi baharu memiliki semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi lagi jitu dalam mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Ketua Penerangan Pertubuhan Cendekiawan dan Profesional Malaysia (Cenpro) Prof Mohamad Md Yusoff berkata pemerkasaan itu perlu dilaksanakan melalui sistem sosialisasi pendidikan yang mengutamakan nilai patriotisme bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Beliau berkata perkara itu penting bagi membendung budaya extremisme dan keganasan yang berleluasa termasuk dalam alam siber yang akan membantutkan aspirasi TN50.
“TN50 tidak akan tercapai jika belia kita tidak diajar dengan nilai-nilai murni utama iaitu adat resam, budaya dan kesenian serta nilai-nilai peribadi seperti kesopanan dan etika.
“Patriotisme boleh mempengaruhi keadaan kerana apabila tiada rasa cinta pada negara, tiada kesetiaan dan tidak merasa bangga dengan negara, kita akan buat kerja sambil lewa dan tidak berasa malu,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama News Channel, malam tadi.
Mohamad berpendapat bagi memperkasakan patriotisme di negara ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan misalnya, perlu mewujudkan satu kaedah atau mekanisme konsisten yang menjadi asas kepada perjuangan dan pembangunan negara ke arah TN50.
Beliau menegaskan perjuangan itu tidak boleh hanya disandarkan kepada kerajaan semata-mata malah rakyat keseluruhannya perlu turut serta.
“Kita tidak boleh biarkan hanya pemimpin sahaja (berjuang), tapi rakyat masih merungut dan bising tetapi tidak sama-sama berjuang. Bila minta respons dalam talian tiada tindak balas, hanya suka bercakap di kedai kopi atau di media sosial,” jelasnya.
Selain itu, badan bukan kerajaaan (NGO) belia juga harus bersatu padu dan bekerjasama melaksanakan program yang dapat membuka minda generasi muda dalam melahirkan semangat patriotisme.
Sementara itu, Exco Majlis Belia Wilayah Persekutuan Abu Bakar Datuk Jalal berkata masyarakat terutama golongan belia tidak seharusnya mengaitkan fahaman politik dengan kecintaan kepada negara.
“Segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa cintakan negara itu dikaitkan dengan parti politik atau individu dalam parti pemerintah. Emosi mereka telah dimainkan untuk membenci parti atau pemimpin tertentu kerana ia seolah-olah turut membenci langkah mengadakan program cintakan negara,” jelasnya.
Justeru, beliau menyarankan agar rakyat kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara supaya patriotisme tidak terhakis selain mengadakan banyak aktiviti yang melibatkan masyarakat berbilang kaum.
Sumber BERNAMA
from IKIMfm http://ift.tt/2wS5ylT
via IFTTT