Yang turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Pengarah Eksekutif Kotasas Sdn. Bhd., Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Acara itu turut disertai Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ; dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Majlis Negeri China, Wang Yong selaku wakil khas Presiden China, Xi Jinping; pegawai kanan kerajaan China serta pemegang kepentingan projek berkenaan.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos sebanyak kira-kira RM55 bilion.

Pembinaannya akan menghubungkan Lembah Klang dengan negeri ini, Terengganu dan Kelantan selari dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara dan menaik taraf pengangkutan awam di luar bandar.

Menggunakan slogan ‘Menyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan’, ECRL bakal mengurangkan masa perjalanan dengan laluan rel kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dalam masa kurang daripada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya.

Ia juga melengkapkan penggabungan pelbagai mod pengangkutan dengan mewujudkan perhubungan dua hala Pantai Timur yang lebih lancar.

Projek berkenaan merupakan pemangkin yang menyamaratakan ekonomi Pantai Barat dan Pantai Timur dengan merangsang pelaburan dan aktiviti komersial, mencipta peluang pekerjaan, menyediakan pendidikan berkualiti serta meningkatkan sektor pelancongan di negeri-negeri terlibat.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini, Terengganu dan Kelantan juga dijangka meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan kewujudan ECRL.

Berucap pada majlis itu, Perdana Menteri berkata, pembinaan ERCL merupakan langkah ke hadapan yang membawa lembaran baharu terhadap sistem pengangkutan awam khususnya di Pantai Timur.

“Salah satu bidang yang kurang diberi fokus sebelum ini iaitu pengangkutan awam telah menjadi agenda utama kerajaan sejak kita melaksanakan dasar transformasi negara,” katanya.

Sumber UTUSAN ONLINE