Kemuncak Ketenangan dan Kegembiraan di Syurga

BERDASARKAN kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para alim ulama berpandangan bahawa terdapat beberapa kenikmatan yang diperolehi daripada kemuncak ketenangan ketika berada di syurga nanti.   Suasana di syurga akan diperindahkan lagi dengan keadaan berangin dan bauan harum yang memberi ketenangan kepada penghuninya. Keadaan angin yang bertiup perlahan itu tidak panas dan tidak pula sejuk suhunya disertai bauan rayhan dan kasturi.

Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki di dalam slot Mau’izati yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, nikmat kepada ahli syurga adalah apabila diberi ketenangan dengan bauan yang harum. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud al-Thailisi daripada Abdullah bin Amr bin A’is al-Asr RA yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana orang yang mendakwa namanya tidak dinasabkan kepada ayahnya, tidak akan berbau bauan syurga untuknya. Sedangkan bauan syurga ini sekiranya kamu ingin menghidunya, jaraknya sejauh 50 tahun perjalanan kamu.”

Selain itu diantara ketenangan yang diperolehi di syurga ialah pakaian-pakaian daripada sutera halus berwarna hijau yang mampu membuatkan si pemakainya bertambah cantik dan segak. Firmat Allah SWT di dalam surah al-Insan, ayat 20-21: “Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya). Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.”

Apabila berada di syurga kelak, para penghuninya saling kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain. Mereka berkumpul dan berbincang sesama mereka berkenaan perkara yang telah dilakukan ketika hidup di dunia dahulu. Di dalam surah al-Tuur, ayat 25-28: Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah), Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”.

Hadis yang disebut oleh Abu Bakar al-Dunya yang meriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalamnya dan mereka terasa rindu sesama saudaranya, maka bangku yang didudukinya berjalan kepada saudaranya itu sehingga kedua-dua mereka bertemu. Lalu salah seorang akan berkata kepada temannya, “Ingatkah kamu bila Allah mengampuni kita?” dan dijawab “Bila kita berada di tempat itu dan apabila kita berdoa maka Allah ampunkan dosa kita”.

Surah as-Saaffat, ayat 50-61, Allah berfirman: “(Tinggallah penduduk syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. Seorang di antaranya berkata: “Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). “Katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: “Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?” Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab). (Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): “Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, – Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa? Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).”

Rasulullah sentiasa berpesan kepada umatnya, mereka yang cerdik adalah mereka yang tidak memandang kepada pangkat dan kedudukan serta harta yang banyak. Tetapi sebaliknya, mereka sentiasa bersiap sedia untuk kembali menghadap Allah SWT nanti. Jangan biarkan diri terperangkap dengan kelalaian di dunia dan mensia-siakan nikmat umur yang dikurniakan Allah dengan mengejar perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan mengabaikan amal ibadah sebagai bekalan di Hari Akhirat.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2vECeR5
via IFTTT