Imam Malik RA

IMAM MALIK RA memiliki keperibadian tinggi dan mempunyai ilmu yang luas serta ketajaman fikiran.  Di seluruh alam, Imam Malik dikenali sebagai contoh bagi generasinya, tokoh pada masanya, seorang ilmuan daripada para ilmuan yang memberi petunjuk dan kebenaran. Beliau digelar dengan gelaran Imam ‘Darul Hijrah’ yang merujuk kepada Imam dari negeri Hijrah iaitu Madinah. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi mengenai kisah Imam Malik untuk kita teladani.

Abu Abdillah merupakan gelaran yang diberikan kepada Imam Malik atau nama sebenarnya, Malik bin Anas. Imam Az-Zahabi mengatakan kelahiran Imam Malik yang paling sahih adalah pada tahun 93 Hijrah. Pada tahun itu juga meninggalnya Saidina Anas bin Malik. Imam Malik bin Anas membesar dalan asuhan keluarga yang beragama yang berasal dari keturunan raja di Yaman. Mus’ab Az-Zabiri menceritakan “Imam Malik termasuk dalam kalangan orang yang paling kacak dan menarik wajahnya, kulitnya putih serta paling sempurna ketinggian bagi badan yang sempurna.” Beliau sering kelihatan berserban dan disertakan dengan selendang di atas serbannya.

Rasulullah SAW pernah menyebut “Nanti pasti orang ramai akan memacu kuda mereka untuk menuntut ilmu. Mereka tidak akan berjumpa dengan seorang alim pun yang paling alim daripada alim Madinah.” Hadith ini disahihkan oleh Imam Ibnu Hibban al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi. Al-Imam Ibn Uyainah menyatakan “Orang yang disebutkan paling alim itu ialah Malik ibn Anas.” Imam Abu Mus’ab menyatakan “Orang ramai datang menuntut ilmu  dan di pintu rumah Imam Malik hampir mereka itu bertolak-tolakan antara satu sama lain kerana ingin berguru dengan Imam Malik.”

Imam Malik telah menunjukkan sesuatu yang sangat baik sebagai penuntut ilmu. Al-Imam Aaz-Zahabi berkata “Imam Malik mula mencari ilmu ketika umur belasan tahun. Beliau sudah mampu berfatwa ketika masih muda sekitar tujuh belas mahupun lapan belas tahun. Ramai yang meriwayatkan hadith daripada Imam Malik sedangkan umur beliau masih muda pada ketika itu. Ramai penuntut ilmu dari pelosok dunia datang mempelajari ilmu dengan imam Malik pada akhir pemerintahan Abu Ja’afar al-Mansor dan selepas itu. Sesudah itu, makin ramai yang datang mempelajari ilmu dengan Imam Malik pada pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasheed sehinggalah beliau wafat.

Imam Malik tidak pernah mensia-siakan masa beliau. Beliau menuntut ilmu dengan sangat luar biasa. Beliau katakan “Aku tidak pernah duduk bersama orang yang kurang bijak walaupun sekali.” Imam Malik menunut ilmu dengan lebih daripada tujuh ratus orang guru. Antara gurunya ialah Imam Nafi’, Abdullah ibn Dinar, Imam Amir ibn Abdillah ibn Zubair dan Imam Sa’id al-Makdiri serta ramai lagi.

Beliau merupakan insan yang sangat menjaga adab dan penampilan beliau ketika majlis ilmunya. Menurut al-Imam Kutaibah “Dulu saat kami belajar dengan Imam Malik, beliau akan keluar menuju ke majlis pengajian dengan berhias, bercelak mata dan mengenakan wangi-wangian. Beliau menggunakan pakaian yang sangat baik. Majlis ilmu Imam Malik merupakan majlis ilmu yang penuh dengan kemuliaan dan menjaga adab. Imam Malik ini merupakan seorang lelaki yang berwibawa dan cerdik.”  Imam Kutaibah menambah lagi “Tidak ada yang ketawa sampai terbahak-bahak, tidak ada yang sia-sia serta tidak ada suara yang diangkat ketika majlis Imam Malik.”

Kewibawaan Imam Malik diperincikan lagi oleh Imam Kutaibah. Katanya “Ketika kami belaar dengan Imam Malik, tidak ada seorang pun yang berpaling dan melihat ke sana ke mari. Masing-masing menundukkan kepala. Para Sultan turut berasa gerun dengan Imam Malik.” Pernah terjadi dalam peristiwa Imam as-Syafie pergi untuk menuntut ilmu dengan Imam Malik. Saat Ketua Makkah mengutus surat kepada Ketua Madinah untuk meminta agar dibawa Imam Syafie kepada Imam Malik bagi menuntut ilmu, Ketua Madinah yang menerima surat tersebut lalu berkata kepada Imam as-Syafie “Wahai pemuda, sesungguhnya berjalan dari tempat yang paling jauh di Makkah menuju ke tempat yang paling jauh di Madinah dengan berkaki ayam lebih ringan daripada aku berjalan ke pintu rumah Imam Malik.” Begitulah dikatakan berwibawanya Imam Malik sehinggakan pemimpin turut merasa segan untuk berjumpa dengan beliau.

Ibnu Ma’in, seorang ulama’ hadith mengatakan “Imam Malik termasuk dalam hujah-hujah Allah SWT ke atas hamba-Nya.” Sekiranya ingin melihat kehebatan Allah SWT, lihat pada Imam Malik. Ilmu dan kehebatan yang Allah beri pada makhluk-Nya menunjukkan kehebatan Allah SWT.

Dalam kehebatan pujian orang kepada Imam Malik tentang kelimuan beliau, hal ini tidak menjadikan Imam Malik orang yang sombong dan lupa diri. Malah beliau sangat tawaduk. Imam Malik sangat terkenal dengan ‘La Adri’ yang bermaksud saya tidak tahu. Perkara ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Saidina Ali Kwj apabila kita hendak mendalami ilmu agama. Diriwayatkan oleh Imam al-Muhasibi, Saidina Ali menyebut “belajarlah kamu sebut saya tidak tahu, jangan selalu sebut saya tahu dalam bab ilmu agama sekiranya kita benar-benar tidak tahu. Sekiranya kamu katakan kamu tidak tahu, orang akan ajar kamu sehingga kamu tahu. Malah sekiranya kamu katakan kamu tahu, mereka akan tanya kamu sehingga kamu tidak tahu.” Kerana itulah, Imam Malik ibn Anas dikatakan oleh Haitham bin Jaamin “Aku mendengar Imam Malik ditanya sebanyak empat puluh lapan soalan agama. Lalu beliau menjawab tiga puluh dua daripada soalan itu dengan jawapan ‘la adri’, aku tidak tahu. Begitulah kehebatan ilmu dan kerendahan hati Imam Malik yang boleh kita hayati dan teladani untuk kita ikuti dalam kehidupan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2gkwcQq
via IFTTT