Hijrah Hati

ANUGERAH yang paling bernilai bagi seseorang manusia adalah hati atau kalbu. Ini kerana hati adalah tempat jatuh pandangan Allah manakala jasad adalah tempat jatuh pandangan manusia. Namun jika kita mengutamakan pandangan Allah, kita mampu menjaga hati dengan sebaiknya mengikut apa yang Allah mahukan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi memetik sepotong hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Allah tidak melihat rupa paras seseorang manusia, tetapi Allah melihat sejauhmana kesucian hati yang dimiliki. Seungguhnya jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan akan menjadi baik, tetapi jika hati itu kotor dan busuk maka seluruh anggota badan dan perbuatan menjadi jahat. Sungguhpun prinsip ini selalu ditekankan oleh orang tua-tua dalam mendidik anak-anak tetapi adakalanya kejahatan dan kebaikan sukar untuk dibezakan, malah pendidikan tentang hati tidak berbekas di dalam diri.

Seperti pantun orang-orang dahulu yang berbunyi, puas sudah menanam ubi, nanas datang dari seberang, puas sudah menanam budi, emas juga dipandang orang. Ini boleh dirujuk kepada segumpal hati yang merupakan wadah atau tempat datangnya segala kebaikan,  kasih sayang, belas ehsan, kecintaan, malah dari hati juga datangnya benci, kecewa dendam dan cemburu. Jika hati itu ditatang dengan kebaikan nescaya walau apapun kejahatan itu mendatang, hati yang jernih itu dapat menangkis segala kebencian dan kekurangan.

Apabila hati terhijab kita akan merasa resah, gelisah, terasa hidup penuh kekosongan. Hati yang terhijab akan terkesan kepada tiga alam iaitu dunia, alam kubur/ barzakh dan alam akhirat. Justeru, hijab hati sangat penting untuk diberi perhatian supaya kita tidak terhalang dari terus mendapat kebaikan-kebaikan di dunia ini. Penghalang atau hijab hati boleh datang dari banyak factor antaranya kerana pemakanan, pandangan dan pendengaran, panjang angan-angan dan maksiat atau dosa yang dilakukan.

Makanan yang haram boleh menjadi hijab kepada hati untuk kita mendapat rahmat Allah. Saidina Abu Bakar as-Sidik menjolok kerongkongnya untuk mengeluarkan susu yang tidak jelas sumbernya. Makanan dari sumber wang yang haram seperti riba, mencuri masa di tempat kerja atau dari sumber gaji yang ada syubahah atau rasuah dan sebagainya boleh menghitamkan hati kita. Sebab itu kita perlu benar-benar menjaga kesucian setiap rezeki makanan yang masuk di dalam mulut kerana ia akan menjadi roh yang akan membina kerohanian dan kesucian hati.

Begitu juga jika mahukan kemanisan dalam ibadah, jaga pandangan mata dan hati, ini kerana jika pandangan liar akan membuat hati juga akan menjadi liar. Dalam dunia teknologi yang segala mudah untuk diekses ada sahaja yang menjejaskan pandangan masa. Oleh itu, perlu ada banteng hati untuk melawan keinginan mata yang akan memberi kesan pada rohani kita.

Bagaimana kita perlu menjaga perut dan pandangan mata, begitu jugalah perlunya kita perlu menjaga pendengaran agar tidak terjebak dalam suatu budaya hindunisme yang boleh membuat hati menjadi keras. Bagaimana untuk mencegahkan diri dari perbuatan yang membawa kepada kejahatan adalah dengan sibukkan diri dengan amalan-amalan yang dekat dengan Allah SWT. Oleh itu sentiasa mengamalkan sikap amal makruh nahi mungkar agar dapat mendorong diri untuk hanya melakukan perbuatan yang dipandu oleh ajaran al Quran dan al-hadis.

Antara amalan lain yang disaran untuk dilakukan adalah menziarahi orang-orang soleh, melawat orang-orang sakit dan menziarahi kubur yang akan mengingatkan kita tentang kematian akan dapat melembutkan hati. Mengingati mereka yang telah meninggal dunia akan melembutkan hati untuk menghisab diri dari dekat dengan segala perbuatan yang boleh cenderung kepada perbuatan yang mengundang kepada dosa dan maksiat.

Pilih suasana persekitaran dan sahabat-sahabat yang mengajak kita untuk membuat kebaikan. Persekitaran amat penting kerana ia boleh mendorong kita untuk bertindak, berfikir dan berbuat perkara yang hanya mendatangkan manfaat sahaja. Suasana yang baik boleh membudayakan fikiran yang baik, bahkan jika seseorang itu tidak baik sekalipun, jika dikelilingi dengan orang-orang dan persekitaran yang baik boleh melahirkan insan yang baik. Begitu juga dengan sahabat atau teman- teman yang berkelakuan buruk, berkata buruk dan berfikiran buruk hanya akan mendorong kita untuk bertindak dengan perbuatan yang negatif dan seterusnya tidak mampu membina akhlak yang baik di dalam diri kita.

Begitu juga perbuatan yang panjang angan-angan juga boleh membuatkan hati terhijab. Seperti kata seorang muqarabin bernama Safian as Sauri “Jika ditanyakan kepada ahli kubur tentang mereka, jawab ahli kubur “kami ini mati pada hari yang kami rasa esok masih ada.” Ini bererti apabila panjang angan-angan dengan dunia ini membuatkan kita menjadi pencinta dunia. Hati yang cinta dunia tidak mampu lagi membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Segala kebaikan dan kejahatan tidak lagi dapat dilihat perbezaan, malahan dalam hati hanya berpusat kepada keseronokan dan kelebihan dunia tanpa lagi melihat kepada kepentingan akhirat.

Membersihkan hati adalah perbuatan yang paling mulia. Tidak ada apa yang paling tinggi darjatnya di dunia ini melainkan memiliki hati yang bersih suci dan murni. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah diri membersihkan hati agar apabila bertemu Allah SWT kelak kita dapat persembahkan seketul hati yang benar-benar mendapat keredhaan Allah SWT.


Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Ogos 2017


from IKIMfm http://ift.tt/2wCWJQ0
via IFTTT