Hakikat Kemerdekaan

TINGGAL beberapa hari lagi negara kita Malaysia akan menyambut hari penuh bersejarah iaitu Hari Kebangsaan yang menandakan bahawa Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Pada tahun ini genaplah 60 tahun sejak penjajah Inggeris meninggalkan negara kita secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Usia 60 tahun, sekiranya diterjemahkan dalam bentuk diri seorang manusia, umur sebegini mencerminkan seorang yang bukan sahaja bebas dan memiliki kematangan tertinggi tetapi penuh dengan pengalaman-pengalaman luas yang mampu memberi bimbingan yang penuh berhikmah kepada generasi baharu.

Walaubagaimanapun, usia yang panjang semata-mata tidak semestinya mampu melahirkan individu yang hebat sekiranya sepanjang usia tersebut tidak digilap dan dibajai dengan ilmu-ilmu berguna, kesatuan pemikiran dan tindakan yang bijaksana. Masa yang panjang jika dihabiskan begitu sahaja dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat tidak akan memberi apa-apa makna. Justeru begitu jugalah sesebuah negara, jika masyarakatnya tidak menghayati ilmu dan tidak membudayakan ilmu sebagai budaya hidup dan mengambil ibrah dan hikmah dari sejarah tanahair lalu, sudah pasti usia 60 tahun kemerdekaan itu tidak memberikan apa-apa makna kepada rakyatnya dan hanya sebagai angka kosong sahaja.

Cabaran terbesar yang hampir pasti dihadapi dalam konteks sebuah negara yang merdeka ialah bagaimana menerapkan semangat kemerdekaan itu terhadap generasi baharu sebagaimana dialami, dirasai, dihayati dan diwarisi daripada pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu Lebih-lebih lagi apabila generasi yang ingin diterapkan semangat tersebut lahir dalam keadaan negara sudah lama merdeka dan penuh dengan segala kesenangan dan kemewahan. Mereka tidak pernah merasai sengsara di bawah penjajah sepertimana yang pernai dirasai oleh datuk nenek moyang kita dahulu.

Dalam zaman internet dan media sosial ini, ramai yang menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara dalam media sosial memandangkan itu sahajalah wahana yang terbuka, bebas, percuma dan “merdeka” dan pasti tersiar. Jika dahulu aduan dihantar ke akhbar, pihak akhbar mungkin tidak akan menyiarkan luahan seperti itu, namun kini mereka memiliki media tersendiri. Akhirnya media sosial bukan menjadi media untuk berkenalan, bersosial tetapi menjadi ‘media perpecahan, permusuhan dan perbalahan”. Berapa banyak perbincangan yang sepatutnya dilaksanakan dalam keadaan matang, bijaksana dan ilmiah berakhir dengan maki hamun, kecam mengecam dan sumpah seranah. Inikah petanda bangsa yang benar-benar merdeka?

Kerapkali apabila menyebut tentang kemerdekaan, ramai khususnya di kalangan belia remaja yang terbayangkan kebebesan tanpa batas dan mengikut hawa nafsu.  Mengikut pandangan ilmuwan ulung, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas apabila disebut “kebebasan” dalam tradisi Islam ianya merujuk kepada ikhtiyar dan bukan hurriyyah. Kebebasan (ikhtiyar) adalah memilih sesuatu untuk yang lebih baik. Kebebasan, bagi Al-Attas, adalah berbuat menurut tuntutan sifat-dasarnya yang benar  dan selari dengan fitrah insani dan tuntutan ilahi.

Pendeta Za’aba pula mengungkapkan kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna.

Justeru itu, bangsa yang merdeka juga ialah bangsa yang mampu mengawal emosi, merdeka daripada runtunan hawa nafsu dan kemarahan yang tidak terkawal, bukan menjadi hamba kepada keegoan diri sendiri atau hamba kepada apa jua selain Allah SWT. Ini mengingatkan kita kepada kata-kata keramat panglima Islam Rabi’ bin ‘Amir kepada panglima Parsi, Rustum dengan ungkapan terkenal: “Allahlah yang mengutuskan kami untuk mengeluarkan perhambaan kepada manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan hidup di dunia dan akhirat. Daripada kesesatan agama-agama kepada keadilan Islam

Kemerdekaan sebenar diri manusia juga ialah apabila seseorang itu hanya tunduk dan terikat kepada Tuhan Yang Maha Agung dan membebaskan dirinya daripada sekalian ikatan  keduniaan dan kemanusiaan yang membelenggu dan menggangu gugat keharmonian ikatannya dengan Tuhan.  Hanya apabila diri insan itu benar-benar merdeka dan telah tersemat nilai-nilai murni yang mantap dalam diri seseorang, maka apa jua wahana samada media sosial atau apa saja yang mendatang bakal menjadi alat penting ke arah memupuk perpaduan dan kemerdekaan sebenar.

Oleh kerana itulah kemerdekaan sebenar seringkali juga disebut kemerdekaan akal dan jiwa mengatasi “penjajah Nafsu”. Menjadikan diri kita itu tunduk dan patuh hanya kepada Allah SWT sahaja, bukan mengikut dan tunduk kepada hawa nafsu. Ini sesuai dengan mafhum hadith Nabi SAW seperti hadith yang ke-41 yang dinukilkan oleh Imam Nawawi RA dalam kitabnya “al-Arba’in al-Nawawiyah” yang bermaksud: “tidak sempurna imam seseorang di antara kamu sehingga hawa nafsunya tunduk kepada apa yang telah aku sampaikan”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Ogos 2017




from IKIMfm http://ift.tt/2wD8buT
via IFTTT